|
Bulan
Ramadan yang penuh keberkatan telah sampai ke penghujungnya.
Kini Aidilfitri telahpun tiba. Aidilfitri disambut dengan
penuh kesyukuran dan kegembiraan kerana itulah tanda
bahawa perjuangan melawan hawa nafsu di bulan Ramadan
telah berjaya. Tapi ini bukan bererti perjuangan tersebut
berhenti setakat itu sahaja sebaliknya amalan-amalan
baik yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan wajar diteruskan
dan amalan yang haram adalah ditegah. Namun dalam keghairahan
dan kegembiraan menyambut hari raya yang mulia, umat
islam diingatkan agar jangan melampaui lunas-lunas dan
batasan yang telah ditetapkan oleh Islam. Ini kerana
dibimbangi, hari raya yang dijadikan oleh Allah swt
sebagai anugerah kerana kejayaan hambanya beribadah
dan berjuang melawan hawa nafsu selama sebulan bertukar
menjadi hari untuk menghimpunkan dosa-dosa yang tidak
dapat dilakukan sepanjang bulan Ramadan.
Ketika
sedang gembira berhari raya, jangan dilupa pada golongan
yang memerlukan. Amalan bersedekah merupakan cara terbaik
sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat dan rezeki
yang dikurniakan oleh Allah. Selain daripada itu, dalam
kesibukan membuat persiapan menghadapi hari raya , perlu
dielakkan campuraduk antara amalan-amalan yang baik
dengan perkara yang ditegah. Di antaranya pembaziran
dalam penyediaan makanan dan minuman. Selain itu, percampuran
di antara lelaki dan perempuan secara bebas di dalam
sesuatu majlis perlu dielakkan daripada berlaku. Perkara-perkara
maksiat yang ditegah oleh syara' mestilah dijauhi dan
janganlah melakukan perlanggaran
batas-batas agama. Umat Islam juga perlulah menjaga
adab sopan ketika ziarah menziarahi sanak saudara. Di
antaranya ialah dengan memilih waktu yang sesuai untuk
berziarah. Apa yang diharapkan, hari raya
bukan semata-mata hari untuk bergembira tetapi yang
lebih penting dan utama ialah mendapat keredhaan dari
Allah s.w.t.
Dapatkan
maklumat lanjut berkaitan Aidilfitri di portal Al-Azim.com.
|