TEKS
DOA
MAJLIS PELANCARAN SAMBUTAN KEMERDEKAAN
SEMPENA PERAYAAN KEMERDEKAAN KE-50,
TAHUN 2007

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian
alam. Salawat dan salam ke atas junjungan
Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi
wasallam, ahli keluarganya dan para
sahabat sekalian.
Ya Allah, sesungguhnya kami bersyukur
kepada-Mu kerana memberi nikmat pembangunan
dan kemerdekaan yang dapat dinikmati oleh
rakyat di negara ini. Ya Allah, kekalkanlah
pembangunan yang telah kami laksanakan
sama ada yang berbentuk material atau spiritual.
Martabatkanlah negara kami dan seluruh
rakyat di negara kami. Kami bersyukur kepada-Mu
ya Allah kerana kemajuan yang kami perolehi
adalah hasil daripada kemerdekaan yang
telah Engkau anugerahkan kepada kami.
Sempena Majlis Pelancaran Sambutan
Kemerdekaan Dan Kibar Jalur Gemilang
sempena Perayaan Kemerdekaan Ke-50, Tahun
2007 ini, kami pohonkan ihsan
daripada-Mu Ya Allah, agar engkau kurniakan
kepada kami nikmat kesejahteraan dan
keselamatan yang berterusan, lindungilah
kami daripada segala keburukan dan keaiban,
hindarkanlah kami daripada segala rupa
bentuk kemungkaran dan kemaksiatan. Peliharalah
kami daripada segala bencana, anugerahkanlah
kami dengan kesihatan agar kami dapat
berbakti kepada agama, bangsa dan negara
tercinta ini.
Ya Allah, Tuhan
yang menguasai sekalian alam,
Engkau peliharalah tanah air kami Malaysia
yang kami cintai ini. Engkau peliharalah
perpaduan di antara kami demi kepentingan
negara Malaysia yang kami kasihi. Ya Allah,
kami bersyukur kepada-Mu kerana dapat hidup
dalam keadaan aman, damai, harmoni, percaya-mempercayai,
saling hormat-menghormati serta tolong-menolong
yang menjadi tunjang kepada kemakmuran negara
kami sehingga ke hari ini.
Ya Allah, Ya Tuhan yang Maha Pengasih
dan Maha Penyayang,
Kami memohon restu daripada-Mu, Engkau anugerahkanlah
bangsa kami ini menjadi bangsa yang setanding
dengan bangsa dan negara-negara maju lain
di dunia ini.
Engkau kekalkanlah kemerdekaan ini untuk
generasi kami dan generasi yang akan datang.
Engkau kurniakanlah kepada kami kekuatan,
semangat dan kesabaran yang tinggi untuk
membentuk generasi baru yang boleh menghargai
dan mempertahankan kemerdekaan ini, agar
perjuangan awal yang dirintis oleh orang-orang
terdahulu daripada kami tidak akan menjadi
sia-sia.
Peliharalah kemerdekaan ini ya Allah,
agar bangsa kami menjadi bangsa yang sihat,
berdisiplin, bertoleransi, pemurah, peramah
dan hidup di kalangan masyarakat berbilang
kaum bagaikan satu keluarga.
Peliharalah kemerdekaan ini ya Allah,
supaya hati kami, jiwa kami dan minda kami
sentiasa berada dalam keimanan yang teguh
dan dapat memakmurkan negara dan bangsa.

|