TAJUK
: KETENANGAN JIWA
TARIKH : 14 JULAI 2000
Dihari
yang mulia ini marilah kita memahami satu tajuk
khutbah yang berjudul " Ketenangan Jiwa ".
Kaum
muslimin yang dihormati sekalian,
Ketenangan
jiwa membawa erti seseorang itu aman dan tenteram,
tidak gelisah, tidak runsing, lapang fikiran,
tidak diganggui, mantap, stabil, berasa lega,
tidak risau dan gundah.
Seorang
yang mempunyai jiwa yang tenang ia akan menjadi
manusia yang selesa hidupnya, bahkan keadaan dirinya.
Tidak runsing apabila hatinya tidak terganggu,
ia akan dapat membuat kerja dengan baik dan teratur,
samada kerja-kerja itu berbentuk tugasan harian
ditempat kerja ataupun kerja-kerja dirumahnya
atau amalan ibadat yang dilaksanakan setiap hari.
Sebaliknya
bagi orang yang mengikut hawa nafsu mereka mencari
ketenangan melalui proses yang salah yang tidak
direstui oleh syarak seperti minum-minuman yang
memabukkan, menghidu gam, menghisap dadah, berseronok
dengan wanita-wanita yang bukan isterinya, kesan
dari perbuatan itu, mereka dapati kehidupan yang
tidak selesa sentiasa dihantui dengan perasaan
bersalah, hal yang demikian menyulitkan lagi keadaan
yang sedia ada.
Sidang
jumaat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya
untuk mencapai ke arah jiwa yang tenang, ia bukan
suatu yang mudah dan bukan pula suatu yang mustahil.
Untuk mendapatkannya ia perlu diusaha, dilatih
bersungguh-sungguh secara berterusan dan aktif
setiap hari melalui proses bimbingan dan panduan
ke atas diri individu seperti membina sikap positif,
sebagai contoh " bertafakur ", seseorang memerlukan
suasana yang tenang dan sunyi. Fikiran dikosongkan
daripada peristiwa hidup. Sentiasa mengingati
kuasa tuhan. Tubuh badan berasa santai dan rehat
secara fizikal dan emosional. Insyallah jika diusahakan
akan berjaya. Selain dari pegangan dan amalan
agama boleh membantu individu mendapatkan ketenangan.
Agama memberi kekuatan iman dan keteguhan jiwa
dengan adanya kepercayaan kepada kuasa dan pertolongan
tuhan. Dalam Islam sembahyang lima waktu dan sembahyang
sunat boleh melegakan fikiran serta memberi harapan
kepada individu berkenaan. Wirid, berzikir, membaca
Al-Quran boleh membantu menenangkan hati. Nikmat
yang dapat dirasai melalui perkara-perkara tersebut
ialah ketenangan batin dan ketenteraman jiwa.
Pengalaman rohaniah ini membina kekuatan iman.
Zikir mengajar individu supaya bertaqwa kepada
tuhan.
Firman
Allah dalam surah Ar-Ra'du ayat 28
Maksudnya
: " Orang-orang yang beriman menjadi tenteram
dengan mengingati Allah, ingatlah bahawa dengan
mengingati Allah itu tenteramlah hati "
Sidang
jumaat yang mulia,
Sebenarnya
hati orang-orang yang beriman itu senang dan tenteram
kerana selalu mengingati Allah diwaktu ditimpa
malapetaka. Mereka ingat kepada Allah dan cepat
insaf dan memeriksa kekhilafannya agar dapat diubahnya
dimasa akan datang. Oleh sebab itu hilanglah dukacitanya
berganti dengan gembira dan mengharapkan kurniaan
Allah. Begitu juga jika mereka mendapat anugerah
(nikmat), mereka tidak sombong, malahan mengucapkan
terima kasih kepada Allah. Sebab itu hati orang-orang
yang beriman itu senang dan tenteram baik diwaktu
susah ataupun gembira. Kesenangan hati itu ialah
kebahagiaan yang sebenarnya. Sebab itu dalam Islam
amat dipentingkan sekali menegakkan sembahyang
lima kali sehari semalam kerana dalam sembahyang
itulah kita mengingati Allah dan membersihkan
jiwa. Nabi mengatakan bahawa sembahyang itu tempat
ketenangan jiwanya dan kesenangan hatinya. Oleh
yang demikian senanglah hati menghadapi segala
kemungkinan dan kesulitan dalam masyarakat hidup
di dunia ini. Firman Allah dalam surah Al-Fajr
ayat 27-30 yang bermaksud :
" Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa
tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya,
kembalilah kepada tuhanmu dengan keadaan engkau
berpuasa hati (dengan segala nikmat yang diberikan),
lagi diredhai (disisi tuhanmu), serta masuklah
engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang
berbahagia, dan masuklah ke dalam syurgaku ".