>> Pengenalan

 

Info Zulkaedah
Info Zulhijjah
Info Muharram
Info Rejab

:: KELEBIHAN BULAN-BULAN HARAM ::

Daripada Abu Bakrah (1), sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda, maksudnya :

Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadil Akhir dan Syaaban.

Mengapakah dinamakan bulan-bulan haram?

Alim ulamak berselisih pendapat mengenai bulan-bulan ini sebagai bulan-bulan haram. Iaitu mengapakah ia dinamakan haram?.

Maka dikatakan bahawa ianya disebabkan kebesaran kehormatannya sebagaimana besarnya dosa yang dikira jika ia dilakukan di dalam bulan-bulan tersebut. Ibnu Abas r.anhuma telah berkata bahawa sesungguhnya Allah s.w.t telah menkhususkan ke empat-empat bulan tersebut sebagaimana ganjaran-ganjaran untuk amalan-amalan soleh yang dilakukan di dalam bulan-bulan tersebut besar juga.

Dikatakan juga ianya dinamakan bulan-bulan haram lantaran pengharaman peperangan dilakukan di dalam bulan-bulan tersebut dan ianya adalah amat dikenali di masa jahiliah. Dikatakan juga ianya dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. Dikatakan juga oleh alim ulamak bahawa dinamakan bulan-bulan haram itu dengan pengharaman peperangan demi ibadat haji dan umrah yang dilakukan di dalam bulan-bulan haram tersebut. Maka diharamkan bulan Zulhijjah disebabkan ibadat haji dilakukan di dalam bulan tersebut. Diharamkan bulan Zulkaedah lantaran bakal-bakal haji melakukan perjalanan ke Mekah di dalam bulan itu. Diharamkan bulan Muharram disebabkan di dalam bulan itu mereka yang mengerjakan ibadah haji akan kembali ke tempat masing-masing. Demikianlah agar mereka yang mengerjakan ibadah haji merasa aman terhadap keselamatan diri masing-masing dari mula mereka meninggalkan kampung halaman dan rumah-rumah mereka hinggalah waktu mereka kembali semula ke tempat masing-masing setelah mengerjakan haji tersebut. Manakala diharamkan bulan Rejab tersebut lantaran ibadat umrah yang dilakukan di dalam bulan tersebut iaitu pada pertengahan tahun.

Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengesakan supaya menghormati bulan-bulan haram tersebut dan meninggalkan segala perbuatan maksiat. Ini adalah disebabkan maksiat yang dilakukan di dalam bulan-bulan tersebut akan mendatangkan osa yang besar. Kezaliman yang dilakukan di dalamnya adalah kezaliman yang besar.

Begitu juga Allah s.w.t telah menjelaskan kepada mereka bahawa perbuatan mengubah-ubah dan menukar-nukar urusan agama adalah dari kekejian yang paling dasyat. Ini adalah sebagaimana perbuatan mengundur-undurkan bulan-bulan haram itu adalah menambahkan kekafiran.Apa yang lazimnya adalah supaya mereka senantiasa melakukan apa sahaja yang telah diperintahkan Allah s.w.t, kepada mereka agar mereka melakukannya dan meninggalakan segala tegahan dan cegahan.

 

 

sumber: "KELEBIHAN BULAN DAN HARI SERTA AMALAN WIRID DAN DOA" oleh Abu Khairy Al-Latifi

 

© Jabatan Mufti Negeri Melaka