:: Informasi Aidilfitri ::
>> Aidilfitri dari perspektif Islam
>> Menghayati Aidilfitri
>> Sunnah Nabi S.A.W. di hari raya
>> Cara menyambut Aidilfitri
>> Pengisian program Aidilfitri
>> Keutamaan Puasa Enam
>> Lafaz Takbir Hari Raya

Menghayati Aidilfitri

Pada ketika ini kita semua sedang dalam keadaan suasana kegembiraan menyambut Aidilfitri. Berziarah dan kunjung mengunjung, membuat rumah-rumah terbuka, menjamu sanak saudara dan sahabat handai.

Begitulah kebiasaan atau tradisi kita menyambut lebaran. Semoga kita menyambut Aidilfitri ini mengikut seperti mana yang telah dianjurkan oleh syara' dengan tidak mencemari dan merosakkan keimanan yang telah kita sucikan disepanjang bulan Ramadhan.

Antara perkara yang dianjurkan oleh syara' itu ialah :-

Pertama - bermaaf-maafan, perkara ini bukan hanya dilakukan pada hari raya sahaja, bahkan sewajarnya dilakukan dari masa ke semasa dengan seberapa segera, demi mengukuhkan ikatan persaudaraan agar terus menjadi erat dan mesra.

Kedua - kunjung mengunjung ( berziarah ) tanda persaudaraan dan silaturrahim. Mengujudkan hubungan silaturrahim ini merupakan salah satu yang dituntut oleh Islam bahkan dengan mengujudkan silaturrahim itu adalah jalan kepada hubungan dengan Allah Subhanahu Wataala. Ini jelas sebagaimana hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam riwayat Al-Imam At-Tarmizi :- Maksudnya :-

Hubungan silaturrahim adalah jalinan daripada tuhan yang pengasih. Siapa yang menyambungnya, Allah juga berhubung dengannya dan siapa yang memutuskannya, Allah memutuskan hubungan dengannya.

Dalam pada itu patut kita ingat bahawa dalam kita asyik mengadakan kunjungan itu, janganlah pula sampai tertinggal sembahyang atau melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran-ajaran agama Islam seperti bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Ketiga - selain ziarah menziarahi di hari yang mulia ini, marilah kita sambut dengan cara yang berpatutan baik dari segi mengadakan jamuan, perhiasan, mahu pun pakaian, jangan sampai wujud pembaziran yang akan menyebabkan kita menanggung beban dikemudian hari. Hari raya ini bukan untuk kita menunjuk-nunjuk atau berbangga-bangga, akan tetapi hari raya adalah hari untuk kita meningkatkan hubungan kita dengan Allah Subhanahu Wataala dan hubungan kita sesama makhluk. Ingatlah akan Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ali-Imran ayat 112 :- Tafsirnya :-

Mereka diliputi kehinaan dimana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali ( agama ) Allah dan tali perjanjian dengan manusia, dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka mengingkari dengan ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar, yang demikian itu disebabkan mereka durhaka dan melampaui.

Keempat - janganlah hendaknya ibu bapa membiarkan anak-anak mereka berhari raya dengan yang bukan mahramnya, balik hingga lewat malam dan menjadikan hari raya ini sebagai hari pergaulan bebas diantara mereka dan kawan-kawan.

   
   
© Jabatan Mufti Melaka