|
Cara Menyambut Aidilfitri
Bulan Ramadan yang penuh keberkatan
telah sampai ke penghujungnya. Kini Aidilfitri menjelang
tiba. Aidilfitri disambut dengan penuh kesyukuran dan
kegembiraan kerana itulah tanda bahawa perjuangan melawan
hawa nafsu di bulan Ramadan telah berjaya.
Tapi ini bukan bererti perjuangan
tersebut berhenti setakat itu sahaja sebaliknya amalan-amalan
baik yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan wajar diteruskan
dan amalan yang haram adalah ditegah. Namun dalam keghairahan
dan kegembiraan menyambut hari raya yang mulia, umat
islam diingatkan agar jangan melampaui lunas-lunas dan
batasan yang telah ditetapkan oleh Islam.
Ini kerana dibimbangi, hariraya yang
dijadikan oleh Allah swt sebagai anugerah kerana kejayaan
hambanya beribadah dan berjuang melawan hawa nafsu selama
sebulan bertukar menjadi hari untuk menghimpunkan dosa-dosa
yang tidak dapat dilakukan sepanjang bulan Ramadan.
Islam telah memberikan beberapa garis
panduan yang sewajarnya menjadi amalan umat Islam dalam
menghadapi kemeriahan berhari raya. Antara amalan sunat
yang dianjurkan untuk menjadi amalan menjelang hari
raya ialah:
:- Bertakbir dan bertahmid kepada Allah
bermula dari waktu terbenam matahari malam hari raya
sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang
hari raya. Firman Allah : "Dan hendaklah kamu mencukupkan
bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas
petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur"
(Surah al-Baqarah :185)
:- Mandi sunat di pagi hari raya :-
Memakai pakaian baru atau bersih
:- Memakai wangi-wangian dan menghilangkan
segala bau yang tidak elok
:- Memohon kemaafan dan keampunan
kepada dua ibubapa, suami atau isteri dan ahli keluarga
yang lain
:- Makan sedikit sebelum ke masjid
dan melalui jalan yang berbeza untuk pergi dan pulang
dari masjid
:- Solat Sunat Hari Raya
:- Ziarah menziarahi dan sebagainya.
Ketika sedang gembira berhari raya, jangan dilupa pada
golongan yang memerlukan Amalan bersedekah merupakan
cara terbaik sebagai tanda kesyukuran di atas segala
nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah.
Selain daripada itu, dalam kesibukan
membuat persiapan menghadapi hari raya , perlu dielakkan
campuraduk antara amalan-amalan yang baik dengan perkara
yang ditegah. Di antaranya pembaziran dalam penyediaan
makanan dan minuman. Selain itu, percampuran di antara
lelaki dan perempuan secara bebas di dalam sesuatu majlis
perlu dielakkan daripada berlaku.
Perkara-perkara maksiat yang ditegah
oleh syara' mestilah dijauhi dan janganlah melakukan
perlanggaran batas-batas agama. Umat Islam juga perlulah
menjaga adab sopan ketika ziarah menziarahi sanak saudara.
Di antaranya ialah dengan memilih waktu
yang sesuai untuk berziarah. Apa yang diharapkan, hari
raya bukan semata-mata hari untuk bergembira tetapi
yang lebih penting dan utama ialah mendapat keredhaan
dari Allah s.w.t.
|