TAJUK:
BERSYUKUR ATAS NIKMAT-NIKMAT ALLAH
TARIKH:
23 JUN 2000 (20 RABIULAWAL 1421)
Saudara
kaum muslimin,
Sebagai
manusia yang menjadi hamba kepada Allah subhanahua
ta'ala, wajiblah bersyukur kepadanya yang telah
mengurniakan kita berbagai-bagai nikmat yang melimpah
ruah. Orang yang tidak pandai bersyukur terhadap
nikmat Allah adalah orang-orang kafir atau orang-orang
yang mengkufurkan dan menafikan nikmat Allah.
Firman Allah lagi, di dalam surah Ibrahim ayat
7
Maksudnya
: " Dan ingatlah tatkala tuhan kamu memberitahu,
demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya
aku akan tambahi nikmatku kepada kamu, dan demi
sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya
azabku amatlah keras "
'Jika
kita melihat di dalam diri kita sendiri yang paling
dekat, kita dapati berbagai nikmat kurniaan Allah
yang tidak dapat dinilaikan : mata dapat melihat,
telinga yang dapat mendengar, lidah yang dapat
merasa dan dan berkata-kata, kaki dan tangan yang
dapat bergerak bekerja bagi kepentingan seluruh
anggota badan, hati dapat menyimpan perasaan dan
ingatan, otak yang dapat berfikir dan merencanakan
sesuatu, segala ilmu pengetahuan, hidayat dan
taufiq, semuanya adalah nikmat kurniaan Allah
kepada kita, begitu juga hasil keuntungan dari
usaha kita seperti keuntungan dalam sesuatu perniagaan,
suatu perusahaan, pertanian dan perladangan adalah
kurniaan Allah kepada kita.
Sidang
jumaat yang berbahagia,
Setelah
kita mengetahui betapa banyak nikmat Allah yang
diberi kepada kita sehingga kita dapat pula menguasai
unsur-unsur yang ada di alam ini, yang kita gunakan
bagi kepentingan kita, maka wajiblah pula kita
bersyukur kepadanya, kalau di dalam kehidupan
sesama manusia kita membalas budi orang yang berbuat
baik kepada kita, maka betapa pula kepada Allah
yang begitu pemurah kepada hamba-hambanya, kita
tidak mahu bersyukur ?
Saudara
kaum muslimin,
Pernyataan
syukur kepada Allah atas nikmatnya itu tidaklah
memadai hanya mengucapkan dengan mulut sahaja,
tetapi mestilah dilakukan dengan beramal soleh
dan membuat kebajikan dengan hati yang ikhlas
seperti menunaikan sembahyang, berzakat dari harta-harta
yang diwajibkan zakat, melakukan fardhu-fardhu
yang lain dan juga ibadat-ibadat sunat, bersedekah
jariah, berwukuf dan sebagainya. Selain dari itu
mestilah nikmat itu digunakan pada jalan yang
diredhai Allah.
Menggunakan
nikmat Allah pada jalan yang dimurkainya adalah
bererti kita telah mengkufuri nikmat Allah itu
dengan menyalahgunakan nikmat itu pada tempat-tempat
yang haram seperti berjudi, belanja di kelab-kelab
malam, membeli minuman yang memabukkan dan menghisap
dadah, berbelanja dan berpunya-punya dengan perempuan
yang bukan isteri kita, melakukan perkara maksiat
yang lain adalah bererti kita mengkufuri nikmat
Allah.
Menjalankan
perniagaan barang-barang yang tidak halal atau
berniaga secara menipu orang untuk mengaut keuntungan
yang banyak atau menggunakan kekayaan untuk merebut
kuasa dan pangkat secara tidak sah, ini semuanya
adalah kerja-kerja yang menandakan seseorang itu
mengingkari nikmat Allah.
Sidang
jumaat yang mulia,
Orang
yang tidak pandai bersyukur dan menyalahgunakan
nikmat Allah memang banyak terdapat di dunia ini.
Gambaran tentang manusia jenis ini banyak disebut
di dalam Al-Quran. Antaranya firman Allah :
Yang
bermaksud : " Dan apabila kami kurniakan nikmat
kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan
diri dari bersyukur ; dan apabila ia ditimpa kesusahan,
maka dia berdoa merayu dengan panjang lebar "
Marilah
kita melihat apa yang terjadi kepada Sa'labah
bin Khatib di zaman Rasulullah s.a.w. untuk menjadi
pengajaran kepada kita. Sa'labah adalah seorang
yang miskin yang dibaratkan kais pagi makan pagi,
kais petang makan petang. Setiap hari, selepas
solat berjemaah bersama Rasulullah s.a.w., dia
akan tergesa-gesa pulang ke rumah, sehingga menimbulkan
tanda tanya kepada Rasulullah dan para sahabatnya.
