Soalan
2.1 Siapakah yang diwajibkan mengerjakan
haji dan umrah?
Jawapan
Orang yang wajib mengerjakan haji dan
umrah ialah orang mukallaf yang berkemampuan
iaitu ada perbelanjaan untuk dirinya dan
orang yang ditanggungnya sama ada yang
pergi bersamanya atau yang ditinggalkan,
sihat badan, ada kenderaan, aman perjalanan
dan tiudak untuk masa. Orang perempuan
perlu ada mahram atau pergi dalam kumpulan
ramai wanita. Yang bersuami perlu keizinan
suami. Orang yang berhutang yang perlu
dibayar pada masa ia hendak pergi perlu
membayar hutangnya. Kalau hutangnya bertangguh
perlu ada penjamin atau mendapat izin
dari yang punya hutang
Soalan
2.2 Apakah hukum bagi seorang wanita menunaikan
fardu haji dengan tidak diiringi oleh
mahramnya sebaliknya hanya ditemani oleh
sekumpulan wanita kenalannya?
Jawapan :
Tidak wajib seseorang wanita itu pergi
haji melainkan dengan mahram atau dengan
sekumpulan wanita sekurang-kurangnya 3
orang selain dari dirinya sendiri; ini
pada haji yang fardu. Pada haji sunat
atau haji badal tidak diharuskan melainkan
dengan mahram atau suami menurut pendapat
yang muktamad. Tetapi bagi haji fardu
seseorang wanita boleh (bukan wajib) pergi
jika ia yakin akan keselamatan dirinya
walaupun seorang diri.
Soalan:
2.3 Apakah hukum bagi seorang wanita yang
pakar dalam bidang kebajikan atau rawatan
perubatan diambil bertugas untuk merawat
para jemaah di Tanah Suci dan pemergiannya
tidak diiringi oleh mahramnya?
Jawapan
Harus, jika ia yakin selamat pergi dan balik
tanpa sebarang fitnah atau gangguan pada
diri, harta atau maruahnya
Soalan
2.4 Bolehkah seorang wanita yang sedang
dalam iddah meneruskan rancangan menunaikan
fardu haji?
Jawapan
Jika ia sudah berihram ia boleh meneruskannya.
Kalau belum berihram ia mesti memegang iddah
dan pulang jika boleh. Kalau tidak, ia boleh
melakukan apa yang lebih selamat dan lebih
mudah untuknya. Adapun wanita yang hanya
baharu berdaftar dan sudah membayar wang
kepada agensi haji kemudian suaminya meninggal
dunia maka wanita itu tidak haruskan belayar
kerana memegang iddah adalah wajib dengan
nas Al-Quran. Dalam masa iddah wanita itu
tidak harus keluar dari rumah melainkan
kerana darurat yang mendesak seperti mencari
nafkah dan sebagainya. Ibadat haji walaupun
wajib tetapi saat kewajipannya belum tiba
pada masa itu dan ia boleh dilambatkan,
sedang memegang iddah adalah wajib dari
saat kematian suaminya. Andainya wanita
itu hanya hendak mengerjakan haji yang kedua
atau ketiga maka tidak ada alasan langsung
untuk pergi. Dalam kedua-dua hal sama ada
haji wajib atau haji yang kedua atau ketiga
kalau wanita itu pergi maka hukumnya adalah
haram walaupun ada orang mengatakan walaupun
perginya haram tetapi hajinya sah juga,
maka perkataan yang semacam ini hanya menggalakkan
wanita itu pergi pada hal syarak melarangnya
pergi. Dan menurut adab dan peraturan haji
pemergian seseorang hendaknya suci dari
sebarang dosa agar ia mendapat haji yang
mabrur. Dari itu pihak wanita yang kematian
suami perlu memerhatikan masalah ini dan
janganlah pergi dalam masa iddah. Pihak
agensi-agensi haji atau sesiapa yang bekerja
menguruskan haji mestilah mengambil langkah-langkah
persediaan untuk menghadapi masalah orang
yang mesti menarik diri dan memulangkan
wang yang sudah dibayarnya dengan cara yang
tidak merugikan mana-mana pihak dan tidak
melanggar hukum-hukum syarak.
Soalan
2.5 Adakah berhak seorang suami melarang
isterinya menunaikan hajinya?
Jawapan
Ya. Menurut mazhab Syafie suami berhak
melarang kerana syarak mewajibkan isteri
patuh kepada suami. Pemergian isteri ke
Makkah tanpa suami boleh menimbulkan kesulitan
kepada suami. Sekiranya suami melarang
tanpa alasan yang diharuskan oleh syarak
maka dialah yang menanggung dosanya.
Soalan
2.6 Apakah hukum haji kanak kanak yang
belum baligh dan adakah dapat pahala melakukannya?
Jawapan
Kanak kanak yang belum baligh sah hajinya.
Tetapi hajinya belum menggugurkan fardunya.
Setelah ia baligh kelak dan cukup syarat-syarat
hajinya, wajib ia menunaikannya. Pahala
hajinya dituliskan untuk kanak-kanak itu,
manakala warisnya pula mendapat pahala
membantu dalam perkara kebajikan
Soalan
2.7 Bagaimana cara bapa atau wali berniat
untuk melakukan kerja-kerja haji bagi
kanak-kanak yang belum mumaiiz?
Jawapan
Kanak-kanak yang belum mumaiyiz hendaklah
diihramkan oleh walinya dengan niat:-
"Aku ihramkan kanak-kanak ini/namanya
dengan haji/umrah kerana Allah ta’ala."
Kemudian kanak-kanak ini hendaklah dibawa
ke tempat-tempat yang perlu dikunjungi
oleh jemaah. Dalam perkara seperti tawaf,
sai dan melontar misalnya, wali hendaklah
membuat untuk dirinya dahulu kemudian
baru boleh dibuat untuk anaknya