TAJUK:
FADHILAT RAMADHAN
TARIKH
: 01 DISEMBER 2000 (5 RAMADHAN 1421)
Sidang
jumaat yang berbahagia,
Setiap
muslim dan muslimat yang benar-benar beriman kepada
janji-janji Allah dan rasulnya pasti bergembira menyambut
kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak pada setiap tahun.
Begitu juga tahun 1421Hijrah ini dimana kita sekali
lagi diberi kesempatan oleh Allah subhanahua ta’ala
untuk menyambut dan merayakan ketibaan bulan Ramadhan
yang penuh rahmat dan pahala, dengan kegembiraan serta
iman takwa yang teguh.
Hanya
mereka yang lemah iman sahaja yang merasa cemas dan
risau dengan kunjungan Ramadhan. Begitu juga dengan
mereka yang tidak mengenali fadhilat atau keberkatannya.
Tetapi bagi orang yang dapat memahami fadhilatnya akan
menunggu dengan jiwa kesyukuran seperti yang dijelaskan
oleh baginda Rasulullah s.a.w. melalui hadisnya, bererti
: ‘ sekiranya umatku mengetahui kemuliaan dalam
bulan Ramadhan, nescaya mereka akan mengharapkan kedatangan
Ramadhan itu disepanjang tahun.’
Keistimewaan
Ramadhan akan lebih ketara lagi jika ia dibandingkan
dengan sebelas bulan yang lain.Walaupun semua bulan
mempunyai kelebihan, namun kelebihan Ramadhan tetap
tidak ditandingi. Hal ini ditegaskan nabi kita Muhammad
s.a.w. dengan sabdanya yang bererti : ‘ bulan
Ramadhan adalah penghulu kepada bulan-bulan yang lain.’
Muslimin
yang terhormat,
Terdapat
banyak yang menerangkan keagungan Ramadhan Al-Mubarak,
di antaranya sabda Rasulullah s.a.w., ertinya : ‘
Apabila menjelang bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu
syurga, ditutupkan neraka dan dibelenggu segala Iblis
syaitan ‘
Hadis
diatas ini memberi pengertian bahawa bulan Ramadhan
adalah bulan keemasan untuk umat Islam meningkatkan
amal ibadah serta memantapkan iman dan membersihkan
diri dari kerja-kerja maksiat yang didorong oleh hawa
nafsu atau godaan syaitan. Di dalam bulan yang suci
inilah sepatutnya mereka melakukan hasab atau muhasabah
diri di atas kerja-kerja yang telah dilalui dan yang
akan dihadapi samada yang bermanfaat atau sebaliknya.
Para
ulamak menjelaskan, Ramadhan adalah bukan yang menjanjikan
sebaik-baik balasan kepada mereka yang berbuat amal
soleh samada diawal, pertengahan ataupun diakhirnya.
Sebaliknya mereka yang malas dan yang terus melakukan
perbuatan-perbuatan maksiat dan dosa, atau memandang
bulan Ramadhan ini sama seperti bulan-bulan yang lain,
bukan sahaja mereka tidak mendapat pahala yang dijanjikan
malahan akan menerima azab akibat dari kejahatan yang
boleh menjatuhkan kesucian Ramadhan dan keluhuran akhlak
umat Islam seluruhnya.
Hadirin
yang dihormati,
Ramadhan
adalah semulia-mulia bulan, berbagai-bagai kejadian
atau peristiwa berlaku di dalamnya, yang menjadikan
tarafnya lebih agung dan lebih berkat, di antaranya
:
Pertama,
perintah Allah subhanahua ta’ala ke atas kaum
muslimin untuk mengerjakan puasa, firman Allah di dalam
surah Al-Baqarah ayat 183
Maksudnya:
‘ wahai mereka yang beriman, diwajibkan atas
kamu berpuasa seperti yang diwajibkan ke atas mereka
yang sebelum dari kamu, mudah-mudahan dengan berpuasa
itu kamu akan terpelihara dan bertakwa,
Tidak
syak lagi, perintah mengerjakan puasa yang menjadi rukun
Islam ketiga dalam bulan yang mulia ini menjadikan ia
lebih agung dari yang lain.
