Khutbah
pada hari ini akan membicarakan tajuk Islam agama
fitrah.
Islam
adalah satu agama yang mengandungi ajaran-ajaran yang
dapat digunakan oleh umat manusia dalam mengharungi
hidup yang semakin mencabar ini. Ajaran Islam sudah
lengkap serta sempurna dan satu-satunya agama yang
diakui disisi Allah subhanahua ta'ala, seperti yang
dinyatakan dengan firmannya dalam surah Al-Imran ayat
19
Maksudnya
: ' Sesungguhnya agama yang diakui disisi
Allah ialah Islam '
Allah
subhanahua ta'ala telah menurunkan agama Islam itu
dengan selengkap-lengkapnya, mengandungi petunjuk-petunjuk
yang diperlukan dan agama yang diredhai Allah untuk
dijadikan pedoman dalam segala hal. Firman Allah ta'ala
dalam surah Al-Maidah ayat 3,
'
Pada hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu agamamu,
dan aku telah cukupkan kepadamu nikmatku, dan aku
telah diredhai Islam ini menjadi agamamu '
Kesempurnaan
agama Islam, bukan sahaja kerana ajarannya yang serba
lengkap, sanggup menghadapi zaman, tetapi juga kerana
sesuai dengan tabiat dan fitrah kejadian manusia,
Sebagaimana firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 30
yang bermaksud : ' hadapkanlah seluruh dirimu dengan
betul-betul kepada ciptaanku Allah, yang dijadikannya
manusia sesuai dengan agama itu. Itulah agama yang
benar, tapi kebanyakan manusia tidak mengetahui '
Sebahagian
dari ajaran Islam, yang setiap waktu dapat digunakan
menjadi pedoman dan ujian dalam menilai hukum-hukum
dan peraturan-peraturan yang sesuai dengan perkembangan
fikiran dan kemajuan.
Salah
satu kaedah umum menurut ajaran Islam ialah, bahawa
setiap orang akan mencapai prestasi atau hasil sesuai
dengan usaha yang dilakukannya. Sekiranya amalan banyak,
tentu hasilnya pun banyak, sebaliknya, kalau amalan
sedikit, maka sedikit pulalah hasil yang didapatinya.
Ketentuan
yang demikian, ditegaskan oleh Allah dalam Al-Quran
surah An-Najm ayat 39-41 yang bermaksud : ' dan
sesungguhnya manusia itu hanya memperolehi
apa yang diusahakannya, dan bahawa hasil usahanya
itu kelak akan dilihatnya, kemudian diberikan kepadanya
balasan yang cukup '
Jelaslah
bahawa ukuran yang dipakai oleh Islam untuk memberikan
hasil kepada manusia, ialah berdasarkan usaha yang
dilakukan samada amal ibadat dan aktiviti keduniaan,
dan lain-lain. Dalam ajaran Islam, tidak ada perbezaan
antara sesama manusia, semua manusia sama sahaja,
kedudukannya disisi Allah. Dalam pada itu, Allah sentiasa
menunjukkan limpah rahmatnya dan kasih sayangnya dalam
memberikan balasan yang lebih baik terhadap perbuatan-perbuatan
kebajikan, sedangkan terhadap perbuatan-perbuatan
kejahatan, hanya diberikan balasan siksa yang serupa
dan seimbang dengan kejahatan yang dilakukan, seperti
yang dijelaskan dalam Al-Quran, surah Al-Qasas ayat
84
Maksudnya
: ' Barangsiapa yang mengerjakan kebajikan, nescaya
ia mendapat balasan yang lebih baik dari perbuatannya
itu. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan, maka
orang-orang yang mengerjakan itu, tidak dibalas atau
dihukum melainkan sesuai dengan apa yang telah dikerjakannya
'
Menurut
ajaran Islam, setiap orang yang bertanggungjawab atas
perbuatannya sendiri. Dia tidak boleh memikulkan beban
dosa yang dilakukan atas perbuatannya itu kepada orang
lain, walaupun orang yang berkenaan bersedia memikulnya.
Seorang
ayah atau ibu tidak dipertanggungjawabkan atas perbuatan
atau dosa anaknya. Begitu pula seorang suami terhadap
dosa dan perbuatan isterinya, kecuali jika dia menjadi
punca mereka melakukan dosa dan demikian pula sebaliknya.
