INFO HAJI >> SUNAT HAJI

Sunat haji tujuh perkara, diantaranya ifrad, iaitu mendahulukan ibadah atau perbuatan haji ke atas umrah, kedua talbiah - memuji kebesaran Allah, ketiga, melakukan tawaf qudum sebaik sahaja tiba di Kota Mekah, keempat, mabit/bermalam di Muzdalifah, kelima solat dua rakaat tawaf, keenam, bermalam di Mina, dan akhir sekali, tawaf wida' sunat hukumnya bagi orang yang hendaklah meninggalkan Mekah.

Melakukan ibadah haji ifrad hukumnya sunat, tidak dikenakan dam, berbeza dari tamattu' dan qiran, kedua-duanya dikenakan dan ke atas orang yang melakukannya (akan dijelaskan kemudian). Sunat haji kedua ialah talbiah iaitu memuji kebesaran Allah di sepanjang masa melakukan ibadah haji dan memakai ihram. Lafaz talbiahnya ialah "Labbai Allah Humma Labaik, Labbaika la Syarikalaka Labbaik. Innal hamda wa al-nikmata laka wa al-mulk, la syarikalak". Orang lelaki sunat menguatkan suara talbiahnya sepanjang memakai ihram dan orang perempuan pula sunat memperlahankannya dan memperbanyakkan talbiah sekalipun dalam keadaan haid. Boleh dilakukan dengan bahasa terjemahan jika tidak boleh berbahasa arab.

Sunat haji ketiga ialah tawaf qudum iaitu dilakukan sebaik sahaja memasuki Kota Mekah. Masanya berpanjangan sehingga sebelum waktu wuquf. Tawaf qudum juga dikenali sebagai tawaf menghormati ka'abah, setelah selesai melakukanya barulah dilakukan solat tahiyyat masjid al-mukaramah. Makruh duduk di masjid tersebut sebelum melakukan solat tersebut.

Sah tawaf apabila memenuhi syarat-syarat berikut iaitu suci daripada hadas kecil dan besar, dan suci daripada najis, menurup aurat seperti dalam solat, dilakukan dlam Masjid al-Haram, sempurna tujuh kali keliling Ka'abah dan tertib iaitu dimulakan pada garis tanda Hajar Aswad dan jadikan Ka'abah sebelah kirinya ketika tawaf dan niat tawaf qudum.

Perkara yang disunatkan ketika melakukan tawaf ialah sunat mengerjakan tawaf dengan berjalan kaki, berjalan dengan langkah pendek tetapi cepat terutama tiga keliling yang pertama, hampir dengan ka'abah, mengucup Hajar Aswad atau jika keadaan terlalu sesak cukup dengan lambaian dan ucapkan "Bismillahi wa Allahu Akbar", disamping berdoa untuk kedua ibubapa dan lainnya, dan makruh berbual/sembang, akhir sekali solat sunat tawaf dua rakaat.

Sunat haji keempat ialah mabit/bermalam di Muzdalifah. Para haji mula berangkat ke Muzdalifah selepas terbenam matahari pada hari Arafah dan di jamakkan solat maghrib dalam waktu insyak iaitu jamak ta'khir sebaik sahaja sampai di Muzdalifah. Maksud mabit di sini ialah berhenti selepas tengah malam di Muzdalifah. Orang yang berihram perlu mengerjakan solat subuh pada malam pertama, kemudian berwukuf di Masy'arilharam sehingga terbit matahari dengan memperbanyakkan zikir dan doa.

Solat dua rakaat tawaf merupakan sunat haji yang kelima. Ia disunatkan kepada orang yang bertawaf setelah melakukan tawaf iaitu di makam Ibrahim a.s atau dimana-mana bahagian Masjid. Surah Al-Kafirun dibaca pada rakaat pertama manakala Surah A-ikhlas dibaca pada rakaat ke dua. Solat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa, sekalipun dalam waktu yang diharamkan. Ia juga boleh dilakukan pada bila-bila masa, sekalipun dalam waktu yang diharamkan. Ia juga boleh dilakukan di luar masjid. Syafi'I dan Ahmad berpendapat solat fardu setelah tawaf dapat menggantikan solat sunat ini sedang Malik dan Hanafi tidak bersetuju.

Berangkat ke Mina juga merupakan antara sunat haji. Ia dilakukan pada hari Tarawih, iaitu hari ke lapan dari bulan Zulhijjah. Sekiranya seseorang itu melakukan haji qiran atau ifrad, maka dia berangkat ke Mina dengan ihramnya. Sekiranya ia mengerjakan haji tamattu', maka hendaklah ia melakukan ihram untuk mengerjakan haji dan melakukan apa yang telah dilakukannya di miqat. Disunatkan banyak berdoa dan membaca talbiah sewaktu dalam perjalanan ke Mina, melakukan solat Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak serta bermalam di sana. Mereka juga disunatkan tinggal sehingga terbitnya matahari pada hari ke sembilan Zulhijjah.

Sunat haji yang seterusnya ialah tawaf wida'. Ia merupakan tawaf selamat tinggal sebagai lambang perpisahan dengan Baitullah. Juga dinamakan tawaf shadar (tawaf kemunculan) kerana dilakukan ketika hadirnya umat manusia ke Mekah. Ia adalah upacara haji yang terakhir kecuali bagi penduduk Mekah dan wanita yang haid. Para ulama sepakat bahawa ianya disyariatkan. Malik, Daud, Syafi'I dan Ibnu Mundzir mengatakan ia sunat dan tidak dikenakan apa-apa kewajipan kerana meninggalkannya.

Golongan Hanbali dan Hanafi serta satu riwayat dai Syafi'I pula mengatakan ia wajib dan dikenakan denda kerana meninggalkannya. Tawaf ini dilakukan setelah selesai semua urusan dan ketika hendak berangkat sebagai pertemuan terakhir dengan Baitullah. Bila sudah selesai, mereka hendaklah segera berangkat tanpa tinggal lama di sana. Jika tidak, tawaf hendaklah dilakukan semula kecuali ada kepentingan yang mesti diselesaikan (Hasan Ayub, 1983:214). Tawaf ini tidak memerlukan para haji berjalan cepat, cukup sekadar berjalan biasa sahaja.

 

Info Ibadah Haji
Pendahuluan
Pengertian & Pensyariatan Haji
Hikmah & Falsafah Haji
Syarat Wajib Haji
Rukun Haji & Umrah
Wajib Haji & Sunatnya
Sunat Haji
Perkara-perkara yang diharamkan
Dam Haji dan Umrah

 

Garis Panduan Ibadah Qurban
Pengertian & Hukum Ibadah Qurban
Dalil Pensyariatan & Fadhilat Qurban
Hikmah, Kepada Siapa Ia Disunatkan & Syarat Sah Qurban
Jenis & Umur Haiwan Qurban
Kecacatan Yang Menghalang Sahnya Qurban
Keharusan Berkongsi Haiwan Qurban
Waktu Pelaksanaan & Siapa Yang Menyembelih
Niat Ibadah Qurban & Perkara Sunat Ketika Qurban
Hukum Daging Qurban

 

 
© Jabatan Mufti Melaka