Soalan
Apakah erti Dam?
Jawapan
Asal makna dam ialah darah. Kemudian dipakai
sebagai nama binatang ternakan yang disembelih
kerana menebus kesalahan atau menutupi
kekurangan dalam masa mengerjakan haji
atau umrah. Kemudian digunakan perkataan
ini untuk sebarang denda ganti penyembelihan.
Soalan
Mengapa orang yang melakukan haji tamattuk
dikenakan dam?
Jawapan
Kerana ia telah tidak berihram dari miqat
haji dalam musim haji. Kecuali penduduk
Makkah dan sekitarnya tidak dikenakan
dam.
Soalan
Berapa dam yang harus dibayar jika seorang
itu mengerjakan haji tamattuk dengan berniat
di Jeddah?
Jawapan
Satu dam sahaja - Menurut qaul yang mengatakan
Jeddah itu sebagai miqat. Kalau menurut
qaul yang mengatakan Jeddah tidak dikira
miqat kena dua dam. Satu dam kerana berihram
umrah setelah melalui miqat, satu dam
lagi kerana meninggalkan miqat haji. Untuk
lebih ihtiat (lebih berjaga-jaga) pendapat
yang kedua lebih kuat.
Soalan
Apakah syarat-syarat binatang yang hendak
dijadikan dam?
Jawapan
Binatangnya mesti sudah sampai umur boleh
dibuat korban dan tidak ada sebarang penyakit
serta cukup sifatnya.
Soalan
Adakah berdosa jika seorang itu melakukan
perkara-perkara yang diharamkan semasa
berihram walaupun setelah membayar dam?
Jawapan
Jika dilakukannya kerana terlupa, terpaksa
atau kerana sesuatu keuzuran yang diterima
oleh syarak ia tidak berdosa.
Soalan
Bolehkah seorang itu melewatkan pembayaran
dam? Bagaimana pula jika bayaran dam seseorang
itu dibayar di luar tanah haram?
Jawapan
Yang afdalnya dibayar pada waktunya. Ada
masanya pula seseorang tidak boleh bertahallul
melainkan setelah membayar dam. Semua
dam mesti dibayar di tanah haram kecuali
dam kerana terkepong atau terhalang dari
meneruskan haji atau umrahnya - dikeluarkan
ditempat mana ia terhalang.
Soalan
Bolehkah seorang itu memakan daging damnya
sendiri?
Jawapan
Tidak boleh. Semuanya mesti disedekahkan.
Kalau sudah diterima oleh orang yang berhak
kemudian orang ini menjamunya adalah harus.
Soalan
Bolehkah seorang itu mewakili orang lain
untuk membayar damnya?
Jawapan
Boleh
Soalan
Adakah sah dam seorang yang dibuat dengan
tidak berijab kabul?
Jawapan
Perwakilan mesti ada ijabnya dengan lafaz.
Kalau ia menyembelih sendiri cukup dengan
niat. Wakil wajib berniat atas nama orang
yang mewakilkan.
Soalan
Adakah sah dam yang dibayar melalui Bank
Islam yang terdapat di Arab Saudi?
Jawapan
Ya. Sah dengan syarat pihak bank itu bertindak
sebagai wakil untuk menyembelih dam itu.
Soalan
Adakah dikenakan dam jika seorang yang
uzur itu tidak dapat melakukan tawaf wada’?
Jawapan
Tidak dikenakan dam kerana uzur
Soalan
Adakah dikenakan dam bagi seorang yang
ternampak rambut di lantai biliknya sedangkan
ia tidak pasti rambut siapakah itu?
Jawapan
Tidak wajib dam.
Soalan
Seorang yang terlupa yang dia dalam ihram
telah mencabut rambutnya, adakah dikenakan
dam keatasnya?
Jawapan
Ya. Dikenakan dam.