|
Pengisian Program
Aidilfitri
Aidilfitri hendaklah disambut dengan
acara-acara yang ditunjukkan oleh Al-Quran dan Al-Sunnah,
iaitu:
a. Membanyakkan Ucapan Takbir
Firman Allah: "Dan sempurnakanlah ibadah
puasa kamu mengikut bilangan hari dalam bulan Ramadhan
(29 atau 30 hari), dan bertakbirlah (membesarkan Allah)
atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu
bersyukur." (AlBaqarah : 185) Sabda Rasullullah s.a.w.
pula: "Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir dan tahmid."
Di dalam kitab-kitab Fiqh dijelaskan, takbir hari raya
itu terbahagi kepada dua:
1. Takbir Mursal: Ia sunat dilafazkan
sama ada oleh orang yang bermukim atau musafir, di masjid
atau di jalan, dengan cara duduk atau berdiri, di pasar-pasar,
di rumah-rumah kediaman dan sebagainya. Waktunya bermula
dari ghurub matahari akhir Ramadhan dan berterusan sepanjang
malam Hari Raya hingga solat 'Id didirikan pada esok
hari. Demikian juga bagi Takbir 'Id Al-Adhha (Hari Raya
Qurban) sunat dilafazkan sepanjang malam hingga esok
harinya ketika solat 'Id Al-Adhha dilaksanakan.
2. Takbir Muqaiyad: Iaitu takbir yang
terikat dengan waktu-waktu solat. Jelasnya ia sunat
dilafazkan setiap kali selesai solat. Waktunya bermula
selepas Subuh hari Arafah (hari ke-9) dan berakhir selepas
Asar 13 Zulhijjah.
b. Menunaikan Zakat Fitrah
Walaupun dibolehkan pembayarannya sejak
awal Ramadhan, yang afdhalnya ialah pada pagi hari Raya
selepas solat Subuh dan sebelum solat 'Id didirikan.
Inilah menurut hukum asal yang dipraktikkan pada zaman
hayat Rasullullah s.a.w. dan para sahabat serta tabi'in
yang lalu. Masa dulu Zakat Fitrah pada peringkat awal
yang lalu dalam bentuk makanan asasi dan terus disampaikan
kepada fakir miskin. Jadi, dalam saat-saat mereka hendak
menyambut 'Idil Fitri, hari mulia yang penuh barakah,
alangkah gembiranya mereka mendapat pemberian makanan
itu. Ibnu Abbas r.a. berkata: "Rasullulah s.a.w. memfardhukan
Zakat Fitrah itu sebagai (I) membersihkan kecacatan
ibadah puasa kerana perbuatan yang sia-sia dan mencarut,
(2) di samping itu menjadi habuan untuk orang-orang,
miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat 'Id,
maka zakatnya itu diterima. Tetapi yang membayarnya
selepas solat 'Id, ia menjadi sodaqah biasa." (Riwayat
Abu Dawud, Ibnu Majah dan disahkan oleh al-Hakim). Masa
kini Kini di negara kita, Zakat Fitrah diberikan dalam
bentuk wang ringgit sebagai ganti beras. Fakir dan miskin
telah menerima habuan sebelum Hari Raya dengan diberi
pendahuluan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri-negeri.
Oleh itu, elok Zakat Fitrah dibayar lebih awal atau
pada malam Hari Raya, untuk mengelakkan kesibukan tugas
amil memungutnya.
PERINGATAN
Sempena 'Idul Fitri, selain diwajibkan
berfitrah, umat Islam yang berkemampuan disunatkan memberikan
sodaqah-sodaqah yang lain dengan mengutamakan kaum kerabat
kita yang susah, kemudian barulah kepada fakir miskin
dan anak-anak yatim.
