TAJUK:
MASYARAKAT IHSAN
TARIKH : 2 MAC 2001 (6 ZULHIJJAH 1421)
Khutbah
pada hari ini akan membicarakan tajuk masyarakat
ihsan.
Ihsan
membawa maksud " menyembah Allah seolah-olah kita
melihatnya walhal kita tidak dapat melihatnya
akan tetapi Allah sentiasa melihat kita. "
Rasa
sedar terhadap pemerhatian Allah merupakan punca
terhasilnya iksan. Dengan pemerhatian Allah, seseorang
yang sedang melakukan ibadat akan cuba berusaha
untuk menumpukan perhatian dan perasaannya terhadap
ibadat yang sedang dilakukannya samada menghayati
bacaan-bacaan atau melakukan perbuatan-perbuatannya
dengan sempurna. Seseorang akan merasa bahawa
dia sentiasa terikat dengan peraturan-peraturan
yang telah ditetapkan oleh Allah keatasnya samada
peraturan itu berbentuk suruhan atau larangan,
berbentuk amalan zahir atau batin dan samada ketika
berseorangan atau dikhalayak ramai. Sebagaimana
firman Allah diawal khutbah tadi dalam surah An-Nahl
ayat 90 yang bermaksud " Sesungguhnya Allah menyuruh
berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi
bantuan kepada kaum kerabat, dan melarang daripada
melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar
serta kezaliman, ia mengajar kamu dengan suruhan
dan larangannya ini, supaya kamu mengambil peringatan
mematuhinya "
Ihsan
merupakan salah satu asas agama yang kedudukannya
seiring dengan Islam dan iman. Islam diertikan
oleh Rasulullah s.a.w. sebagai bersaksi tidak
ada tuhan selain Allah dan nabi Muhammad pesuruh
Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat,
berpuasa di dalam bulan Ramadhan dan mengerjakan
haji ke Baitullah bagi yang mampu.
Manakala
iman pula ialah beriman kepada Allah, rasul-rasulnya,
kitab-kitabnya, malaikat-malaikat, hari akhirat
serta qada' dan qadar yang telah ditetapkan oleh
Allah. Ihsan merupakan amalan-amalan pokok yang
menjadi tunggak kepada agama iaitu sembahyang,
puasa, zakat dan haji. Pendorong dan pembekal
ke arah pelaksanaan ihsan pula ialah keimanan
terhadap rukun-rukun iaitu beriman kepada Allah,
malaikat, rasul-rasul, kitab-kitab, hari akhirat
serta qada' dan qadar.
Ihsan
terbahagi kepada beberapa bahagian, antaranya
;
Pertama
> Ihsan dalam ibadah,
Ibadah
yang terkandung di dalam rukun Islam adalah merupakan
asas kepada kehidupan seseorang muslim dan aktiviti
sehariannya yang mengandungi pelbagai pengertian
dan pengajaran. Ibadah mengajak kita tunduk dan
menurut segala peraturan yang telah ditetapkan
oleh Allah bagi setiap muslim. Ibadah melatih
kita supaya menunaikan kewajipan tepat pada waktunya,
sentiasa berhati-hati dan melakukan sesuatu kerja
dengan penuh kesedaran dan penghayatan. Banyak
lagi pengajaran-pengajaran yang dapat diambil
dari ibadah yang kita tunaikan seharian.
Kedua
> Ihsan dalam muamalat,
Ihsan
dalam muamalat adalah merangkumi perkara-perkara
seperti berbuat baik kepada ibu bapa, keluarga,
kaum kerabat, jiran, orang fakir miskin dan juga
kepada makhluk-makhluk lain. Berbuat baik kepada
ibu-bapa ialah dengan tidak menyakiti hati mereka,
mengikut segala suruhan dan permintaan mereka
selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam,
disamping menyempurnakan segala keperluan mereka
terutama ketika mereka lanjut usia serta tidak
berupaya melakukan kerja. Allah berfirman dalam
surah Al-Isra' ayat 23
Maksudnya
: " Dan hendaklah engkau berbuat baik (ihsan)
kepada ibu-bapa, jika salah seorang dari keduanya
atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua
dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau
berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar
sekalipun perkataan "ah' dan jangan engkau menengking,
menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka
perkataan yang mulia yang bersopan santun "'.
Saudara
kaum muslimin yang berbahagia,
Ihsan
kepada keluarga pula merangkumi anak-anak serta
isteri, tidak terhad kepada mendidik juga mengasuh
mereka dengan pendidikan dan pengetahuan agama
secukupnya. Agama cukup penting supaya mereka
dapat menjalani kehidupan yang sempurna berasaskan
bimbingan agama disamping ilmu ketamadunan dunia
bagi menjadikan mereka manusia yang berguna kepada
diri mereka sendiri juga orang lain. Ikhsan kepada
keluarga juga bermakna kewajipan memenuhi dan
melengkapkan segala keperluan lahiriah seperti
tempat tinggal dan makanan, disamping keperluan
rohani serta jiwa, menurut kemampuan masing-masing.
