|
Telaga zam
- zam adalah sebagaimana telaga biasa, tetapi
mempunyai riwayat yang tersendiri. Sejarahnya
adalah berhubung kait dengan sejarah Nabi
Ismail dan ibunya Siti Hajar (isteri Nabi
Ibrahim ) yang datang ke Makkah. Mengikut
asal mula riwayat telaga ini adalah seperti
berikut; Nabi Ibrahim a.s. mempunyai dua
orang isteri; Siti Sarah dan Siti Hajar
(ibu Nabi Ismail).
Pada satu ketika
terjadi pertelingkahan antara kedua isteri
tersebut sehingga Siti Sarah bersumpah tidak
akan tinggal bersama-sama ibu Ismail dalam
satu negeri. Kemudian turunlah wahyu kepada
Nabi Ibrahim supaya baginda bersama-sama
anak dan isterinya (Ismail dan Hajar) pergi
ke Makkah. Di waktu itu Makkah belum didiami
manusia, hanya merupakan lembah pasir dan
bukit-bukit yang tandus dan tidak ada air.
Apabila mereka
tiba di Makkah, mereka tinggal di bawah
sepohon pokok yang kering. Di tempat inilah
bangunan Kaabah yang ada sekarang. Tidak
berapa lama, kemudian Nabi Ibrahim meninggalkan
mereka dengan dibekalkan sekantong kurma
dan sekibah air.
Siti Hajar
memerhatikan sikap suaminya yang menghairankan
itu lalu bertanya ;
"Hendak kemanakah
engkau Ibrahim ?"
"Sampai hatikah
engkau meninggalkan kami berdua ditempat
yang sunyi dan tandus ini ? ".
Pertanyaan
itu berulang kali, tetapi Nabi Ibrahim tidak
menjawab sepatah kata jua pun.
Siti Hajar
bertanya lagi;
"Adakah ini
memang perintah dari Allah ?"
Barulah Nabi
Ibrahim menjawab, "ya".
Mendengar jawapan
suaminya yang ringkas itu, Siti Hajar gembira
dan hatinya tenteram. Ia percaya hidupnya
tentu terjamin walaupun di tempat yang sunyi,
tidak ada manusia dan tidak ada segala kemudahan.
Sedangkan waktu itu, Nabi Ismail masih menyusu.
Selang beberapa
hari, air yang dibekalkan Nabi Ibrahim habis.
Siti Hajar berusaha mencari air di sekeliling
sampai mendaki Bukit sofa dan Marwah berulang
kali sehingga kali ketujuh (kali terakhir
) ketika sampai di Marwah, tiba-tiba terdengar
oleh Siti Hajar suara yang mengejutkan,
lalu ia menuju ke arah suara itu. Alangkah
terkejutnya, bahawa suara itu ialah suara
air memancar dari dalam tanah dengan derasnya.
Air itu adalah air zam-zam.
Di sini Siti
Hajar bertemu dengan Malaikat Jibril dan
Jibril mengatakan kepadanya, " Jangan khuatir,
di sini Baitullah ( rumah Allah ) dan anak
ini (Ismail ) serta ayahnya akan mendirikan
rumah itu nanti. Allah tidak akan mensia-siakan
hambaNya".
Air zam-zam
mempunyai keistimewaan dan keberkatan, ia
boleh menyembuhkan penyakit, menghilangkan
dahaga serta mengenyangkan perut yang lapar.
Keistimewaan dan keberkatan itu di sebut
dalam sepotong hadith Nabi yang bermaksud:,
" Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah
s.a.w bersabda: "sebaik-baik air di
muka bumi ialah air zam-zam, ia merupakan
makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi
penyakit ". Riwayat - At Tabrani dan Ibnu
Hibban.
|