Kedua,
mula turunnya kitab suci Al-Quran dari ayat pertama
hingga kelima dari surah Al-Alaq’ iaitu tinggal
tujuh belas haribulan. Firman Allah subhanahua ta’ala
dalam surah Al-Baqarah ayat 185;
Maksudnya
: ‘ Di dalam bulan Ramadhan ini diturunkan
di dalamnya kitab Al-Quran yang menjadi hidayah kepada
umat manusia dan membezakan antara yang hak dengan batil
‘
Ketiga,
dalam bulan Ramadhan ini juga umat Islam diwajibkan
membayar zakat fitrah atau zakat badan serta zakat harta
benda ke atas mereka yang mencukupi syarat rukunnya.
Kefardhuan zakat fitrah di bulan Ramadhan ini menggambarkan
betapa eratnya hubungan puasa dan ibadah zakat. Kedua-duanya
wajib dikerjakan dengan sempurna. Maka tidak sempurna
agama seseorang itu jika hanya melakukan salah satu
daripadanya. Hal ini dijelaskan oleh baginda Rasulullah
s.a.w. melalui hadisnya, yang bermaksud, pahala puasa
Ramadhan tergantung-gantung di antara langit dan bumi,
ia tidak terangkat ke langit kecuali dengan zakat fitrah
‘
Keempat,
disepanjang bulan Ramadhan yang penuh rahmat ini, Allah
subhanahua ta’ala menghadiahkan kepada umat Islam
satu malam yang pahala atau keberkatannya melebihi seribu
bulan, yang dinamakan Lailatulqadar. Kerana itu, maka
menjadi kewajipan ke atas setiap muslim dan muslimat
berusaha untuk mendapatkan keagungannya. Iaitu dengan
memperbanyakkan zikrullah, bertakbir, bertahlil, berdoa
dan lain-lain ibadat yang dituntut Al-Quran dan sunnah
Rasulullah. Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya
beribadat pada malam tersebut dengan menghampirkan
diri kepada Allah subhanahua ta’ala melalui majlis
Qiamullail, beristigfar dan bertadarus Al-Quran disepanjang
malam pengampunan dosa ini. Janganlah ada orang Islam
yang memandang kelebihan malam LailatulQadar sama seperti
malam-malam yang lain.
Sidang
jumaat yang berbahagia,
Di
pandang dari sudut mana sekalipun ibadah puasa perlu
dilakukan oleh manusia. Agama Islam yang mengutamakan
kesejahteraan umatnya dari segi rohani dan jasmani,
tidak menyuruh mereka melakukan ibadah agung ini sekiranya
ia tidak mendatangkan menfaat kepada mereka. Maka di
antara sebab ibadah ini diwajibkan ialah : pertama,
meningkatkan iman dan takwa manusia dengan melaksanakan
suruhan Al-Khaliq secara ikhlas sebagai melahirkan kesyukuran
terhadapnya; kedua, melahirkan sifat mulia dan jiwa
murni dan bersimpati terhadap penderitaan yang dihadapi
oleh fakir miskin dan yang menderita; ketiga, menguji
kesabaran dalam menghadapi kelazatan makan minum, keinginan
nafsu jantina atau godaan hidup yang ditegah oleh syarak;
dan keempat, melatih diri untuk terus berjihad bagi
meninggikan syiar Islam di samping menjaga maruah dan
keselamatan diri serta membersihkan jiwa dari sifat-sifat
tamak, gelojoh dan sifat-sifat mazmumah yang lain.
Bagi
memastikan pelaksanaan rukun Islam ketiga ini diterima
Allah serta mendapat keredhaan, ia hendaklah dilakukan
mengikut syarat-syarat atau rukunnya dengan sempurna,
berniat ikhlas, berdisplin dan tidak melakukan perbuatan-perbuatan
yang boleh membatalkan puasa dan menghilangkan pahalanya.
Ini disebabkan tujuan berpuasa bukanlah menahan diri
dari makan dan minum sahaja tetapi menahan semua anggota
dari melakukan kerja-kerja yang tidak berakhlak atau
yang dilarang oleh agama.
Dalam
hal ini kita harus gerun dengan hadis Rasulullah s.a.w.
bererti : ‘ berapa ramai orang yang berpuasa
tetapi tidak mendapat apa-apa balasan dari puasanya
melainkan lapar dan dahaga ‘
Mengambil
sempena keagungan Ramadhan marilah kita meletakkan azam
untuk menaikkan maruah dan sahsiah dengan menambah
iman taqwa kepada Allah, sekurang-kurangnya dengan berpuasa
pada siang hari dan bersolat terawih pada malam harinya.
Orang yang menghormati tuntutan Ramadhan bererti memuliakan
dirinya dan mencemari Ramadhan bererti ia menjatuhkan
harga dirinya sendiri