TAJUK:
HAWA NAFSU DORONG PENYAKIT HATI
TARIKH: 5 JANUARI 2001
Sidang
jumaat yang dirahmati Allah,
Ketinggian
dan kemuliaan seseorang manusia menurut Islam bukan
diukur berdasarkan kekayaan, pangkat atau keturunan
yang dimilikinya.
Akan
tetapi ia dilihat dari sudut ketakwaannya kepada Allah
subhanahua ta’ala disamping melihat kepada kesucian
hatinya yang bebas daripada segala sifat mazmumah.
Rasulullah
s.a.w. menjelaskan perkara ini ketika ditanya oleh seorang
sahabat ‘’ wahai Rasulullah s.a.w. siapakah
manusia yang terbaik ?’ jawab baginda s.a.w. orang
mukmin yang bersih hatinya ? tanya sahabat lagi ‘
apakah maksud orang yang bersih hatinya itu? ‘
jawab baginda s.a.w. ialah yang bertakwa, bersih yakni
tidak ada kederhakaan, pengkhianatan , dendam dan kedengkian
‘ riwayat Ibnu Majjah.
Seseorang
yang tipis dan tidak kuat imannya akan mudah dihinggapi
penyakit hati, kerana penyakit ini muncul dari dorongan
hawa nafsu yang jahat dan hasil dari godaan syaitan
yang sentiasa ingin menyesatkan manusia .
(1)
Hasad Dengki
Islam
sangat mencela sifat dengki atau hasad. Sifat ini biasanya
lahir dari seseorang yang tidak menyenangi sesuatu kelebihan
atau nikmat yang ada pada orang lain. Golongan ini akan
berusaha untuk mendapatkan kelebihan orang itu supaya
nikmat itu berpindah kepadanya. Sifat dengki ini boleh
menjangkiti sesiapa sahaja samada mereka yang kaya dan
kukuh ekonominya atau mereka yang kurang berada. Bagi
yang kurang berada, kemampuan mereka terbatas dan kadang-kadang
tidak memungkinkan untuk mereka mencapai sesuatu yang
dihajati.
Lantaran
apa yang dicita-citakan untuk menjadi seperti orang
lain tidak tercapai, maka yang timbul ialah menaruh
sifat irihati dan dengki terhadap mereka yang lebih
beruntung dari mereka, sifat ini juga boleh menjangkiti
golongan yang berada. Mereka tidak mahu kekayaan diperolehi
kepada orang lain yang kadang-kadang jiran atau saudara
mara mereka sendiri. Lebih membimbangkan lagi ialah
sifat dengki ini boleh membawa seseorang kepada perlakuan
tidak adil atau berlaku zalim terhadap sesama manusia.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : ‘
jauhkan diri kamu dari hasad dengki sesungguhnya hasad
merosakkan amalan kebaikan sebagaimana api memakan kayu
kering ‘.
(2)
Sifat Khianat
Sifat
khianat boleh dianggap sebagai teman akrab dengan penyakit
dengki kerana kedua-duanya lahir dari hati manusia yang
kotor lantaran sangat lemah keimanannya. Wujudnya sifat
khianat dalam masyarakat disebabkan oleh cuainya individu
dalam menjaga amanah orang lain. Ia timbul disebabkan
rasa tidak senang apabila orang lain dianugerahkan nikmat
atau rezeki oleh Allah subhanahua ta’ala. Khianat
ialah satu sifat yang sangat berbahaya kerana boleh
berlaku dalam pelbagai aspek kehidupan, khianat-mengkhianati
boleh timbul di antara suami isteri dalam kehidupan
rumahtangga, boleh berlaku di antara adik-beradik, jiran
tetangga, teman sekeluarga, juga wujud dalam hal perdagangan,
politik dalam aspek kehidupan yang lain.
