Musim
Haji 1421 bersamaan dengan musim Haji Rasulullah
Kassim
Bahali
Umat
Islam dari seluruh pelusuk dunia, jauh dan dekat sedang
membuat perjalanan menuju Baitullah bagi menunaikan rukun
Islam yang kelima bagi mengerjakan ibadat haji. Mereka
datang dengan pelbagai cara samada melalui jalan darat,
laut dan udara, ada yang berjalan kaki atau berkenderaan
dengan menempuh pelbagai halangan dan kesukaran semata-mata
memenuhi seruan haji.
" Dan serulah kepada manusia untuk mengerjakan
Haji, nescaya mereka akan
datang
kepada kamu dengan berjalan kaki dan menderai unta yang
kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh".
( Haj:27)
Perjalanan
Haji Rasulullah
Ulamak
bersependat bahawa Rasulullah cuma sekali sahaja menunaikan
haji selepas hijrah iaitu pada tahun kesepuluh hijrah.
Haji yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dikenali sebagai
Hajjatul-Wada (Haji perpisahan). Ianya seolah-olah baginda
mengucapkan selamat tinggal kepada semua sahabat-sahabatnya
yang hadir ketika bersama-samanya sebelum pemergiannya
yang terakhir menuju Allah.
Pejalanan
haji Rasulullah S.A.W disertai ramai para sahabat. Mereka
telah berkumpul dan bersedia untuk bersama Rasulullah
S.A.W dan menurut riwayat mengatakan jumlah kesemuanya
mencapai seratus dua puluh empat orang. Rasulullah bersama
isteri-isterinya dan para sahabat bertolak dari Madinah
selepas mengerjakan solat zohor pada hari Sabtu 25 Zulkaedah
10H bersamaan 22 Febuari 632 M. Kemudian setelah sampai
di ZulHulaifah baginda dan rombongan bermalam di sini.
Diriwayatkan Jibrail Alaihi Salam
datang
kepada baginda dan berkata" Lembah Aqiq ini adalah
yang paling diberkati sekali. Lakukan solat di sini dan
pakailah pakaian Ihram untuk haji dan umrah."
Pada
keesokan hari selepas zohor baginda mandi untuk berihram
setelah itu baginda melakukan solat di Mesjid Zulhulaifah.
Selepas melakukan solat Rasulullah S.A.W keluar dari mesjid
dan menungggang unta betinanya, Qaswa dan menyebut Labbaik
dengan kuat. Semasa dalam perjalanan menuju Mekah Jirail
Alaihi Salam muncul memberitahu Rasulullah S.A.W supaya
memberi tahu sahabat supaya mereka menyebut Talbiyah dengan
kuat. Di dalam kitab "Fadilat Haji" Maulana
Muhammad Zakariya, ini mereka lakukan tatakala mereka
tiba di lembah Rowha mereka lakukan solat dan Baginda
bersabda "Tujuh puluh orang Nabi-Nabi telah melakukan
solat di sini".
Selepas
lapan hari perjalanan mereka sampai di Zee-Tuwa berhampiran
Mekah dan bermalam di sana. Keesokan pagi pada hari Ahad
4 Zulhijah bersamaan 1 Mac 632M baginda mandi dan melakukan
solat Dhuha untuk memasukki kota Mekah. Ini bermakna setelah
meninggalkan Madinah pada hari Sabtu dan menempuh perjalanan
selama sembilan hari akhirnya mereka sampai dan memasukki
kota Mekah pada hari Ahad 4 Zulhijah ( 1 Mac 632M).
