|
Aidilfitri Dari Perspektif
Islam
Aidilfitri sebagai hari yang berkat
dan hari yang hanya terkhusus bagi kaum muslimin adalah
merupakan satu syiar. Sudah setentunya kita bergembira
serta bersyukur dengan kedatangan 1 Syawal. Hari raya
adalah hari menerima ganjaran bagi mereka yang benar-benar
beramal di bulan Ramadhan.
Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis Nabi Sallallahu
Alaihi Wasallam yang diriwayatkan daripada Saad bin
Aus Al-Ansari daripada ayahnya Radiallahuanhu baginda
bersabda maksudnya :-
"Apabila tiba Hari Raya Fitrah, berdirilah malaikat
di pintu-pintu jalan lalu menyeru, pergilah wahai kaum
muslimin menghadap tuhan yang pemurah yang memberikan
kebajikan dan kemudian memberikan pahala yang banyak,
demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan untuk melakukan
Qiamullail maka kamu membuatnya, dan kamu diperintahkan
untuk berpuasa pada siangnya maka kamu berpuasa, kamu
juga mentaati tuhan kamu maka kamu terimalah balasan
kamu, maka apabila bersembahyang maka akan menyerulah
orang yang menyeru : ketahuilah bahawasanya tuhan kamu
telah mengampunkan kamu dan pulanglah menuju tunggangan
kamu dan itu adalah hari menerima balasan dan dinamakan
hari itu di langit sebagai hari Aljaizah ( hari mendapat
ganjaran )".
Pada hari raya ini kita disunatkan sesama Islam saling
mengucapkan tahniah dengan mendoakan diantara satu sama
yang lain seperti mengucapkan yang ertinya : semoga
Allah menerima daripada kita dan menerima daripada awak.
Adapun maksud daripada kalimah tahniah yang berbentuk
doa ini membawa makna semoga diterima puasa dan amal
kebajikan yang kita buat di bulan Ramadhan. Ahli jumaat
sekalian, Marilah kita menyambut hari raya ini dengan
cara yang sederhana tetapi yang penting, ia adalah melahirkan
rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wataala.
Janganlah pula kita korbankan kesan didikan daripada
puasa itu dengan kita kembali mengikut hawa nafsu kepada
perbuatan maksiat. Jiwa yang sudah dibersihkan, dikotorkan
semula. Fikiran yang dijernihkan dengan bacaan Al-Quran
diracuni dengan kefahaman yang karut, perangai atau
akhlak yang sudah pulih, kita rosakkan pula kerana dorongan
syaitan.
Walau pun bulan Ramadhan baru berlalu meninggalkan kita,
namun perjuangan memerangi hawa nafsu tidak akan turut
berlalu. Oleh yang demikian diantara perkara-perkara
atau amalan yang harus kita teruskan setelah kita meninggalkan
bulan Ramadhan ialah :-
* Tahu menjaga masa dan menggunakan dengan sebaik-baiknya.
* Menahan diri, perasaan, kehendak
hawa nafsu dan keinginan yang tidak wajar serta yang
bertentangan dengan syariat.
* Sikap gemar bersedekah, sifat pemurah, sifat suka
menolong orang dengan menghulurkan bantuan dan sifat
belas ihsan.
* Kesungguhan beribadat kepada Allah
Subhanahu Wataala - Sifat suka berjemaah di masjid.
* Sifat tabah sabar dan tahan diuji
serta lain-lain lagi. Semoga dengan bermulanya Syawal
ini akan menjadi titik tolak dan azam kita untuk meneruskan
segala amalan-amalan yang baik samada berupa ibadat
atau perkara-perkara kebajikan.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam
Surah Ath-Thuur, ayat 17-19, Tafsirnya :
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, ditempatkan
dalam taman-taman syurga dan nikmat kesenangan yang
tidak ada taranya. Mereka bersenang lenang dengan apa
yang dikurniakan oleh tuhan mereka dan mereka dipelihara
tuhan daripada azab neraka. Dan dikatakan kepada mereka
: " Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman yang
lazat serta baik kesudahannya dengan sebab apa yang
kamu telah kerjakan ."
|