Manakala
ihsan kepada kaum kerabat ialah membantu sekiranya
mereka ditimpa bencana atau kecelakaan yang tidak
dapat dielakkan. Waktu sebeginilah perlunya kepada
sifat ikhsan sesama kaum kerabat kerana hanya
dengan sifat ini sahajalah masalah dapat diatasi
atau sekurang-kurangnya dapat diringankan.Begitu
juga dengan ihsan kepada jiran, bermakna kita
sentiasa bekerja sama dan saling tolong-menolong
dalam perkara kebajikan dan yang mendatangkan
kebaikan bersama. Tidak mengganggu ketenteraman
jiran dalam apa sahaja bentuk samada bising atau
bauan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud
: " Tidak beriman seseorang kamu yang jirannya
tidak tenteram dengan gangguan bunyian daripadanya
".
Sidang
jumaat yang berbahagia,
Kita
juga mesti ada sifat ihsan kepada golongan fakir
miskin, yang terbahagi kepada dua sepertimana
berikut iaitu sentiasa memberikan rasa penuh kasih
sayang dan pertolongan yang mereka perlukan dari
semasa kesemasa sehingga Allah melapangkan keadaan
mereka. Kedua, tidak menyakiti hati mereka samada
dalam bentuk mengejek atau sebagainya. Allah berfirman
Maksudnya
: " Dan orang yang meminta, maka janganlah engkau
tengking herdik mereka "
Disamping
kesemua sifat-sifat ihsan di atas, kita juga mesti
ada sifat ihsan kepada makhluk-makhluk lain seperti
haiwan, tumbuh-tumbuhan, bukit bukau dan sebagainya.
Semua makhluk ini telah diserahkan oleh Allah
kepada manusia yang juga salah satu makhluk ciptaannya.
Penyerahan ini merupakan salah satu bentuk anugerah
dari Allah kepada manusia, dan merupakan satu
tanggungjawab akan dipersoalkan di akhirat. Oleh
yang demikian terpulanglah kepada manusia untuk
menguruskannnya dengan ilmu yang ada kearah yang
membawa kebaikan kepada diri mereka sendiri. Kebijaksanaan
dan keilmuan inilah yang dinamakan sebagai ihsan
terhadap makhluk-makhluk tersebut. Rasulullah
s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud " apabila
engkau menghukum bunuh seseorang manusia yang
bersalah maka perelokkan hukuman bunuh tersebut,
dan apabila engkau menyembelih binatang maka perelokkanlah
sembelihan itu "
Ketiga
> Ihsan dalam kerja dan aktiviti kehidupan,
Ihsan
dalam kerja dan aktiviti kehidupan yang dilakukan
seharian membawa beberapa maksud dan pengertian
iaitu :
Pertama,
kerja itu hendaklah suatu usaha yang diredhai
oleh Allah dan rasulnya iaitu tidak bercanggah
dengan syariat yang diturunkannya.
Kedua,
kerja tersebut hendaklah dilakukan kerana Allah
semata-mata dengan tidak menyekutukannya dengan
sesuatu yang lain.
Ketiga,
kerja itu hendaklah dilakukan dengan tekun, teliti
dan bersungguh-sungguh serta bersistem dengan
mengikut peraturan-peraturan alam yang telah ditetapkan
oleh Allah.
Keempat,
membuatnya kerja yang mendatangkan manfaat kepada
manusia dan juga seluruh alam seluruhannya tanpa
sebarang kerosakan dan kebinasaan; dan
Kelima,
bekerja dengan penuh amanah dan jauh dari sebarang
penipuan walau dalam apa bentuk sekalipun seperti
rasuah dan sebagainya.
Sidang
jumaat yang berbahagia,
Kesemua
sifat ihsan ini hanya dapat dihasilkan sekiranya
manusia itu menghayati dan berusaha dalam mengharungi
hidup yang serba mencabar sekarang ini disamping
suluhan hidayat daripada Allah subhanahua ta'ala.
Antara jalan yang boleh menyampaikan manusia kepada
sifat ihsan ialah :
Pertama,
seseorang itu mempunyai ilmu tentang syariat Allah.
Mengetahui perintah dan larangan Allah, halal
dan haram sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah
dan rasulnya.
Kedua,
mempunyai sifat perasaan kasih sayang di dalam
jiwa sesama manusia tanpa mengira darjat, warna
kulit, bangsa dan bahasa.
Ketiga,
mempunyai sifat menghargai kewujudan orang lain
di atas muka bumi serta menghormati hak-hak dan
keperluan yang mereka hajati.
Keempat,
menanamkan semangat persaudaraan sesama manusia
dan semangat persaudaraan di jalan Allah sesama
Islam, dan akhirnya
Kelima,
kita harus menghilangkan sifat iri hati dan hasad
dengki serta sombong dengan kedudukan yang ada.
Firman
Allah dalam surah At-Taubat ayat 100 yang bermaksud
: " Dan orang-orang yang terdahulu, yang mula-mula
berhijrah dan memberi bantuan dari orang-orang
Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut
jejak langkah mereka dengan kebaikan iman dan
taat, Allah redha akan mereka dan mereka pula
redha akan dia, serta dia menyediakan untuk mereka
syurga-syurga yang mengalir dibawahnya beberapa
sungai, mereka kekal dalamnya selama-lamanya,
itulah kemenangan yang besar "