Setibanya
di Mekah Baginda terus menuju ke Mesjidil Haram lalu mencium
Hajarul Aswad dan melakukan tawaf. Selepas bertawaf baginda
mengerjakan solat dua rakaat di Makam Ibrahim dengan membaca
surah Al-Kafirun dan Al-Ikhlas. Baginda mencium Hajar
Aswad sekali lagi, kemudian mendaki bukit Safa sehingga
dapat melihat Kaabah. Di atas bukit itu Baginda berdiri
dan berdoa agak panjang, membaca tahmid dan takbir. Kemudian
melakukan Saie antara Safa dan Marwa. Setelah selesai
Saie di Marwa baginda memerintahkan mereka yang tiada
binatang untuk disembelih, membebaskan diri dari Ihram.
Kemudian baginda pergi ke tempat kediamannya dan tinggal
di Mekah selama empat hari.
Selepas
melakukan solat Dhuha pada 8 Zulhijah baginda dan rombongannya
berangkat ke Mina. Kesemua sahabat menyertai baginda memakai
Ihram untuk haji. Menurut riwayat surah Mursalat telah
diturunkan pada petang itu.
Pada
keesokan pagi selepas matahari terbit pada hari Jumaat
9 Zulhijah bersamaan 6 Mac 632M mereka meneruskan
perjalanan ke Arafah. Sebahagian sahabat mendirikan khemah
di Namirah untuk baginda Rasulullah dan baginda tinggal
sekejap di situ kemudian menungggang untanya, Qaswa menuju
ke lembah Arafah dan di sanalah baginda menyampaikan khutbahnya
yang masyhur. Selepas khutbah Bilal diperintahkan melaungkan
azan dan mereka mendirikan solat Jamak zohor dan Asar.
Selepas solat baginda menunggang untanya ke dataran Arafah,
baginda duduk di atasnya dan berdoa dengan panjang sehingga
maghrib. Baginda memohon keampunan untuk umatnya dengan
tangisan yang begitu banyak dengan penuh kerendahan diri.
Selepas terbenam matahari baginda berangkat meninggalkan
Arafah sebelum melakukan solat maghrib. Setibanya di Muzdalifah
Baginda berwuduk dan mendirikan solat maghrib dan Isya'.
Keesokan harinya Baginda menuju ke Mina dan melontar batu
di Jamratul Aqabah dengan mengenderai unta setelah matahari
agak tinggi. Seterusnya baginda ke tempat penyembelihan
korban dan menyembelih korban sebanyak 63 ekor kambing.
Kemudian baginda bercukur dan meneruskan perjalanan sampai
ke Mekah. Setibanya Rasulullah segera mengerjakan tawaf
Ifadah. Pada hari itu juga Baginda segera kembali ke Mina
untuk bermalam. Keesokan harinya setelah matahari gelincir
beliau menuju ke tempat melontar. Di Mina Baginda tinggal
selama tiga hari sampai hari Tasriq berakhir. Selanjutnya
beliau segera ke kota Mekah untuk mengadakan tawaf Wida
di malam hari. Setelah itu Baginda dan rombongannya segera
meninggalkan kota Mekah ke Madinah.
Musim
Haji 1421H
Dari
serah yang dibentangkan secara ringkas di atas rombongan
haji Rasulullah S.A.W telah telah bertolak meninggalkan
Madinah pada Sabtu, 25 Zulqaedah 10H bersamaan 22 Febuari
632M dan 1 Zulhijah 10H bersamaan 27 Febuari
632M. Musim haji Wida yang telah dilakukan oleh Baginda
selepas musim sejuk . Musim Haji dari setahun ke setahun
akan jatuh pada tarikh yang berbeza menurut taqwim Miladiah.
Ini kerana Taqwim Hijrah mengandungi 354 hari setahun
berbanding taqwim Miladiah yang mengandungi 365 hari dalam
setahun. Dengan yang demikian musim Haji akan melalui
musim-musim yang berbeza samada musim sejuk atau musim
panas. Taqwim Hijrah berdasarkan kepada pergerakan bulan
mengelilingi bumi manakala perubahan musim berdasarkan
pergerakan matahari dalam setahun. Dalam masa setahun
matahari akan berada enam bulan di Hemisfera Selatan dan
enam bulan di hemisfera Utara. Matahari akan melintasi
garisan Khatulistiwa dari hemisfera selatan ke utara pada
21 atau 22 Mac. Matahari akan melintasi garisan Khatulistiwa
kali kedua pada 22 September dari hemisfera Utara ke selatan.
