Saya
berpesan kepada diri saya sendiri dan juga kepada
tuan-tuan supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah
Subhanahua ta'ala, kerana dengan sesungguhnya
dengan taqwa sahajalah seseorang itu mendapat
kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat.
Taqwa maknanya ialah menjunjung segala perintah
dan menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara
yang dilarang oleh Allah Subhanahua taala.
Saudara
Sidang Jumaat Yang Dikasihi,
Tajuk
khutbah kita pada hari Jumaat yang mulia ini
ialah "Malam Lailatulqadar".
Di
dalam khutbah nabi S.A.W yang panjang, sewaktu
menyambut bulan Ramadhan, diantaranya nabi S.A.W
bersabda : "Sesungguhnya telah sampai
kepada kamu bulan mulia bulan mubarak bulan
yang berkat yang padanya ada satu malam beribadat
padanya lebih baik dari seribu bulan yakni malam
Lailatulqadar, seribu bulan lebih kurang 83
tahun 4 bulan. Begitulah istimewanya malam Lailatulqadar".
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kebesaran
malam itu sebenarnya disebabkan dua perkara
:
1.
Turunnya Al-Quran Al-Karim yang menjadi panduan
dan pertunjuk di dalam kehidupan manusia; serta
2. Turunnya para malaikat pada suatu angkatan
besar yang penuh bercahaya gilang gemilang
yang disertai oleh Jibrail untuk memberi penghormatan
kepada orang yang berpuasa ikhlas, dan untuk
menyaksikan amal ibadah mereka itu untuk membawa
kesentosaan dan rahmat di kalangan penduduk
bumi.
Saudara
Kaum Muslimin,
Timbul
beberapa pendapat dari para ulama mengenai
malam Lailatulqadar, antara pendapat mengenai
kebesaran Lailatulqadar ialah malam-malam sepuluh
yang akhir dalam bulan Ramadhan dan malam-malam
yang ganjil, lebih-lebih lagi malam yang kedua
puluh tujuh.
Sabda
nabi S.A.W dari hadis riwayat Bukhari yang bermakna,
"Carilah dengan segala daya upaya kamu
malam Lailatulqadar di malam-malam ganjil dari
sepuluh yang akhir dari bulan Ramadhan".
Di
dalam riwayat yang lain pula sabda nabi S.A.W
yang bermaksud : "Barangsiapa yang ingin
mencari malam Lailatulqadar, maka hendaklah
ia mencari pada malam dua puluh tujuh".
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Dari
kenyataan hadis yang telah disebutkan dapatlah
kita membuat ketetapan bahawa Lailatulqadar
adalah satu malam sahaja dalam setahun, ia terletak
pada sepuluh akhir Ramadhan. Kita sangat dituntut
beribadat kepadanya kerana ibadat pada malam
itu mendapat pahala yang lebih banyak dari seribu
bulan tanpa malam Lailatulqadar.
Kaum
Muslimin Yang Berbahagia,
Para
ulama menerangkan bahawa ada hikmah yang tersembunyi
pada malam Lailatulqadar, yakni ditentukan malamnya
ialah supaya kita berusaha mencari dan meningkatkan
ibadat di setiap malam di bulan Ramadhan. Memperbanyakan
berdoa semoga memperolehinya, sebagaimana yang
pernah dilakukan oleh ulama-ulama yang soleh.
Tanda-tanda
malam Lailatulqadar yang diterangkan di dalam
hadis ialah, terbit matahari pada pagi hari
dengan bentuk putih bersih, tidak mempunyai
sinar yang kuat yakni lembut dan siangnya tidak
terus kepanasan, pada hal matahari sangat cerah
terang benderang, pada malam itu udaranya sangat
nyaman, tidak panas dan tidak sejuk.
Walau
bagaimanapun pahala ibadat pada malam Lailatulqadar
akan berhasil juga walaupun tanda-tanda tidak
dapat dilihat, kerana barang siapa beribadat
pada malam di seluruh bulan Ramadhan atau di
sepuluh yang akhir kerana iman dan ikhlas untuk
memperolehi malam Lailatulqadar, maka mereka
akan mendapat pahala malam Lailatulqadar itu.
Sesungguhnya
Allah Subhanahua taala telah menurunkan Al-Quran
pada malam Lailatulqadar maka carilah kehebatan
dan kebesaran malam Lailatulqadar. Malam Lailatulqadar
lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam
itu turun malaikat-malaikat serta Jibrail dengan
izin Allah Subhanahua taala kerana ia membawa
bermacam-macam perkara. Sejahteralah malam Lailatulqadar
yang berkat itu hingga terbit fajar.