kembali ke www.al-azim.com | kembali ke laman utama
Ruangan Baru : Soal Jawap Dalam Mengerjakan Haji
Panduan Haji
Tempat Bersejarah Di Makkah dan Madinah
Garis Panduan Ibadah Qurban
FALSAFAH HAJI

MEMAHAMI HAKIKAT PEKERJAAN HAJI
Berbahagia dan berjayalah mereka yang dapat mencapai dan memahami hakikat pekerjaan haji iaitu melaksanakan dan menghayati kehendak-kehendak haji dengan keimanan, kesabaran dan penuh harapan kepada rahmat Allah.

MEMPERBANYAKKAN AMAL IBADAT
Di Tanah Suci, ambillah peluang membuat amal ibadat sebanyak-banyaknya, jangan membuang masa di kedai-kedai atau pasar-pasar atau berjalan-jalan yang tidak menguntungkan. Di sana masa terlalu suntuk untuk beribadat manakala ganjaran pahala berlipat ganda. Semasa di Tanah Suci, kita perlu menyesuaikan diri dengan keadaan di sana supaya tidak berlaku sebarang masalah kepada diri kita. Bersabarlah selalu, bertenang menghadapi pelbagai cabaran dan sabar itu tanda-tanda orang yang beriman kerana di dalam keadaan jemaah haji yang begitu ramai, sudah pasti banyak perkara yang tidak disangka-sangka boleh berlaku.

Apabila kita telah memahami keadaan yang akan berlaku, maka bersedialah menghadapinya, kerana tiap-tiap sesuatu yang berlaku mempunyai makna dan hikmahnya di atas kehendak Allah sebagai ujian dan dari ujian itu haruslah direnungkan rahmat Allah dan mungkin ia merupakan tanda-tanda makbulnya doa hambanya dan mendapat keampunan. Mungkin juga itu menandakan kasih sayang Allah kepada kita untuk menerima balasan di dunia dan terselamat di akhirat kelak. Kita hendaklah berpegang teguh dengan ketetapan hukum Allah di mana sahaja kita berada, kita hendaklah percaya dan rela menerima ketentuan qada dan qadar yang sudah pasti ditetapkan oleh Allah yang Maha Berkuasa dan membuang perasaan tidak puas hati.

Perasaan marah terhadap kesusahan yang kita tempuhi boleh diertikan sebagai kita tidak berpuashati dengan qada dan qadar serta mencabar kuasa Allah. Ia juga merupakan satu tindakan yang hanya akan mendedahkan rahsia diri sendiri sebagai orang yang mempunyai dosa yang banyak dan ditimpa kesengsaraan di Tanah Suci.

 

Dibangunkan oleh Jabatan Mufti Melaka