Soalan
Berapakah jenis tawaf?
Jawapan
a. Tawaf ada enam jenis.
b. Tawaf Haji
c. Tawaf Umrah
d. Tawaf Qudum
e.Tawaf Sunnat
f. Tawaf Nazar
g. Tawaf Wada
Soalan
Bagaimana mengerjakan tawaf dan di mana
tawaf bermula dan berakhir?
Jawapan
Caranya:
Apabila seseorang itu masuk ke Masjid
al-Haram pada mulanya hendaklah ia menuju
ke Hajar Aswad lalu mengucupnya dan sujud
atasnya. Kemudian ia berdiri mengadap
Baitullah sedang keseluruhan Al-Hajar
Al-Aswad di kanannya lalu berniat. Kemudian
dia pun mula berjalan dengan mengirikan
Baitullah. Dan yang lebih afdal jika keadaan
mengizinkan ia bergerak ke kanan Hajar
Aswad mengadap Baitullah hingga melalui
keseluruhan Al-Hajar Al-Aswad kemudian
ia mengirikan Baitullah dan memulakan
perjalanan tawafnya.
Soalan
Bagaimana cara mengatasi masalah bagi
seorang yang tidak dapat menghafal atau
membaca bacaan-bacaan yang ikhaskan semasa
mengerjakan tawaf dan sai?
Jawapan
Bacaan di dalam tawaf dan sai semuanya
sunat. Malah semua bacaan di dalam haji
dan umrah adalah sunat. Tidak mengapa
dibacanya apa sahaja doa yang diketahui
atau membaca surah-surah pendek dari Al-Quran
semasa tawaf, sai dan wukuf.
Soalan
Adakah batal air sembahyang apabila penyentuhan
berlaku di antara lelaki dan perempuan
semasa bertawaf?
Jawapan
Hukum yang muktamadnya adalah batal jika
penyentuhan kulit berlaku antara lelaki
dan perempuan yang bukan mahram dan sudah
mencapai umur yang diingini. Tetapi di
dalam mazhab Syafii kita ada pendapat
bahawa yang disentuh tidak batal. Pendapat
ini boleh dipakai dalam keadaan darurat.
Menurut pendapat Hanafi pula yang muktamad
tidak batal melainkan dengan syahwat -
pendapat ini boleh ditaklid dengan syarat
kita berwuduk menurut mazhab Hanafi dengan
menyapu sekurang-kurangnya suku kepala.
Soalan
Apakah hukum seoran yang mengerjakan haji
ifrad tetapi tidak melakukan tawaf qudum?
Jawapan
Haji ifradnya sah kerana tawaf qudum adalah
sunat.
Soalan
Bolehkah seorang melakukan tawaf haji
atau umrah tanpa niat untuk bertawaf?
Jawapan
Boleh. Kerana niat ihram haji dan umrah
mencakup semua amalan haji dan umrah
Soalan
Adakah sempurna satu pusingan tawaf seorang
yang terjatuh semasa melakukannya dan
beberapa kali terlepas dari mengirikan
bahunya ke Kaabah kerana ditolak?
Jawapan
Kalau ia yakin bahawa bahu kirinya telah
terpesong dari Kaabah semasa ditolak atau
terjatuh itu dan ada bahagian tembok Kaabah
itu yang tidak sempurna dikelilingi maka
hendaklah ia berundur ke belakang untuk
menyempurnakan perjalanan tawafnya, jika
tidak munkin, hendaklah ia menambah bilangan
untuk menyempurnakan tujuh pusingan yang
sempurna.
Soalan
Adakah sah tawaf seorang yang bercakap-cakap
atau memberi isyarat kepada orang lain
semasa melakukan tawaf?
Jawapan
Sah tawafnya. Tetapi perbuatannya itu
makruh melainkan jika perlu atau bercakap
sesuatu yang baik. Sebagaimana sabda Nabi
saw yang bermaksud: Bertawaf di Baitullah
itu adalah salat (sembahyang), hanya Allah
menghalalkan bercakap semasa tawaf, maka
sesiapa yang perlu bercakap, bercakaplah
dengan sesuatu yang baik.
Soalan
Apakah yang harus dilakukan oleh perempuan
yan datang haidnya sebelum tawaf ifadhah.
Bolehkah mereka meninggalkan tawaf itu
dan terus pulang tanpa tawaf ifadhah?
Jawapan
Tawaf ifadhah dalah rukun haji yang mesti
dikerjakan. Orang yang belum mengerjakan
tawaf ifadhah walaupun dia telah bertahallul
awal namun ada lagi perkara yang haram
atasnya selagi ia belum tawaf iaitu akad
nikah dan bersatu suami/isteri dan hajinya
atau umrahnya belum lagi sempurna.
