Sidang
jumaat yang berbahagia,
Setiap
kali menjelangnya tarikh 16 September, angkatan
tentera Malaysia yang merupakan benteng kekuatan
dan pertahanan negara ini, akan menyambut hari
ulang tahun ini genaplah usianya 67 tahun. Bersempena
hari yang bersejarah ini, sekaligus sebagai
penghormatan untuk seluruh warga angkatan tentera
Malaysia yang mewakili ketiga-tiga perkhidmatan
iaitu darat, laut dan udara, maka mimbar pada
hari ini mengajak para jemaah untuk menghayati
khutbah yang bertajuk memperkasakan angkatan
tentera Malaysia.
Sidang
jumaat yang dimuliakan,
Negara
kita baru sahaja menyambut ulang tahun kemerdekaan
kali ke 43. Kemerdekaan negara mempunyai hubungan
dengan tugas dan tanggungjawab anggota-anggota
angkatan tentera. Anggota tentera dari ketiga-tiga
perkhidmatan telah menunjukkan kemajuan yang
tinggi dalam aspek pertahanan dan keselamatan
negara. Daya juang serta semangat berkorban
yang tinggi telah ditunjukkan samada diambang
kemerdekaan, selepas merdeka dengan ancaman
gerakan komunis Malaya sehingga kepada titik
hitam 13 Mei yang telah menjadi kestabilan negara
terus utuh. Semua ini memperlihatkan tanggungjawab
yang telah ditunaikan oleh tentera kita agar
seluruh rakyat negara ini dapat meneruskan hidup
dalam keadaan aman selamat dan sejahtera disamping
kesucian agama turut terpelihara. Semoga pengorbanan
mereka diterima oleh Allah sebagaimana firman
Allah dalam surah Al-Imran ayat 169-170 yang
bermaksud : ' dan janganlah sekali-kali engkau
menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur
shahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak
mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa)
disisi tuhan mereka dengan mendapat rezeki,
(dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan
Allah (balasan mati shahid) yang telah dilimpahkan
kepada mereka, dan mereka bergembira dengan
berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang
(Islam yang sedang berjuang) yang masih tinggal
dibelakang, yang belum (mati dan belum) sampai
kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan
(dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap
mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita
'.
Saudara
kaum muslimin,
Dalam
keadaan negara yang aman damai ini, janganlah
kita menganggap bahawa warga tentera kita sudah
hilang tanggungjawab mereka. Sebenarnya mereka
sentiasa bersiap sedia untuk digerakkan keseluruh
pelusuk negara memastikan keselamatan rakyat
terus kekal dan terjamin. Sewajarnya kita tahu
dalam keadaan ketenangan kita melangkah ke pejabat,
dalam hilai tawa dan kemerdekaan anak-anak kita
belajar di sekolah, dalam keseronokan kita berehat
di rumah dan tidur nyenyak, sesungguhnya tanpa
kita sedari bahawa sebahagian daripada anggota
tentera kita berjaga malam, beratapkan langit,
bermandikan embun, bertilamkan rumput, jauh
dari keasyikan dan kemewahan hidup, sedangkan
mereka seperti kita, memiliki keluarga dan ingin
sama merasai apa yang orang lain nikmati, namun
lantaran tugas dan tanggungjawab mereka tetap
akur dengan panggilan pertiwi. Lantaran itu,
kejadian rompakan senjata dari pasukan 304 askar
wataniah baru-baru ini tidak seharusnya dijadikan
modal oleh masyarakat untuk mempertikaikan kewibawaan
anggota tentera.
Sidang
jumaat yang terhormat,
Angkatan
tentera Malaysia, sentiasa peka dan bersedia
menghadapi apa juga bentuk peperangan moden
yang dijangka lebih hebat dan mencabar. Latihan
secara perseorangan dan berkumpulan beroreintasikan
peralatan moden seperti komputer dan teknologi
maklumat dengan perisian terkini adalah antara
latihan yang diberikan keutamaan. Penekanan
kepada corak latihan sedemikian diyakini dapat
mewujudkan angkatan tentera Malaysia sebagai
satu angkatan yang dihormati dan digeruni oleh
kawan dan lawan. Usaha sedemikian amat bertepatan
dengan arahan Allah subhanahua ta'ala dalam
surah Al-Anfal ayat 60
Maksudnya
: ' dan sediakanlah untuk menentang mereka
(musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan
yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan
berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan
musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh
yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya.
Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan
Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu,
dan kamu tidak akan dianayai '
Usaha
untuk memperkasakan angkatan tentera Malaysia
bukan sahaja tertumpu kepada kemantapan fizikal
sahaja, malah turut diperluaskan kepada aspek
kepandaian dan kerohanian. Kekuatan rohani merupakan
benteng pertahanan yang paling utuh dan kukuh
yang mampu menghadapi sebarang ancaman dan serangan.
Sebagai satu angkatan yang berpaksikan kepada
'Ad-Din' , angkatan tentera Malaysia
tidak boleh memisahkan dirinya dari mengimbau
faktor-faktor kekuatan dan kejayaan generasi
silam. Said Khatab rahimallah menyatakan bahawa
faktor kekuatan umat di zaman silam ialah
kerana mereka memiliki 'ruh Al-Islam'
yang memancarkan sifat kesanggupan berkorban
untuk mati shahid. Ini menunjukkan bahawa iman
merupakan faktor terpenting dalam rangka pertahanan
ummah. Firman Allah,
Maksudnya
: ' Dan tuhan berfirman lagi sekiranya penduduk
negeri itu, beriman serta bertakwa tentulah
kami akan membuka kepada mereka pintu pengurniaan
yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit
dan bumi. Tetapi mereka mendustakan rasul kami
lalu kami timpakan mereka dengan azab siksa
disebabkan apa yang mereka telah usahakan.'
Kepercayaan
yang padu kepada Allah subhanahua ta'ala serta
penyerahan diri yang total kepadanya merupakan
prasyarat untuk mendapat pertolongan Allah rabbuljalil
sebagaimana firmannya di dalam surah Al-Imran
ayat 160
Yang
bermaksud : ' Jika Allah menolong kamu mencapai
kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan
dapat mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan
dapat menolong kamu sesudah Allah menetapkan
yang demikian ? dan ingatlah kepada Allah jualah
hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah
diri '.
Saudara
kaum muslimin yang berbahagia,
Sesungguhnya
kesanggupan anggota-anggota angkatan tentera
memikul amanah sebagai benteng pertahanan negara
amatlah berat. Mereka memerlukan ketabahan,
kesabaran, kesetiaan dan bersedia pula untuk
menanggung apa-apa risiko. Oleh itu sewajarnya
masyarakat amat menyatakan syukur kepada Allah
dan mengucapkan terima kasih kepada anggota
tentera kerana telah berkesanggupan untuk memikul
tuntutan fardhu kifayah dalam aspek pertahanan
dan keselamatan negara. Bagi menzahirkan penghormatan
tersebut marilah bersama-sama kita memberikan
dorongan serta sokongan bagi memperkasakan angkatan
tentera Malaysia agar terus utuh dan kukuh dalam
memperkukuhkan keselamatan negara dan memelihara
kesucian agama.
Firman
Allah dalam surah Al-Ahzab, ayat 23-24 bermaksud
: ' Di antara orang-orang yang beriman itu,
ada yang bersikap benar menunaikan apa yang
telah dijanjikan kepada Allah untuk berjuang
membela Islam, maka di antaranya mereka ada
yang telah selesai menjalankan janjinya itu
lalu gugur shahid, dan di antaranya ada yang
menunggu giliran, dan mereka pula tidak mengubah
apa yang mereka janjikan itu sedikit pun. Berlakunya
yang demikian supaya Allah membalas orang-orang
yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan
menyiksa orang-orang yang munafik jika ia kehendaki,
atau ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya
Allah adalah maha pengampun, lagi maha mengasihani
'.