1.
Peperangan "Al-'Ashirah" pada tahun kedua Hijrah,
dipimpin oleh Baginda s.a.w. Tidak berlaku apa-apa
pertempuran disebabkan perjanjian damai yang
dimeterai antara Rasulullah s.a.w. dengan Bani
Mudlij dan penyokong mereka Bani Hamzah. Baginda
s.a.w. bersama sahabat kembali ke Madinah.
2.
Peperangan "Zat Ar-Riqa`" pada tahun kedua Hijrah,
diketuai oleh Baginda s.a.w. Ianya di satu kawasan
di daerah Najd di kediaman Bani Muharib dan Bani
Tha`labah dari kaum Ghatafan. Tiada pertempuran
dan peperangan yang berlaku, ianya dinamakan Zat
Ar Riqa' (yang mempunyai cebisan kain) kerana para
sahabat membalut kaki-kaki mereka dengan cebisan
kain kerana kepanasan bumi Najd.
3.
Perutusan sekumpulan tentera Islam yang diketuai
oleh Muhammad bin Maslamah ke "Al-Qussah" seramai
10 orang. Ianya bertujuan memerangi Bani Tha`labah,
tetapi perutusan tersebut telah diserang hendap
oleh seratus orang Badwi dan membunuh kesemua perutusan
itu kecuali Muhammad bin Maslamah yang mendapat
kecederaan parah sehingga orang-orang Badwi menyangkanya
telah mati. Sekumpulan Badwi yang lain telah membawa
beliau ke Madinah untuk mendapatkan rawatan di
sana.
4.
Peperangan Mu'tah pada tahun kelapan Hijrah. Ianya
disebabkan oleh pembunuhan yang dilakukan oleh
Syarahbil bin `Amr Al-Futhaniy terhadap seorang
utusan Rasulullah s.a.w. iaitu Al-Harith bin `Umair
Al-Azdiy dari kaum Bani Lahab. Beliau diutus oleh
Baginda s.a.w. membawa sepucuk surat kepada Maharaja
Rom atau Pembesar Busra tetapi dia telah ditahan
dan diikat oleh Syarahbil lalu dibunuhnya. Rasulullah
s.a.w. amat murka dengan pembunuhan tersebut kerana
mengikut peraturan pada zaman itu seseorang utusan
tidak boleh diapa-apakan sehinggalah dia pulang
ke tempat asalnya. Baginda s.a.w. menghantar sekumpulan
tentera yang dikepalai oleh Zaid bin Harithah dan
berpesan "sekiranya Zaid
terkorban, dia hendaklah diganti oleh Ja'afar bin
Abi Talib, sekiranya dia terkorban juga Abdullah bin
Abi Rawahah akan memimpin tentera tadi". Kesemua
sahabat tadi syahid di dalam peperangan itu lalu
ianya dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid yang telah
mengundurkan tentera Islam secara tersusun dan kemas
tanpa mengalami apa-apa kehilangan jiwa dan kekalahan.
5.
Peperangan Ajnadain pada tahun kelima belas Hijrah.
Ianya berlaku di antara tentera Islam yang dipimpin
oleh Amru bin Al-`As, Abu `Ubadah bin Al-Jarrah dan
Syarahbil bin Hasanah dengan tentera Rom yang dikepalai
oleh Wardan di kawasan Ajnadain di Timur Yerusalem
(Al-Quds). Tentera Rom tewas di dalam peperangan itu
dan pemimpin mereka Wardan juga mati di situ. Ianya
berlaku berhampiran bandar Ramallah dan membuka jalan
untuk pembukaan bandar Palestin.
6.
Kematian Asma' binti Abi Bakar As-Siddiq yang digelar
"Zat An-Nitoqain", salah seorang yang dijanji masuk
ke syurga Allah s.w.t. dan merupakan orang perempuan
kedua yang memeluk Islam selepas Khadijah binti Khuwailid.
Beliau meninggal pada tahun 73 Hijrah semasa berumur
seratus tahun. Merupakan ibu kepada Abdullah bin
Az-Zubair yang telah dibunuh oleh Al-Hajjaj Ath-Thaqafiy.
7.
Kematian Abdullah bin Az-Zubair pada 17 Jamadil
Awal tahun ke 73 Hijrah yang merupakan anak kaum
Muhajirin yang pertama dilahirkan di Madinah semasa
penghijrahan orang Islam Mekah ke Madinah. Bapanya
Az-Zubair bin Al-`Awwam sepupu Nabi s.a.w. dan
ibunya Asma' binti Abu Bakar As-Siddiq, emak saudaranya
`Aishah binti Abu Bakar. Beliau syahid dibunuh
oleh Al-Hajjaj bin Yusuf pembesar kerajaan Bani
Umaiyah.