Andainya seseorang wanita
yang datang dari jauh itu tidak dapat
bertawaf ifadhah kerana ia kedatangan
haid misalnya atau nifasnya belum selesai
dan dia terpaksa pulang bersama jemaah
yang, maka hukumnya seperti berikut:
a. Kalau dia telah membuat
syarat semasa berniat ihram andainya ia
uzur ia akan bertahallul, dia boleh bertahallul,
dia boleh bertahallul dengan bergunting
dan pulang tetapi hajinya belum sempurna.
Ia kena haji lagi pada bila-bila masa.
b. Kalau dia tidak membuat
syarat maka caranya hendaklah ia keluar
hingga sampai ke kawasan sejauh dua marhalah
dan menyembelih seekor kambing di situ
dan bertahallul dengan bergunting. Kewajipan
bertawaf ini masih ada atasnya dan wajib
melakukan pada bila-bila masa dengan berihram.
c.
Dia bertaklid dengan Mazhab Hanafi/Hambali
yang tidak mensyaratkan suci ketika bertawaf.
Lalu dia bertawaf dan sah hajinya tetapi
ia berdosa kerana masuk masjid dalam keadaan
haid dan dikenakan dam seekor unta. Ini
diharuskan kalau sukar baginya menunggu
hingga suci.
Soalan
Bolehkah seorang menjatuhkan niat mengerjakan
tawaf di antara Rukun Yamani dan Rukun
Hajar Aswad?
Jawapan
Ya, boleh.
Soalan
Apakah hukum meninggalkan kota Makkah
selepas hari Tasyrik untuk menginap sementara
di Jeddah buat beberapa hari sebelum mengerjakan
Tawaf Ifadhah?
Jawapan
Hukumnya adalah harus. Tetapi yang afdalnya
dibuat Tawaf Ifadhah itu pada hari kesepuluh
Zulhijjah setelah melontar Jamrah Aqabah.
Ataupun sebaik-baik selesai melontar hari
Tasyrik.
Soalan
Bolehkah seseorang yang hendak pergi ke
Jeddah atau Medinah kerana sesuatu urusan
dan akan kembali semula ke Makkah tanpa
mengerjakan tawaf wada’?
Jawapan
Wajib mengerjakan tawaf wada’. Kecuali
orang yang memang berulang alik kerana
kerjanya seperti pemandu teksi misalnya.
Soalan
Adakah dikenakan dam bagi seseorang yang
meninggalkan tawaf wada’ kerana
uzur atau darurat?
Jawapan
Tidak dikenakan dam.
Soalan
Adakah tawaf wada’ boleh diganti
dengan ibadat lain?
Jawapan
Digantikan dengan dam. Jika ditinggalkan
tanpa uzur hukumnya berdosa.
Soalan
Apakah hukum meninggalkan tawaf wada’
dengan sengaja dan apakah damnya? Adakah
dam kerana tidak bertawaf Wada’
boleh digantikan dengan puasa?
Jawapan
Hukumnya berdosa. Damnya ialah menyembelih
seekor kambing di tanah haram. Jika tidak
mampu maka hendaklah puasa 10 hari - 3
hari di Makkah dan 7 hari apabila kembali
ke negeri sendiri.
Soalan
Bagaimana mengerjakan sai dan di mana
sai bermula dan berakhir?
Jawapan
Mengerjakan sai ialah dengan berjalan
cepat dan memendekkan langkah. Apabila
sampai di kawasan yang bertanda hijau
pada tiang-tiang di tepi Masa’a
itu sunat pula berlari-lari anak bagi
kaum lelaki sahaja. Sai bermula dari Bukit
Safa dan berakhir di Bukit Marwah.
Soalan
Adakah sah sai seorang tanpa wuduk?
Jawapan
Sah sainya.
Soalan
Adakah sai sunat boleh dikerjakan seperti
tawaf sunat?
Jawapan
Tidak ada sai sunat.
Soalan
Adakah sah sai seseorang yang tidak memijakkan
kakinya ke batu asalnya?
Jawapan
Sah hajinya asalkan dia menghbiskan jalannya
hingga ke kaki bukit dan afdal ia naik
sedikti.
Soalan
Adakah
dikenakan dam bagi seorang yang bertahallul
di Safa kerana salah kira?
Jawapan
Jika sai nya sudah cukup bilangannya sahlah
tahallulnya. Jika belum, ia wajib menyempurnakan
sai nya dan dia dikenakan dam kerana membuang
rambut sebelum masanya