Khutbah
kita pada hari yang mulia ini ialah " menahan
sifat marah ", salah satu sifat yang tercela,
sumber kejahatan dan menahannya adalah sumber
kebaikan.
Diriwayatkan
dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang laki-laki
berkata kepada nabi s.a.w., berilah wasiat kepadaku,
sabda nabi s.a.w. janganlah engkau mudah marah,
maka diulangi oleh orang itu beberapa kali dan
sabdanya, janganlah engkau mudah marah.
Sidang
jumaat yang dirahmati Allah,
Rasulullah
s.a.w. memerintahkan agar orang yang sedang
marah segera membuang jauh kemarahannya dengan
segala macam cara yang dibenarkan, kerana jika
dibiarkan boleh mendatangkan perbuatan yang
diharamkan oleh syariat seperti bergaduh, mencederakan,
membunuh, menceraikan isteri dan yang lain-lain
yang menyebabkan penyesalan seumur hidup. Orang
mukmin diwajibkan agar sentiasa bertakwa kepada
Allah dan hanya boleh marah kerana agama Allah
iaitu Islam. Dan demikianlah sifat nabi s.a.w.,
baginda tidak pernah marah dan dendam kerana
dirinya, dia hanya akan marah sekiranya peraturan-peraturan
Allah dilanggar oleh umatnya.
Saudara
kaum muslimin,
Baginda
Rasulullah s.a.w. tidak pernah memukul isterinya,
orang gajinya dan juga orang lain, kecuali ketika
berjuang di jalan Allah. Di dalam peperangan
seorang sahabat, Anas bin Malik r.a. berkata,
aku pernah berkhidmat dengan Rasulullah s.a.w.
sepuluh tahun, tetapi tidak pernah Rasulullah
memaki atau membentak aku.
Begitu
juga Aisyah r.a. pernah ditanya tentang akhlak
Rasulullah s.a.w., jawabnya, sesungguhnya akhlak
Rasulullah ialah Al-Quran. Dengan erti kata
lain akhlak baginda adalah sebagaimana yang
disuruh di dalam Al-Quranulkarim. Baginda redha
kerana Allah subhanahua ta'ala dan baginda marah
juga kerana Allah ta'ala.
Sidang
jumaat yang dimuliakan,
Di
dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w. ada disebutkan,
orang yang sedang marah hendaklah berlindung
dari syaitan atau membaca auzubillahi minasyaitanirrajim.
Hendaklah pergi berwudhuk, kerana marah itu
dari syaitan dan syaitan itu dijadikan dari
api, maka api akan padam dengan air. Sekiranya
seseorang yang sedang marah itu, sedang berdiri,
maka hendaklah dia duduk, dan sekiranya sedang
duduk, maka hendaklah dia berbaring.
Saudara
kaum muslimin,
Di
dalam Al-Quran menyebutkan salah satu sifat
-sifat orang yang bertakwa ialah orang yang
sanggup menahan marahnya. Firman Allah
Maksudnya
: " Sifat orang yang bertakwa itu ialah orang
yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan
kesalahan orang yang lain sedangkan Allah mengasihi
orang yang berbuat perkara-perkara yang baik
."
Sidang
jumaat yang dirahmati Allah,
Nabi
s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud : "
yang paling kuat di antara kamu ialah orang
yang sanggup menahan nafsunya ketika marah "
Di
dalam surah Al-Imran ayat 133-134 Allah berfirman
yang bermaksud : " Dan bersegeralah kamu
kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk
mendapat pengampunan dari tuhan kamu dan mendapat
syurga yang lebarnya seluas segala langit bumi
yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa,
iaitu orang yang menahan kemarahannya dan orang
yang memaafkan kesalahan orang lain dan ingatlah
Allah subhanahua ta'ala mengasihi orang-orang
yang berbuat perkara yang baik ."