Seperti mana firman Allah dalam surah At-Thur ayat
21 yang bermaksud : ' Setiap orang yang bertanggungjawab
terhadap apa yang dikerjakannya '. Firman
Allah lagi dalam surah Al-Muddasir ayat 38 yang bermaksud
: ' Tiap-tiap diri, terikat dengan apa yang diusahakannya
'
Maksud
kedua-dua ayat ini ialah, bahawa setiap orang akan
menerima pahala atau siksa yang seimbang setimpal
dengan perbuatan. Dalam Al-Quran banyak terdapat kisah-kisah
yang menunjukkan keadaan yang demikian. Umpamanya
nabi Allah Ibrahim a.s. seorang yang beriman kepada
Allah sedang ayah kandungnya sendiri seorang musyrik.
Nabi Allah Nuh a.s. tidak mampu menolong isteri dan
anaknya ketika terjadi taufan, sehingga kedua-duanya
itu tenggelam dalam banjir yang melanda, sebab mereka
tidak beriman. Firaun adalah seorang raja yang engkar
terhadap Allah, malah mengakui dirinya menjadi tuhan,
sedang isterinya bernama Asiah adalah seorang muslimat.
Kesemua kisah tadi menjadi contoh, bahawa masing-masing
bertanggungjawab atas perbuatan sendiri.
Sidang
jumaat yang berbahagia,
Islam
tidak memikulkan sesuatu kewajipan ke atas bahu seseorang,
kecuali menurut kemampuan masing-masing. Hal ini telah
ditegaskan oleh Allah subhanahua ta'ala. Oleh sebab
itulah, maka dalam peraturan pelaksanaan kewajipan-kewajipan
ibadah solat, solat itu wajib dikerjakan dalam keadaan
badan berdiri tegak. Tetapi sekiranya tidak mampu
kerana sakit dan sebagainya, bolehlah dikerjakan dalam
keadaan duduk atau keadaan berbaring,gerakan anggota
atau isyarat mata. Sekiranya tidak mampu juga dengan
hati dan ingatan.
Sabda
Rasulullah Allah yang bermaksud : ' Kerjakanlah
sesuatu amal menurut kemampuan kamu, jauhilah apa
yang aku larang kepada kamu, dan apa-apa yang aku
perintahkan hendaklah kamu kerjakan menurut kesanggupan
kamu, '
Kaum
muslimin yang berbahagia,
Sesungguhnya
agama Islam melarang sesuatu perbuatan atau tindakan
yang merugikan diri sendiri dan yang merugikan orang
lain. Dilarang menyakiti diri sendiri, membunuh diri,
mencuri, menipu, bersubahat, fitnah menfitnah atau
menjatuhkan diri sendiri ke lembah kesengsaraan walaupun
dengan motif sebab apa sekalipun. Firman Allah dalam
surah Al-Baqarah ayat 195
Yang
bermaksud : " Janganlah kamu menjerumuskan dirimu
sendiri ke dalam jurang kebinasaan"
Sidang
jumaat yang budiman,
Hukum-hukum
dan peraturan Islam pada umumnya sesuai dengan pendapat
dan pertimbangan akal. Ada yang halal dan ada yang
haram, semua ini ada rahmat dari Allah untuk manusia
yang harus dimanfaatkan. Demikianlah hakikat hukum
Islam. Dengan dasar dan titik tolak yang demikian,
maka Al-Quran memperingatkan, supaya jangan lekas-lekas
menjatuhkan hukum haram terhadap sesuatu hal, jika
tidak secara terang-terangan diharamkan oleh nas Al-Quran
dan Sunnah.
Firman
Allah dalam surah Al-A'raf ayat 32 yang bermaksud
: ' Katakanlah, siapakah yang mengharamkan perhiasan
dari Allah yang telah dikeluarkan untuk hamba-hambanya
dan siapa pulalah yang mengharamkan rezeki yang baik-baik'
Dari
ayat tadi dapatlah difahamkan, bahawa perhiasan ataupun
makanan dan minuman yang tidak terang-terang dilarang
atau diharamkan Allah, adalah nikmat dan rahmat illahi
yang diharuskan oleh Allah subhanahua ta'ala.
Kesimpulannya,
agama Islam adalah satu agama yang cukup lengkap dalam
apa sahaja aspek kehidupan. Ia adalah agama yang mengatur
cara hidup manusia di dunia ini agar sentiasa harmoni
tidak sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak.
Oleh yang demikian marilah sama-sama kita menghayati
agama Islam yang sempurna ini untuk mencapai kejayaan
yang mutlak di dunia serta di akhirat.