PLANET MARIKH PALING HAMPIR
DENGAN BUMI

Gambar simulasi Planet Marikh menggunakan perisian
Celestia
Pada 28 Januari
2010 planet Marikh akan berada hampir dengan Bumi.
Marikh planet yang berjiran dengan Bumi merupakan planet
yang keempat dari Matahari. Planet ini dikenali juga
sebagai planet merah kerana permukaannya berwarna merah.
Planet ini terbit di ufuk timur pada 7.31 malam dan
selepas jam 9.0 0 malam adalah sesuai untuk dilihat
kerana ia berada pada altitud lebih dari 20 darjah dari
ufuk. Planet ini kelihatan seperti satu bintang yang
terang berwarna kemerahan. Ia merupakan objek di langit
cerah pada bulan ini.
Kecerahannya
hampir menyamai bintang Sirius iaitu bintang yang paling
cerah. Planet ini berada hampir dengan Bumi ketika
istiqbal. Istiqbal Marikh ialah kedudukan Marikh dan
Bumi berada dalam keadaan bertentangan dengan Matahari
dalam sebaris. Bumi terletak di tengah antara Marikh dan
Matahari. Ketika Istiqbal, Marikh akan kelihatan lebih
cerah dan lebih besar. Tempoh Marikh mengorbit Matahari
ialah 687 hari manakala Bumi ialah 365 hari. Ini
bermakna Bumi mengorbit dua kali lebih sedikit menyamai
satu kali Marikh mengorbit Matahari. Oleh itu Bumi dan
Marikh dalam tempoh dua tahun dua bulan atau 780 hari
akan berada hampir. Istiqbal yang pernah berlaku sebelum
ini ialah pada tahun 2003 , 2005 dan 2007. Tahun 2003
adalah jarak Marikh paling hampir dengan Bumi pada jarak
56 juta kilometer.
Istiqbal kali
ini, Marikh berada pada jarak 99 juta kilometer dari
Bumi, jarak kali ini lebih besar
dari tahun 2003. Istiqbal ini akan berlaku pada 18:54
(UT), 29 Januari 2010 atau waktu tempatan 02:54, 30
Januari 2010 . Oleh kerana orbit Marikh ini mempunyai
nilai ekliptik yang tinggi secara relatif menyebabkan
tarikh Istiqbal tidak sama dengan tarikh ia paling
hampir dengan Bumi. Marikh paling hampir dengan Bumi
ialah pada 3:48 (UT) 28 Januari 2010 atau waktu tempatan
11:48, 28 Januari 2010 . Istiqbal yang akan datang akan
berlaku pada 3 Mac 2012.
Pada 28 Januari
2010, jam 10 malam planet Marikh boleh dilihat tinggi di
langit timur dalam buruj
Cancer dan tidak jauh dari Bulan yang hampir purnama .
Ia kelihatan sangat terang seperti
bintang berwarna kemerahan. Dengan menggunakan teleskop
bersaiz kecil atau sederhana
kita boleh melihat permukaannya.
Kompleks Falak Al-Khawarizmi akan melakukan cerapan pada
28 Januari 2010 bermula jam 9 malam hingga 11 malam.
Cerapan ini terbuka kepada orang ramai. Teleskop akan
disediakan untuk cerapan pada malam tersebut.
Disediakan
oleh, Dr (H) Kassim Bin Bahali
Ketua
Bahagian Falak,
Jabatan
Mufi Negeri Melaka.
|