|
Sunnah Nabi S.A.W.
di hari raya
Kegembiraan umat Islam menjelangnya
Hari Raya Aidilfitri tidaklah bererti kita menyambutnya
sebagaimana kaum-kaum yang lain bersuka ria pada hari-hari
kebesaran mereka.
1. Sebelum pergi menunaikan solat sunnah
Hari Raya Aidilfitri, Baginda SAW akan mengenakan pakaiannya
yang terbaik, kemudian menjamah tamar dengan bilangan
butiran ganjil iaitu tiga, lima atau tujuh biji. Hal
ini berlainan dengan Hari Raya Aidiladha di mana Baginda
SAW imsak (tidak makan) sebelum menunaikan solat sunnah
Hari Raya Aidiladha.
2. Baginda SAW akan berpesan agar kaum
muslimin menyegerakan pembahagian zakat fitrah kepada
mereka yang berhak, manakala solat sunnah Aidiladha
disegerakan supaya umat Islam dapat mempercepatkan urusan
sembelihan korban. Mengenai hal tersebut, Allah Ta 'ala
berfirman: "Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan
berkorbanlah! " (Al Kautsar: 2).
3. Ibnu Umar RA kerana mahu bersungguh
menghayati sunnah Nabi SAW, beliau hanya akan keluar
untuk pergi menunaikan solat sunnah selepas terbitnya
matahari dan di sepanjang perjalanan beliau akan terus
bertakbir dan bertahmid memuji Allah SWT.
4. Nabi SAW akan mengerjakan solat
sunnah itu sebelum berkhutbah. Di dalam solat berkenaan,
Baginda SAW akan bertakbir sebanyak 7 kali dan berhenti
seketika. Hanya Riwayat Ibnu Mas'ud sahaja yang menjelaskan
bahawa Nabi SAW membaca Hamdalah dan berselawat di antara
takbir-takbir itu. Pada rakaat yang kedua, takbir adalah
sebanyak lima kali. Diriwayatkan juga bahawa Ibnu Umar
RA mengangkat kedua-dua tangannya semasa bertakbir.
5. Pada rakaat pertama Nabi SAW akan
membaca Al-Fatihah dan Surah Al-Qaf dan di rakaat yang
kedua pula Al-Fatihah bersama Surah Al-Qamar. Kadang-kadang
Baginda SAW akan membaca Surah Al-A'la dan Surah Al-Ghasyiah.
6. Nabi SAW tidak mengerjakan sebarang
solat sebelum atau selepas solat sunnah hari raya itu.
Dari Ibnu Abbas RA, beliau berkata : "Sesungguhnya Nabi
SAW menunaikan solat Aid dua rakaat tanpa disertai solat
yang lain baik sebelumnya mahu pun sesudahnya. " (HR.
Al Bukhari dan Muslim dan yang lain).
|