1.
Mengenal Allah s.w.t adalah fardhu Ain atas tiap-tiap mukallaf
dengan mengetahui namaNya dan sifat-sifatNya yang bertepatan dengan
syarak yang berlandaskan ajaran para Nabi dan Rasul.
2.
Nama-nama Allah s.w.t (Al-Asma ‘ul-Husna) dan sifat-sifat
yang Maha Besar dan Maha Tinggi. Nama Allah s.w.t yang lebih masyhur
di antara segala nama-namaNya ialah Allah, disebut lafaz Al-Jalalah
(Lafaz yang Maha Besar) dan yang lain daripada ini diketahui melalui
Al-Quran dan Al-Hadith. Semuanya sentiasa menjadi sebutan umat
Islam contohnya Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Quddus, As-Salam, Al-Mukmin.
3.
Sifat-sifat yang diketahui oleh mukallaf terbahagi kepada dua
bahagian :-
1) Mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t dengan Ijmali (Ringkas)
iaitu bahawa beriktiqad dan berpegang oleh seseorang dengan
iktiqad yang putus (jazam) bahawa wajib bagi Allah s.w.t bersifat
dengan sifat-sifat kesempurnaan yang layak dengan keadaan ketuhanan
dan mustahil atasNya bersifat dengan apa-apa jua sifat kekurangan.
2)
Mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t dengan jalan tafsili (satu
persatu) iaitu bahawa beriktiqad dan berpegang oleh seseorang
dengan iktiqad yang putus dengan dalil aqli (dengan akal) dan
dalil naqli (dengan Al-Quran dan Hadith) bahawa wajib dan beriktiqad
dengan iktiqad yang putus dengan dalil aqli dan naqli. Maka
mustahil atas Allah s.w.t bersifat dengan segala lawan sifatyang
wajib tersebut.
4.
Mengenal Allah s.w.t wajib melalui tiga perkara :-
1)
Iktiqad yang putus (jazam) iaitu tiada syak, dzan dan waham.
Jika iktiqadnya ada salah satu daripada tiga tadi maka tidak
dinamakan mengenal Allah s.w.t.
2) Muafakat (bersetuju) iktiqad itu dengan yang sebenar (bertepatan
dengan iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jamaah), maka tidak dinamakan
mengenal jika iktiqad tidak bertepatan dengan yang sebenar (Ahli
Sunnah Wal-Jamaah) seperti iktiqad orang Nasrani dan Yahudi.
3) Dengan dalil sekalipun dengan dalil ijmali, jika iktiqadnya
putus (jazam) serta bertepatan dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah
tetapi jika tidak dengan dalil maka dinamakan taqlid.
5.
Iktiqad yang tidak terputus atau tidak bertepatan dengan Ahli
Sunnah Wal-Jamaah, maka para ulama membuat persetujuan bahawa
menghukum orang itu kafir. Dan bagi iktiqad orang bertaqlid itu
timbul perselisihan ulama padanya. Mengikut qaul yang muktamad
orang yang bertaqlid itu tidak dihukumkan kafir jika taqlidnya
putus dengan dihukum mukmin yang menderhaka (jika ia belajar maka
tidak dihukumkan mukmin yang derhaka).
6.
Makna taqlid ialah menerima perkataan orang lain dengan tidak
mengetahui dalil dan keterangan.
7.
Taqlid terbahagi kepada dua bahagian :-
1)
Taqlid Jazam (putus)
- Iktiqad yang teguh dan tidak akan berubah walaupun orang yang
diikuti itu berubah. Maka taqlid ini di sisi Ahli Sunnah Wal-Jamaah
sah imannya kerana ada mempunyai iktiqad yang jazam (putus).
2)
Taqlid yang tidak Jazam (Tidak Putus)
- Menerima perkataan orang lain dengan tidak teguh sekiranya
orang yang diikuti seperti guru-gurunya, ibubapanya atau lainya.
Iktiqad mereka berubah-ubah mangikut orang yang diikutinya.
Maka taqlid ini dihukumkan tidak sah imannya kerana serupa imannya
dengan syak,zhan atau waham(tiada putus).
8. Kesimpulannya iman orang yang bertaqlid sentiasa di dalam bahaya
atau bimbang dan tergantung kebenarannya atas orang yang diikutinya.
Jika benar perjalanan orang yang diikutinya seperti guru-gurunya
maka mengikutnya selamat, tetapi jika sebaliknya binasalah mereka.
9.
Hendaklah seseorang itu bersungguh-sungguh menuntut Ilmu Tauhid
yang sahih supaya terlepas ia daripada syak dan waham dalam iman
kerana di akhir zaman ini terdapat ramai ahli-ahli bida’ah.
10.
Taqlid itu membawa mudharat kerana jalan membawa kepada sesat
yang amat hina yang tiada layak pada seseorang manusia.
Rujukan : ( Kitab Risalah Tauhid – Abdul Ghani Yahya )