TEKS KHUTBAH JUMAAT MASJID
SELURUH NEGERI MELAKA

TAJUK:          TANGGUNGJAWAB KEPADA WARGATUA
TARIKH:          13 OKTOBER 2000 (15 REJAB 1421)

Sidang jumaat yang mulia,

Khutbah pada hari ini bertajuk 'Tanggungjawab kepada wargatua'

Setiap yang muda pasti akan melalui hari tua. Kehidupan yang begitu indah akan lebih bermakna sekiranya diserikan dengan kasih sayang daripada anak-anak dan orang sekeliling. Setiap tahun pada bulan Oktober, negara kita akan menyambut hari wargatua sejajar dengan hasrat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya ikatan kekeluargaan dan nilai kasih sayang terhadap wargatua yang telah berjasa.

Saudara kaum muslimin yang berbahagia,

Wargatua adalah golongan insan yang berusaha 60 tahun ke atas. Berdasarkan perangkaan yang terkini, jumlah wargatua di Malaysia telah pun mencapai 1.1 juta orang atau pun 6 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia dan dijangka akan menigkat kepada 3.2 juta atau 11.3 peratus menjelang tahun 2020.

Sememangnya menjadi adat di dunia ini bahawa setiap insan tidak dapat melawan usia tua. Bermula dengan penglihatan yang kabur, rambut yang hitam menjadi putih, kulit yang berseri akan berkedut dan lebih daripada itu, kita tidak dapat bergerak segagah dahulu. Ditambah dengan pelbagai penyakit yang menjadi petanda bahawa kita akan kembali menemui Allah subahanua ta'ala. Allah berfirman dalam surah Al-A'raf ayat 34

Maksudnya : " Dan bagi tiap-tiap sesuatu itu ada tempohnya yang telah ditetapkan, maka apabila datang tempohnya tidak dapat mereka mengundurkannya walaupun sesaat dan tidak pula didahulukannya "

Kaum muslimin yang dihormati,

Pengistiharan penjagaan dan kebajikan wargatua telah diberikan perhatian sejak dahulu lagi. Berbagai-bagai program dan kemudahan telah dirangka dan disediakan untuk kebajikan serta kesejahteraan golongan wargatua. Selaras

dengan resolusi pertubuhan bangsa-bangsa bersatu nombor 45/106 yang telah mengistiharkan 1 Oktober 1992 sebagai hari wargatua antarabangsa, Malaysia juga turut mengistiharkan 1 Oktober setiap tahun mulai 1992 sebagai hari wargatua kebangsaan. Pengistiharan ini juga mempunyai objektif hari wargatua ialah untuk :

Pertama – Meningkatkan kesedaran masyarakat tentang betapa pentingnya ikatan kekeluargaan serta fungsi keluarga dari segi memberi penjagaan dan perlindungan yang sempurna terhadap wargatua ;

Kedua – Menggerakkan komuniti supaya mempertingkatkan kemudahan untuk wargatua ; dan

Ketiga – Memberi penghormatan kepada wargatua tentang sumbangan mereka kepada negara, agama dan bangsa.

Sesungguhnya usaha-usaha kerajaan ini merupakan satu langkah yang cukup baik dalam usaha melahirkan masyarakat  penyayang. Usaha murni ini sudah pasti bagi menyeimbangkan keadaan masyarakat yang sedang menuju alaf baru yang menuntut kepada kehidupan yang lebih sempurna. Usaha ini juga menuntut kepekaan anak-anak terhadap kebajikan ibu-bapa mereka. Keperluan ibu-bapa perlu dipenuhi agar kehidupan hari tua mereka lebih ceria dan bahagia.

Kaum muslimin yang berbahagia,

Islam adalah agama kebaikan dan kesejahteraan. Islam mahu umatnya sentiasa menghargai setiap yang bernilai baik dan sejahtera. Wargatua adalah golongan yang banyak berjasa dalam hidup kita. Merekalah yang membina negara yang kita diami pada hari ini, semua yang kita nikmati pada hari ini merupakan hasil titik peluh dan keringat mereka. Merekalah adalah terdiri daripada para perajurit dan pasukan keselamatan negara. Jasa mereka cukup besar terhadap kita, maka dengan sebab itulah Rasulullah s.a.w. memerintahkan umatnya agar sentiasa menghormati wargatua sebagaimana sabdanya yang bermaksud : " bukanlah daripada kalangan kami sesiapa yang tidak memuliakan golongan tua dikalangan kami "

Kata Imam Al-Ghazali : sekiranya kamu bertemu anak-anak muda maka hormatilah mereka kerana usia yang muda itu tanda berkurangnya dosa. Dan sekiranya kamu bertemu dengan orang-orang tua hormatilah mereka kerana usia

yang tua bermakna banyak ilmu dan pengalamannya. Golongan tua yang paling utama sekali dalam kehidupan kita ialah para ibu-bapa kita sendiri. Seseorang hamba Allah itu akan dianggap tidak bermakna kehidupannya pada sisi Allah sekiranya mereka mengabaikan kedua ibu-bapa mereka.

Allah berfirman dalam surah Al-Isra' ayat 23-24 bermaksud " dan tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu-bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu maka janganlah sekali-kali kamu menyatakan kepada keduanya perkataan "ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah doa buat mereka – wahai tuhanku kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mengasihi aku waktu kecil "

Kata Ibnu Mas'ud r.a, saya telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., apakah amalan yang paling disukai Allah, maka jawab Rasulullah s.a.w., sembahyang pada waktunya, kemudian apa ?, Baginda Rasulullah menjawab, berbuat baik kepada ibu bapa. Saya bertanya, kemudian apa ? baginda menjawab berjuang fisabilillah.

Akhirnya marilah sama-sama kita sanjung usaha-usaha yang dibuat oleh pihak yang berwajib untuk menyediakan program-program yang berfaedah kepada wargatua di Malaysia. Kerana segala program ini sebenarnya suatu jasa kepada orang-orang tua kita sendiri. Malah kita juga suatu hari nanti akan menjadi tua dan pada ketika itu sudah tentu kita mengharapkan agar ada pihak-pihak yang mengambil berat tentang hal ehwal kita. Semoga Allah menamatkan nyawa kita ini dalam keadaan beriman dan berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Kata pepatah " Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa "

 

Senarai Khutbah | Laman Utama