Soalan
Apakah perbezaan di antara miqat makani
dan zamani?
Jawapan
Miqat makani ialah tempat kita menunaikan
niat. Miqat zamani pula ialah masa kita
memulakan niat. Miqat makani bagi haji
untuk orang yang datang dari jauh ialah
5 tempat menurut jurusan daerah masing-masing.
Tempat-tempat itu tersebut dalam hadis
Nabi saw. Miqat ini juga menjadi miqat
umrah mereka. Orang yang tinggal di Makkah
atau kawasan sekitarannya miqat hajinya
ialah tempat tinggalnya. Adapun miqat
umrahnya ialah tanah halal yang terdekat
seperti Taneim atau yang jauh seperti
Ja’ranah. Tidak ada miqat zamani
bagi amalan umrah. Miqat zamani bagi haji
ialah: mula daripada 1 Syawal hingga sejurus
sebelum fajar 10 Zulhijjah.
Soalan
Apakah ertinya ihram?
Jawapan
Erti Ihram ialah mengharamkan atas dirinya
segaola yang diihramkan semasa ihram.
Tetapi ianya tidak berlaku melainkan setelah
berniat. Oleh kerana itu ihram juga diertikan
niat. Orang yang sudah berniat walaupun
tidak memakai ihram atau dia membuat perkara
yang terlarang hajinya adalah sah tetapi
ia berdosa dan dikenkan dam. Kecuali jika
ia bersetubuh sebelum tahallul awal maka
batal hajinya.
Soalan
Adakah wanita yang didatangi haid dibolehkan
mandi sunat dan berniat ihram?
Jawapan
Ya, boleh dan sunat ia mandi kerana ihram
dan mandi-mandi haji yang lainnya.
Soalan
Adakah boleh berniat ihram dengan tidak
memakai ihram?
Jawapan
Boleh. Tetapi berdosa dan dikenakan dam
Soalan
Apakah hukum bagi seseorang yang tidak
menjatuhkan niat di miqat?
Jawapan
Hukumnya haram. Kerana setiap orang yang
menuju ke Makkah dengan tujuan haji atau
umrah, mesti berihram dengan niat dan
dikenakan dam jika melanggar miqat.
Soalan
Apakah hukum bagi seorang yang berniat
ihram haji atau umrah setelah melewati
miqat?
Jawapan
Niatnya sah tetapi dikenakan dam jika
ia telah melewati kesuluruhan miqat.
Soalan
Bolehkah seorang yang telah berniat ihram
haji, menukar niat untuk mengerjakan umrah?
Jawapan
Tidak boleh.
Soalan
Adakah dalil yang menguatkan kelebihan
bermiqat di Ja’ranah untuk berihram
umrah?
Jawapan
Dalilnya ialah kerana Nabi saw bermiqat
umrah dari situ pada tahun pembukaan Makkah.
Soalan
Apakah yang harus dilakukan jika seorang
wanita yang berniat ihram haji tetapi
tidak dapat menyempurnakan kesemua rukun-rukunnya
kerana kedatangan haid hingga tiba tarikh
kepulangan ke tanah airnya?
Jawapan
Ia boleh keluar meninggalkan Makkah hingga
ia sampai ke tempat yang tidak mungkin
ia kembali ke Makkah semua, di sana ia
bertahallul kalau belum bertahallul setelah
ia membayar dam kerana terhalang, dan
ia wajib membuat rukun yang tertinggal
itu pada bila-bila masa dengan ihram.
Soalan
Bagaimanakah yang harus dilakukan dan
apakah hukumnya bagi jemaah yang telah
berihram untuk mengerjakan haji atau umrah
tetapi tidak dapat meneruskan niatnya
untuk mengerjakan amalan-amalan tersebut
dan terpaksa membatalkan ihramnya itu
atas sebab-sebab tertentu seperti sakit
terlantar, coma, hilang fikiran dan tidak
dapat bergerak atau kerana keselamatan
yang tidak terjamin di Tanah Suci atau
di perjalanan menuju ke Tanah Suci ekoran
dari peperangan atau keadaan huru-hara?
Jawapan
Jemaah haji yang tidak dapat meneruskan
amalan haji atau umrahnya setelah mereka
berihram yakni berniat, maka mereka boleh
bertahallul dengan salah satu daripada
dua cara berikut:
a. Mereka hendaklah membayar dam kerana
terhalang dari meneruskan amalan iaitu
menyembelih seekor kambing di tempat hendaklah
dinilaikan harga kambing dan dibelikan
makanan untuk disedekahkan kepada fakir
miskin. Kalau tidak mampu hendaklah mereka
berpuasa menurut bilangan cupak yang dapat
dibeli dengan harga seekor kambing, secupak
puasanya sehari, kalau terdapat setengah
cupak, puasanya juga sehari. Setelah membayar
dam hendaklah mereka bertahallul dengan
bercukur.
b. Mereka boleh terus bertahallul jika
ada zuru yang menghalang tanpa membayar
dam jika mereka telah berniat ihram dengan
bersyarat iaitu kalau ada halangan, mereka
akan bertahallul. Contoh niatnya: Aku
niat haji/umrah dan aku berihram dengannya
dengan syarat aku bertahallul jika ada
uzur yang yang datang menghalang - atau
lafaz lain yang seumpamanya. Maka apabila
datang uzur mereka terus bertahallul.
Dalam kedua-dua keadaan mereka belum lagi
sempurna mengerjakan haji. Jadi yang belum
menunaikan haji wajib masih belum gugur
kewajipannya dan mesti menunaikan hajinya
di lain tahun.
Soalan
Adakah qaul yang membolehkan seseorang
itu menggantungkan niat ihramnya?
Jawapan
Ya, ada qaul dalam perkara ini. Caranya
ia hanya berniat ihram. Kemudian setelah
masuk ke Makkah baharulah ia menentukan
dengan niat haji atau umrah.
Soalan
Bilakah niat ihram untuk mengerjakan umrah
bertukar menjadi haji?
Jawapan
Apabila seseorang itu memasukkan niat
haji ke dalam umrahnya sebelum ia mula
tawaf umrah, jadilah hajinya haji qiran
dan dikenakan dam.