TAJUK
: SAMBUTAN HARI RAYA PADA PANDANGAN ISLAM
TARIKH:
22 DISEMBER 2000 (26 RAMADHAN 1421H)
Sidang
jumaat yang berbahagia,
Islam
telah menetapkan bagi kita untuk berhari raya dua kali
dalam setahun hijrah, iaitu hari raya puasa dan hari
raya kurban atau haji, dalam erti kata lain Aidilfitri
dan Aidiladha, kedua-dua hari raya ini ada kaitannya
dengan syariah Islam.
Sejarah
Islam mencatatkan setelah baginda Rasulullah berhijrah
ke Madinah, baginda dapati orang-orang Islam Madinah
merayakan dua hari raya yang mereka warisi turun temurun
dari nenek moyang mereka. Maka baginda Rasulullah bersabda
kepada mereka yang bermaksud : ‘ Allah subhanahua
ta’ala telah menggantikan kedua-dua hari raya
kamu itu dengan dua hari raya yang lebih baik dari apa
yang kamu rayakan itu, iaitu hari raya puasa dan hari
raya kurban.’
Semenjak
itu kedua-dua hari raya itu dirayakan oleh umat Islam
di seluruh dunia dari setahun ke setahun sehinggalah
sekarang dan seterusnya. Hakikat ini juga boleh difahami
bahawa Islam melayani kehendak dan tabiat semulajadi
manusia selaras dengan kenyataan dimana setiap kaum
dan bangsa didunia mempunyai hari tertentu sebagai hari
besar yang dirayakan oleh mereka.
Umat
Islam merayakan Aidilfitri pada setiap 1 Syawal sebagai
tanda kesyukuran dan kemenangan. Mereka bersyukur kepada
Allah atas kejayaan mereka dalam ibadah puasa sepanjang
Ramadhan, kerana ibadah puasa itu merupakan suatu ibadah
yang bukan mudah untuk dikerjakan oleh semua orang,
melainkan kepada orang yang benar-benar beriman dan
bertakwa.
Aidiladha
pula sekali lagi umat Islam merayakan kemenangan tanda
kesyukuran kehadrat illahi dimana kemenangan yang bukan
sahaja terkandung dalam ibadah haji itu sahaja, tetapi
lebih dari itu ialah mempunyai hubungan dengan suatu
peristiwa yang berlaku pada tahun yang kesembilan hijrah.
Sidang
jumaat yang berbahagia,
Sebagai
umat Islam sebenar, Rasulullah menganjurkan kepada kita
untuk berhari raya seperti sabda baginda dari At-Tabrani
yang bermaksud ‘ hiasilah hari raya kamu dengan
takbir, tahlil, tahmid dan takdis (yakni mengingati
dan mengagungkan Allah subhanahua ta’ala’
Takbir
dan tahlil adalah tanda syukur dan tanda kemenangan
sebagai umat Islam. Sebab itulah dalam apa juga acara
kesyukuran atau kemenangan, maka umat Islam dikehendaki
bertakbir.
Sidang
jumaat yang berbahagia,
Ada
dua perkara utama untuk dipenuhi oleh umat Islam semasa
sambutan hari raya atau bersempena dengan hari raya
:
Pertama
– untuk memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan
seorang dalam hidup bermasyarakat atau lebih dikenali
dengan tanggungjawab terhadap masyarakat.
Kedua
– untuk membolehkan hubungan dan mempertingkatkan
tanggungjawab mengawal dan memelihara kedaulatan Islam
dari dicemari atau dikotori oleh fahaman dan pegangan
yang diluar batas Islam atau mengikut nafsu, dan bertentangan
dengan cara Al-Quran dan hadis Rasulullah . Islam jangan
hanya diterima mengikut pilihan yang dirasa sesuai dengan
kemahuan dan nafsu semata-mata . Islam menyuruh umatnya
supaya rajin bekerja dan sentiasa menjaga kebersihan,
dan ini diterima oleh masyarakat. Tetapi bila Islam
mengharamkan riba’ , arak dan judi, perkara ini
tidak diterima. Sebagaimana firman Allah dalam surah
Al-Baqarah ayat 85;
Maksudnya
:
‘
sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada
sebahagian dari isi kitab Taurat dan mengingkari
akan sebahagian yang lain ? Maka tiadalah balasan bagi
orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain
dari kehinaan ketika hidup didunia, dan pada hari kiamat
akan ditolak mereka kedalam azab siksa yang amat berat.
Dan ingatlah, Allah tidak sekali-kali lalai akan apa
yang kamu lakukan ‘
Sidang
jumaat yang berbahagia,
Sementara
tanggungjawab dengan Allah, iaitu kita perlu melakukan
hubungan tauhid kepada Allah subhanua ta’ala menurut
Ibnu Al-Qayyim Al-Jauriah. Hubungan tauhid ini dilakukan
dengan kita mengesakan Allah dan jangan sekali kita
melakukan syirik kepadanya. Dengan berbuat demikian
maka Allah akan memberikan petunjuk kepada mereka untuk
memahami agama Islam begitu juga sebaliknya.
Firman
Allah dalam surah Al-An’am ayat 125 yang
bermaksud :
‘
maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah
petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka
hati) untuk menerima Islam, dan sesiapa yang Allah
kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan
dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah
ia sedang mendaki naik kelangit (dengan susah payah)
Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang
yang tidak beriman. ‘