Soalan
Apakah hukum menghajikan orang yang telah
meninggal dunia?
Jawapan
Jika orang yang telah meninggal dunia
itu belum mengerjakan haji sedang dia
ada meninggalkan harta maka hukumnya wajib
dihajikan daripada hartanya. Kalau ia
tidak ada harta peninggalan tidaklah wajib
waris menghajikannya tetapi kalau dibuatkan
adalah baik. Ini pada haji pertama. Adapun
jika si mati sudah pernah mengerjakannya,
semasa hidupnya maka tidaklah sah dihajikan
lagi kecuali jika dia ada bernazar atau
dia berwasiat supaya dihajikan.
Soalan
Adakah wajib dihajikan orang yang telah
meninggal dunia dari harta peninggalannya
sedangkan semasa hayatnya beliau belum
lagi menyempurnakannya walaupun kemampuannya
telah mencukupi?
Jawapan
Ya, wajib di hajikan daripada harta peninggalannya
kerana kewajipan itu tertakluk kepada
harta dan menjadi tanggungjawab waris
mengeluarkan bahagian hajinya.
Soalan
Apakah wajib ke atas si waris untuk menghajikan
orang yang meninggal dunia yang tidak
meninggalkan sebarang harta pusaka?
Jawapan
Tidak wajib.
Soalan
Apakah pahala yang dapat diperolehi jika
mengerjakan haji bagi orang yang meninggal
dunia?
Jawapan
Orang yang mengerjakannya dapat pahala
membantu dalam perkara kebajikan. Orang
yang mati itu pula gugur kewajipan
Soalan
Bolehkah seorang yang tua atau uzur kerana
sakit dan tidak ada harapan sembuh mewakilkan
kepada orang lain untuk mengerjakan haji
bagi dirinya?
Jawapan
Ya. Boleh mewakilkan orang lain jika ia
tidak ada harapan lagi untuk mengerjakan
hajinya sendiri. Orang ini termasuk dalam
erti kata "makdhub".
Soalan
Bolehkah seorang wanita mengerjakan haji
untuk seorang lelaki yang meninggal dunia?
Jawapan
Boleh.
Soalan
Bolehkah seseorang mengerjakan haji untuk
orang yang meninggalkan dunia lebih dari
seorang?
Jawapan
Setiap orang hanya boleh mengerjakan haji
untuk seorang di dalam satu-satu tahun
itu.
Soalan
Bolehkah seorang mengerjakan umrah untuk
orang lain sesudah dia mengerjakan haji
dan umrah wajibnya?
Jawapan
Ya. Boleh.