Perbuatan
khianat ini juga boleh berlaku baik secara terang-terangan
mahupun secara sembunyi. Kita sering mendengar istilah
seperti musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan,
pagar makan padi ‘ yang mana semua itu ditujukan
kepada orang yang melakukan pengkhianatan secara sembunyi
atau rahsia. Apa yang jelas ialah sifat khianat ini
sangat dimurkai Allah subhanahua ta’ala. Orang
yang memiliki sifat ini sesungguhnya tidak memberi apa-apa
keuntungan pun. Apa yang pasti hanyalah kerugian kerana
tidak menemui ketenangan dan kedamaian hidup sebaliknya
sentiasa resah gelisah. Juga ia termasuk dalam golongan
orang munafik seperti sabda nabi yang bermaksud : ‘
tanda orang munafik ada tiga apabila berbicara ia berdusta,
apabila berjanji dia mungkiri, apabila diamanahkan dia
khianat ‘.
(3)
Riya’
Riya’
adalah sifat yang juga sangat merbahaya kerana boleh
menghapuskan segala kebajikan atau amal soleh yang telah
dikerjakan oleh seseorang sehingga tidak bernilai disisi
Allah subhanahua ta’ala. Orang yang riya’
membuat ibadah atau apa sahaja amalan bukan untuk mengharapkan
keredhaan Allah subhanua ta’ala bahkan kerana
mengharapkan pujian dan penilaian dari manusia.
Firman
Allah ta’ala : maksudnya ; maka celakalah
bagi orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang
lalai dari solatnya, orang-orang yang berkeadaan riya’
Dalam
mengerjakan apa jua bentuk amal soleh atau beribadat
kepada Allah subhanahua ta’ala jika didasarkan
kepada riya’ maka akan sia-sialah ibadat itu.
Sesungguhnya Allah subhanahua ta’ala memerintahkan
hambanya agar beribadat dengan penuh ikhlas.
Firman
Allah subhanahua ta’ala :-
Maksudnya
:’ pada hal mereka tidak disuruh kecuali supaya
menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadanya
(ikhlas) dalam menjalankan agama dengan lurus dan supaya
mendirikan solat dan menunaikan zakat dan yang demikian
itulah agama yang lurus ‘ maka jelaslah, amalan
yang didasarkan kepada riya’ itu tadi tidak akan
mendapat pahala. Apa yang nyata ‘ riya’
tidak akan meninggalkan kesan positif kepada pelakunya.
Orang riya’ yang tidak ikhlas biasanya amalannya
atau budinya tidak kemana. Apabila tiada manusia yang
memuji atau tidak mendapat pujian, orang yang riya’
itu akan berhenti dari beramal.
(4)
Sifat Takbur
Takbur
dan sombong adalah sifat yang sangat tercela dan dibenci
oleh Allah subhanahua ta’ala. Ulama’ tasawuf
menggolongkan sifat ini sebagai syirik kecil. Ini adalah
kerana orang takbur itu merasa dirinya terlalu tinggi
atau lebih hebat dari orang lain. Seseorang yang memiliki
sifat takbur dan sombong akan membuat dirinya terlupa
sebagai makhluk Allah subhanahua ta’ala yang serba
lemah lagi banyak kekurangan. Perlu kita memahami, kalau
sekiranya kita mempunyai ada kelebihan zahiriah pun,
ia adalah diberikan oleh Allah subhanahua ta’ala
dan hanya untuk kehidupan yang sementara sahaja di atas
muka bumi ini.
Pada
asalnya sifat sombong adalah sifat iblis yang dahulu
tidak mahu sujud kepada nabi Adam di dalam syurga. Hal
ini lantaran iblis beranggapan dirinya memiliki sifat
kemuliaan iaitu iblis dijadikan dari api manakala Adam
dari tanah.
Sifat-sifat
tercela ini apabila wujud dalam sesebuah masyarakat
bukan hanya akan membawa kerosakan dalam masyarakat
tersebut, malah orang yang bersifat demikian pun turut
menerima padahnya. Mudah-mudahan semua para muslimin
terhindar dari sifat-sifat ini.
Firman
Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud
: ‘ …Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan
diri kamu bahaya kebinasaan dengan sikap bakhil, dan
baikilah dengan sebaik-baiknya segala usaha dan perbuatan
kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang
yang berusaha memperbaiki amalannya’