Gerhana 2 Kali Di Bulan Ramadhan?

Gerhana dua kali di bulan Ramadhan, ada yang menganggapnya ganjil, pelik, istimewa dan sebagainya. Ada yang mengaitkan dengan sesuatu yang luarbiasa akan berlaku. Hakikatnya fenomena tersebut adalah tanda-tanda kebesaran Allah. Secara umumnya gerhana bulan berlaku ketika fasa bulan purnama apabila Bumi berada di antara Bulan dan Matahari. Manakala gerhana Matahari berlaku ketika akhir bulan Hijriah apabila Bulan berada di antara Bumi dan Matahari. Walau bagaimanapun gerhana Bulan atau Matahari tidak berlaku pada setiap bulan. Aturan kekerapan fenomena gerhana Bulan boleh berlaku maksimumnya 3 kali setahun. Gerhana boleh berlaku berturutan dua kali atau tiga kali iaitu gerhana Bulan dituruti oleh gerhana Matahari atau gerhana Matahari dituruti gerhana Bulan kemudian dituruti pula gerhana Matahari. Sela masa di antara setiap turutan gerhana tersebut ialah empatbelas hari. Tetapi gerhana Bulan dan Matahari tidak mungkin boleh berlaku serentak dalam satu hari yang sama. Susunan gerhana berulang dalam tempoh 18 tahun 11 hari 8 jam dan kitaran ini dinamakan "Saros".

Fenomena berlakunya gerhana dua kali di Bulan Ramadhan bukanlah suatu yang pelik kerana ia pernah berlaku sebelum ini. Jadual di bawah menunjukkan kejadian gerhana Bulan dan Matahari di bulan Ramadhan. Gerhana yang berlaku ada yang bersifat gerhana separa(S), penuh(P) dan Annulus(A). Jadual di bawah menunjukkan gerhana dua kali yang pernah berlaku di dalam bulan Ramadhan sejak dari 1959 hingga ke tahun 2002. Terdapat empat kali Ramadhan telah berlaku gerhana berganda dalam tempoh tersebut iaitu Ramadhan 1378, 1379, 1401 dan 1402. Kesemua gerhana tersebut tidak dapat dilihat dari Malaya / Malaysia pada tarikh-tarikh tersebut kecuali gerhana Bulan Ramadhan 1378H boleh dilihat keseluruhannya dari Malaya (ketika itu) berlaku selepas tengah malam mulai jam 03:16 sehingga hampir subuh. Gerhana Matahari yang berlaku pada tarikh tersebut berlaku di kawasan tengah Asia, Australia, kutub Utara dan Antartika.

Tahun Hijri
Tahun Miladi
Gerhana Bulan
Gerhana Matahari
1402
1982
6 Jul (P)
20 Jul (S)
1401
1981
17 Jul (S)
31 Jul (P)
1379
1960
13 Mar (P)
27 Mar (S)
1378
1959
24 Mar (S)
8 Apr (A)

Kejadian gerhana pada Ramadhan 1424 apa yang menariknya? Gerhana dua kali pada Ramadhan 1424 yang menariknya ialah kedua-dua gerhana Bulan dan Matahari merupakan gerhana penuh. Keadaan seperrti ini jarang-jarang berlaku. Jika dibandingkan dengan kejadian gandingan jenis gerhana seperti di atas lebih kerap berlaku berbanding dengan gerhana penuh bagi kedua-duanya. Maklumat berkaitan gerhana penuh Bulan Ramadhan 1424 boleh didapati dari laman web Al-Azim.com. Gerhana penuh Matahari kali ini hanya dapat dilihat di kawasan Antartika dan gerhana separa di Australia.

Dan yang menariknya oleh kerana kawasan Antartika pada masa ini mengalami musim siang yang lebih panjang maka peluang melihat gerhana Matahari di sana lebih besar dan gerhana ini berlaku selepas jam 24:00 selepas tengah malam. Gerhana matahari hanya berlaku pada siang hari tetapi oleh kerana kali ini ia berlaku di Antartika dan tiada mengalami malam oleh kerana itu gerhana Matahari boleh dilihat selepas jam 24:00. Waktu gerhana penuh Matahari tersebut berlaku pada 22:50 UT atau 04:50 pagi waktu di Antartika. Suatu pemandangan yang sungguh indah dan menakjubkan kehebatan dan kekuasaan Allah untuk disaksikan. Saya jika berpeluang sangat berkeinginan untuk menyaksikannya. Tetapi dalam masa yang sama umat Islam sedang sibuk menantikan kedatangan 1 Syawal.

Jadual di bawah menunjukkan gerhana penuh dua kali yang pernah berlaku dan akan berlaku dalam tempoh 400 tahun. Dalam tempoh tersebut pernah berlaku pada Ramadhan 1200H, gerhana Bulan tersebut dapat dilihat separa dari Malaya dan gerhana penuh matahari hanya dapat dilihat dari benua Afrika ketika itu. Manakala Ramadhan 1424 gerhana penuh Bulan telah pun berlaku (lihat mengenainya di Al-Azim.com) dan gerhana penuh Matahari yang akan berlaku di Antartika. Kira-kira 152 tahun dari sekarang pada Ramadhan 1582H umat Islam di bahagian tengah Asia akan dapat menyaksikan gerhana annulus matahari dan di Malaysia ketika itu akan dapat menyaksikan hanya gerahan separa Matahari sebanyak 25% di waktu 7:43 pagi Matahari berada altitud 7 darjah. Manakala gerhana Bulan tidak dapat dilihat di Malaysia pada ketika itu. Walahualam.

Tahun Hijri
Tahun Miladi
Gerhana Bulan
Gerhana Matahari
1200
1786
11 Jul
25 Jul
1424
2003
9 Nov
23 Nov
1580
2155
19 Mar
2 Apr

Kembali ke Artikel Falak