c. Menghadiri Upacara Solat Sunat Aidilfitri
Sekalian umat Islam tua atau muda,
lelaki dan perempuan termasuk yang haidh disunatkan
menghadiri upacara perhimpunan Solat Sunat Aidilfitri,
yang merupakan muktamar tahunan bagi masyarakat Islam
setempat. Kehadiran mereka sebagai menghayati syi'ar
keagungan Islam dan lambang perpaduan umat, di samping
itu mereka berpeluang bertakbir (mengagungkan Allah)
beramai-ramai, mendengar khutbah 'Id yang penting, berzikir
dan mengaminkan do'a yang dibaca oleh imam. Bagi yang
tidak uzur berpeluang mendirikan solat Hari Raya. Daripada
Ummu 'Atiyah r.a. ujarnya: "Kami disuruh membawa
gadis-gadis kecil dan wanita-wanita yang haidh pada
dua Hari Raya ('Idil Fitri dan 'Idil Adhha), agar mereka
menyaksikan kebajikan dan do'a kaum muslimin, tetapi
wanita-wanita yang sedang haidh itu terpisah dari tempat
solat." (Muttaqafaq 'alaih)
Untuk Hari Raya Puasa kita disunatkan
menjamah juadah terlebih dahulu, kemudian pergi ke musolla
(tempat solat). Tetapi untuk Hari Raya Haji sunat tidak
makan terlebih dahulu, sebaliknya kita bersegera ke
upacara perhimpunan solat. Solat Aidil Adha disegerakan,
lalu menyembelih qurban. Kemudian, kita pulang dengan
membawa daging qurban, lalu dimasak dan baru makan.
Mengikut Syara', sunat bagi kita mandi pada pagi Hari
Raya dan memakai pakaian serba baru atau yang bersih
dan indah. Kemudian, ketika kita pergi ke musolla (masjid/surau),
pergi melalui satu jalan dan pulang melalui satu jalan
yang lain, dengan tujuan dapat bertemu lebih ramai sahabat
handai dan saudara sesama Islam. Kita sama-sama mengucapkan
salam 'Idil Fitri sambil berbalas senyuman, sama-sama
menyatakan gembira dan bersyukur ke hadhrat Ilahi atas
petunjuk dan pertolongan-Nya sehingga kita berjaya menundukkan
nafsu sepanjang bulan Ramadhan.
d. Amalan-amalan Menjelang Hari Raya
Puasa
Umat lslam digalakkan melakukan i'tikaf
beramai-ramai di masjid pada malam-malam sepuluh terakhir
pada bulan Ramadhan (malam ke-21 hingga malam ke-30)
kerana mengharap bertemu malam Lailatul qadr, yang mempunyai
nilai lebih baik daripada seribu bulan. Amalan ini dilakukan
pada zaman hayat Rasulullah s.a.w., para sahabat dan
abad-abad berikutnya. Bahkan hingga kini masih dilakukan
besar-besaran di sesetengah negara lslam khususnya di
Makkah. Namun di negara kita kebanyakan umat Islam menyambut
'Idil Fitri dengan cara melebihkan faktor fizikal atau
lahiriah. Sejak awal Ramadhan lagi mereka lebih tertumpu
ke pusat membeli-belah, melengkapkan persiapan dengan
membeli pakaian, hiasan rumah dan sebagainya secara
berlebih-lebihan. Apabila Hari Raya sudah hampir, kebanyakan
suri rumah lebih menumpukan perhatian terhadap penyediaan
kuih-muih yang pelbagai jenis. Malam Hari Raya yang
sepatutnya dipenuhi dengan ibadah-ibadah qiyamullail,
telah dikorbankan kerana memasak ketupat, lemang, rendang
dan sebagainya. Anak-anak tidak diajar mengucapkan takbir
tetapi disogokkan dengan permainan bunga api dan mercun,
yang bukan sahaja membazir wang ringgit malah membahayakan.
e. Sederhana dan Diredhai Allah
Umat Islam wajib menilai semula segala
aktiviti yang telah berjalan selama ini, yang sesetengahnya
telah menjadi 'budaya' termasuk acara menyambut 'ldil
Fitri. Ciri-ciri yang diambil dari budaya luar Islam
atau warisan budaya bangsa yang tidak sesuai dengan
aqidah dan syari'ah lslam hendaklah ditinggalkan. Kita
boleh menyediakan makanan. juadah dan kuih-muih untuk
Hari Raya tetapi biarlah dalam bentuk sederhana. Demikian
juga persiapan-persiapan seperti menghias rumah, pakaian,
biarlah sederhana dan sesuai dengan pendapatan keluarga.
Acara ziarah-menziarahi saudara-mara, kaum kerabat,
orang-orang yang berjasa kepada kita seperti guru-guru
dan sahabat handai, ini sebenarnya tidak terbatas sempena
Hari Raya sahaja, tetapi perlu dilakukan pada hari dan
bulan lain, yang sesuai dari masa ke semasa, sebagaimana
sabda Nabi s.a.w. Maksudnya: "Ziarahilah saudara-mara
kamu dari masa ke semasa, kerana ia boleh menambahkan
kasih sayang." Lebih-lebih lagi menziarahi ibu bapa
kita hendaklah dilakukan lebih kerap dan jangan menunggu
pada Hari Raya sahaja."
|