TEKS KHUTBAH JUMAAT MASJID
SELURUH NEGERI MELAKA

TAJUK:  MENGHUBUNGKAN SILATURRAHIM
TARIKH:  23 FEBRUARI 2001

Tajuk khutbah pada hari yang  mulia ini ialah :

" Menghubungkan Silaturrahim " atau tali persaudaraan dan kekeluargaan. Silah = maknanya hubungan, Ar-Rahim maknanya pertalian manusia dari segi keturunan dan disebut juga kerabat atau keluarga.

Allah subhanahua ta’ala mewajibkan kepada kita semua untuk menghubungkan silaturrahim dan mengharamkan, memutuskannya dan menyuruh supaya sentiasa berbuat baik dan tolong-menolong dalam perkara-perkara kebaikan kepada semua manusia terutama kepada yang ada hubungan kekeluargaan ataupun kerabat .

Firman Allah di didalam surah An-Nisa’ ayat 36 :

Ertinya :

" Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan jangan kamu sekutukan dia dengan sesuatu pun jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu-bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan jga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri "

Sidang jumaat yang dikasihi,

Menghubungkan silaturrahim ialah berbuat baik kepada semua yang ada pertalian kekeluargaan di antara kita. Bersegeralah menolong dan membantu mereka jika mereka memerlukannya dan jagalah perasaan mereka dengan sikap lemah lembut. Juga cintailah mereka dan berilah nasihat dan tolonglah mereka dalam segala masalah yang sedang mereka hadapi.

Dahulukanlah mereka dalam setiap perbuatan yang baik seperti dalam pemberian sedeqah, hidayah -  dari orang lain di atas dasar silaturrahim. Sabda nabi s.a.w yang maksudnya :

" Sedeqah kepada orang miskin mendapat pahala sedeqah sahaja sedangkan kepada yang ada hubungan keluarga mendapat dua pahala iaitu pahala sedeqah dan pahala menghubungkan silaturrahim ".

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Menjadi kewajipan setiap muslim untuk berlaku baik dan mengambil berat kepada semua yang ada hubungan kekeluargaan & dan inilah yang disebut

menghubungkan silaturrahim sama ada hubungan pertalian darah atau pernikahan umpama kelurga sebelah isteri atau suami. Menghubungkan silaturrahim ini diutamakan kepada keluarga yang ada keretakan. Hubungkanlah silaturrahim dengan mereka & lupakan kebencian dan padamkan api dendam & berlaku baik dan tunjukkan kasih sayang kepada mereka.

Allah subhanahua ta'ala berfirman di dalam surah Fussilat ayat 34

Ertinya :
" Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik apabila engkau berlaku yang demikian maka orang yang merasa permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib."

Telah diriwayatkan di dalam hadis nabi s.a.w. , seorang sahabat bertanya kepada nabi (s.a.w.) : " Sesungguhnya saya mempunyai keluarga & saya menghubungkan silaturrahim dengan mereka tetapi mereka memutuskannya & saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepada saya & saya memaafkan mereka tetapi mereka berlaku zalim terhadap saya. Bolehkah saya buat sebagaimana yang mereka buat ". Sabda nabi s.a.w. Tidak boleh dan jika kamu buat yang demikian bererti kamu juga telah memutuskan silaturrahim dengan mereka. Tetapi bersikap mulialah terhadap mereka dan teruskanlah menghubungkan silaturrahim dengan mereka kerana sesungguhnya pertolongan Allah sentiasa bersama kamu selagi kamu berbuat yang demikian.

Sidang jumaat yang dikasihi,

Hubungkanlah silaturrahim dan jangan sekali-kali memutuskannya bersabarlah terhadap perbuatan yang menyakitkan & berbuat baiklah kepada yang berbuat jahat kepada kamu & bergaullah bersama mereka dengan akhlak yang mulia semoga kita semua beroleh kemenangan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

 

Senarai Khutbah | Laman Utama