Soalan
Adakah seseorang itu dikatakan
telah melanggar larangan semasa berihram
jika dia melakukan perkara-perkara berikut:-
Menyapu minyak angin (yang wangi
baunya)?
Jawapan
Kalau ia bertujuan mendapatkan bau wanginya
ia dikenakan dam dan haram. Tetapi kalau
merupakan ubat yang perlu digunakan tidak
ada ubat lain yang tidak wangi, boleh
digunakan dan dibayar dam.
Mengucup
Hajar Aswad (Hajar Aswad dibubuh minyak
atar)?
Jawapan
Jika diketahui bahawa Hajar itu ada wangi-wangian
haram ia mengucupnya kalau dikucupnya
dikenakan dam. Kalau ia tidak mengetahuinya
lalu tersentuh tidak berdosa dan tidak
dikenakan dam.
Memakai sabun wangi
ketika mandi dan membasuh?
Jawapan
Kena dam dan haram.
Menggunakan
ubat gigi?
Jawapan
Jika ubat gigi wangi kena dam dan haram.
Memakai
tali pinggang yang hujungnya dimasukkan
ke dalam sangkutannya
Jawapan
Tidak haram dan tidak kena dam
Memakai
jam tangan yang talinya bercantum?
Jawapan
Tidak haram dan tidak kena dam.
Memakai
rantai cermin mata?
Jawapan
Tidak haram dan tidak kena dam.
Memakai
krim atau lotion di bibir atau tapak kaki
yang kering dan berpecah-pecah untuk mengurangkan
rasa perit-pedih?
Jawapan
Jika tidak wangi tidak haram dan tidak
kena dam.
Soalan
Melakukan mandi sunat ihram dan
menggunakan pakaian ihramnya di Madinah
tetapi terlupa untuk berniat di miqat.
Adakah sah hajinya itu?
Jawapan
Ya, sah hajinya tetapi ia kena dam kalau
belum berniat hingga terlepas keseluruhan
miqat.
Soalan
Bolehkah memakai ihram bagi lelaki dengan
disimpul atau disemat dengan pin?
Jawapan
Tidak boleh dan kena dam kecuali pada
bahagian bawah pada kain yang separas
pinggang boleh digunakan tali pinggang
atau sebagainya.
Soalan
Apakah hukum seorang doktor semasa dalam
ihram terpaksa memakai sarung tangan plastik
kerana tugas merawat pesakit. Adakah berdosa
dan dikenakan dam?
Jawapan
Tidak berdosa jika perlu dan tidak dikenakan
dam.
Soalan
Apakah hukum seorang jemaah haji
wanita yang diserang panas (heat stroke)
terpaksa ditanggalkan tudung kepalanya
untuk dimandikan dengan air batu?
Jawapan
Harus dan tidak kena dam.
Soalan
Bolehkah semasa berihram menghisap rokok
atau paip yang tembakaunya berbau wangi?
Jawapan
Hukumnya haram dan dikenakan dam.
Soalan
Apakah hukum bagi jemaah Haji semasa berihram
mencabut atau membinasakan pokok-pokok
atau membunuh binatang?
Jawapan
Mencabut pokok di tanah haram adalah terlarang
bagi orang yang ihram atau tidak berihram
dan dikenakan dam. Membunuh binatang,
tidak berdosa dan tidak dikenakan dam.
Yang dikenakan dam atas orang yang berihram
ialah memburu binatang darat yang halal
di makan sama ada di Makkah atau luarnya.
Kalau tidak berihram terlarang juga dalam
tanah haram.
Soalan
Adakah benar melakukan sekali umrah dari
Ja’ranah sama dengan tujuh kali
umrah dari Taneim?
Jawapan
Tidak ada keterangan yang jelas mengenai
perkara yang tersebut itu. Yang tersebut
dalam at-Tuhfah karya Ibnu Hajar bahawa
al-Azraei menghikayatkan daripada al-Jundi
bahawa tiga ratus orang nabi pernah berihram
dari Ja’ranah. Wallahu a’alam.