Bahagian utara Bumi mengalami musim panas apabila matahari
berada di hemisfera utara dan musim sejuk di selatan Bumi.
Apabila matahari berada di hemisfera selatan pula bahagian
utara Bumi mengalami musim sejuk dan selatan musim panas.
Tetapi bahagian Bumi yang berdekatan dengan Khatulistiwa
tidak mengalami perubahan musim yang ketara seperti yang
dialami oleh penduduk Bumi yang tinggal jauh dari Khatulistiwa.
Ketika musim Haji 1421H ini matahari masih lagi di hemisfera
selatan dan sedang menuju ke hemisfera utara.
Musim
Haji 1421H berlaku ketika perubahan dari musim sejuk ke
musim panas.
1
Zulhijah 1421H bersamaan 25 Febuari 2001M dan hari wukuf
9 Zulhijah 1421H bersamaan 5 Mac 2001M. Tarikh ini hampir
sama dengan musim Haji Wida Rasulullah S.A.W iaitu 1 Zulhijah
10H bersamaan 27 Febuari 2001M dan hari wukuf 9 Zulhijah
10H bersamaan 6 Mac 632M. Peredaran musim Haji yang hampir
sama seperti ini berlaku lebih kurang setiap 33 tahun.
Pergerakan dan kedudukan matahari ketika Haji Wida (10H)
dan Haji 1421H juga hampir sama. Matahari terbit pada
hari wukuf 9 Zulhijah 10H pada 6:36 pagi dan 6:39 pagi
(waktu Mekah) pada 9 Zulhijah 1421H. Waktu Maghrib 9 Zulhijah
10H pada 18:29 petang manakala pada 9 Zulhijah 1421H pada
18:27 petang (waktu Mekah). Waktu Zohor 9 Zulhijah Haji
Wida pada 12:34 tengahari dan juga 12:34 tengahari (waktu
Mekah) pada musim Haji 1421H.
Menurut
riwayat waktu wukuf Haji Wida keadaan cuacanya sangat
panas seperti yang disebut di dalam hadis (yang dicatatkan
di dalam Kitab Sahih Bukhary) diriwayatkan
oleh
Abu Dawud dari Ibnu Umar r.a
"
Rasulullah S.A.W pergi pada pagi hari ketika sudah selesai
mengerjakan solat subuh, yakni pada paginya hari 'Arafah,
sehingga sampailah Baginda S.A.W di Arafah. Kemudain berhenti
di Namrah, yakni tempat pemberhentian imam yang sedang
berada di Arafah. Ini dilakukan sampai waktu Zohur dan
setelah selesai mengerjakan solat Zohur lalu pergilah
Rasulullah S.A.W di waktu siang yang sangat panas udaranya.
Seterusnya beliau S.A.W menjamak antara solat Zohur dan
Asar. Sehabis itu beliau S.A.W mengucapkan khutbah di
hadapan orang ramai, terus pergi, kemudian mengerjakan
wukuf."
Ketinggian
(altitud) matahari pada tengahari wukuf Haji Wida hampir
sama dengan wukuf Haji 1421H iaitu pada ketinggian lebih
kurang 63 darjah dan 64 darjah masing-masing di langit
selatan. Oleh yang demikian jemaah Haji musim 1421H mungkin
dapat merasakan suasana musim dan cuaca seperti Haji Wida
Baginda Rasulullah S.A.W jika tiada faktor-faktor lain
yang mempengaruhi cuaca semasa dunia.
Semuga
para jemaah Haji dapat menghayati ibadat Haji seperti
mana yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W, mudah-mudahan
dikurniakan Haji yang Mabrur.