Kemudian Sa'labah menjelaskan bahawa isterinya
di rumah perlu kepada kain yang di pakainya untuk
bersembahyang kerana isterinya tidak ada kain
yang lain. Begitulah kesusahan Sa'labah dan kerana
tidak tahan menanggung kesusahan, pada suatu hari
dia memohon supaya baginda Rasulullah berdoa agar
dia dilimpahi kekayaan oleh Allah.
Pada
mulanya Rasulullah enggan berdoa untuknya, Rasulullah
hanya menasihatkan Sa'labah, dengan katanya
" kelebihan atau rezeki yang sedikit bagi orang
yang bersyukur itu adalah lebih baik dari kekayaan
yang banyak bagi orang yang tidak bersyukur
". Walaubagaimanapun nasihat Rasulullah s.a.w.
beberapa kali kepadanya, namun Sa'labah tetap
juga mendesak supaya Rasulullah s.a.w. berdoalah
memohon supaya Allah memberi kekayaan kepada Sa'labah.
Dengan berkat doa Rasulullah, Sa'labah pun menjadi
kaya raya dengan ternakan kambingnya yang begitu
banyak dan bertambah dari sehari ke sehari.
Tetapi
apa yang terjadi kepada Sa'labah selepas itu ?
Dia telah lupa kepada janji hendak menjadi seorang
yang pemurah, hendak memberi sedeqah dan menolong
orang-orang yang susah. Ternakan kambingnya yang
banyak itu telah tidak dikeluarkan zakat, walaupun
Rasulullah s.a.w. menghantar orang untuk mengambil
zakat daripadanya. Dia telah lupa kepada masjid
yang dahulunya tidak pernah ada satu waktu pun
yang diselanginya berjemaah.
Tumpuan
hidup hanyalah untuk memperbanyakkan lagi hartanya
kerana kekayaan yang ada masih belum cukup lagi
baginya. Akhirnya Sa'labah telah menjadi manusia
yang dimurkai Allah sehingga turun ayat yang melarang
baginda Rasulullah menerima zakatnya ! Jadi apa
yang diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w.
dahulu telah benar-benar terjadi kepada Sa'labah,
dia menjadi manusia yang tidak bersyukur terhadap
limpahan nikmat Allah kepadanya.
Dan
perbandingan lain Al-Quran menceritakan bagaimana
Allah membinasakan penduduk-penduduk negeri Saba'
atau Yaman. Disebabkan mereka kufur nikmat Allah,
lalu dengan sekelip mata sahaja Allah membinasakan
negeri tersebut dengan terpecahnya empangan yang
besar, yang dibina begitu kuat dilanda banjir,
pada hal negeri tersebut pada mulanya sebuah negara
yang makmur, dengan tanah-tanah yang subur dan
rakyat hidup mewah.
Begitu
juga, Qarun yang begitu gagah dan mempunyai harta
kekayaan bertimbun-timbun juga telah dibinasakan
kerana kufurnya terhadap nikmat Allah. Firman
Allah dalam surah Al-Qasas ayat 76
Maksudnya
: " Sesungguhnya Qarun adalah dari kaum nabi Musa,
kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap
mereka, dan kami telah mengurniakannya dari berbagai
jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi
beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan
orang yang kuat perkasa. Dia berlaku sombong tatkala
kaumnya berkata kepadanya : " Janganlah engkau
bermegah-megah dengan kekayaanmu, sesungguhnya
Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah
seperti lagakmu itu "
Kerana
kesombongan itu Allah membinasakannya dengan menimbuskannya
ke dalam perut bumi seperti mana firman Allah
dalam surah Al-Qasas ayat 81, yang bermaksud "
lalu lagi timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya
ke dalam tanah, maka tidaklah dia mendapat sebarang
golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah,
dan dia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri
"
Oleh
itu sidang jumaat yang dikasihi,
Berdoalah
kepada Allah, tuhan yang maha pengampun dan penyayang,
semoga kita termasuk di dalam golongan orang-orang
yang sentiasa bersyukur kepada Allah dan menunaikan
segala perintahnya. Firman Allah dalam surah Luqman
ayat 12 yang bermaksud " …. Dan sesiapa
yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang
kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak
bersyukur maka tidaklah menjadi hal kepada Allah,
kerana sesungguhnya Allah maha kaya, lagi maha
terpuji "