TAJUK :
BELIA ISLAM ALAF BARU
TARIKH : 4 FEBRUARI 2001 (28 SYAWAL
1420)
Sidang
jumaat yang berbahagia,
Tajuk
khutbah kita pada hari ini ialah " Belia Islam
Alaf Baru "
Sidang
jumaat yang dimuliakan,
Mengikut
kajian yang dijalankan mendapati bilangan belia
di negara ini melebihi golongan yang lain. Ekoran
dari keadaan ini menjadi satu tanggungjawab kepada
negara untuk melihat dan menilai tahap atau kedudukan
mereka. Kerana dalam menghadapi zaman alaf baru
2000 negara memerlukan angkatan mudi yang benar-benar
berwibawa, berperibadi dan bersahsiah Islam bersesuaian
dengan sanjungan kepada mereka sebagai pemuda
harapan bangsa dan pemudi tiang negara.
Keupayaan
dan keterampilan diri anak-anak muda ini sangat
diperlukan kerana mereka bukan sahaja akan mewarisi
zuriat keluarga malah akan jadi penyambung identiti
keturunan bangsa mereka. Pujangga arab ada menyebutkan
dalam madahnya, " kalau kamu mahu melihat keagungan
satu-satu bangsa lihatlah peribadi kaum belianya
". Ungkapan ini menggambarkan mulia atau hinanya
bangsa itu bergantung kepada baik atau buruknya
perangai golongan pelapisnya.
Jemaah
yang berbudi,
Menyedari
betapa berkesannya pengaruh anak-anak muda dalam
kehidupan masyarakat, maka Islam menghendaki setiap
individu dari mereka dapat diberi didikan dan
asuhan agama secukupnya agar dengan itu mereka
dapat menjalani kehidupan yang baik dan tidak
mudah terjerumus dalam kerja-kerja maksiat dan
kemungkaran yang dilarang oleh agama dan berlawanan
dengan nilai-nilai budaya negara.
Ibu-bapa
tidak sepatutnya membiarkan anak-anak hidup membesar
dengan bebas tanpa sebarang pedoman hidup yang
berlandaskan kepada ajaran Al-Quran dan hadis-hadis
nabi disamping menjaga makan minum atau kesihatan
tubuh badan anak-anak, ibu-bapa juga dikehendaki
mengawal kesempurnaan akhlak dan kerohanian mereka.
Ini disebabkan kemuliaan diri insan meliputi jasmani,
akal dan emosi.
Rasulullah
s.a.w. mengingatkan kita dengan sabdanya : Yang
bermaksud :
"
Tidak ada pemberian seorang bapa kepada anaknya
yang terlebih baik daripada akhlak yang mulia
"
Hadirin
yang dihormati,
Sebagai
penjaga dan ketua keluarga Islam seharusnya merasa
bimbang, cemas dan cemburu ke atas anak-anak yang
tidak terdidik dan tidak menghayati ajaran Al-Quran
yang sebenar. Namun demikian, sekiranya belia
dan beliawanis ini telah dibekalkan dengan
asas-asas kehidupan yang meliputi keperluan duniawi
dan akhrawi, mereka tidak akan sanggup melakukan
kerja-kerja dosa dan maksiat seperti tinggal sembahyang,
minum arak, menghisap dadah, berpakaian tidak
sopan, pecah amanah, menipu, makan riba’
dan lain-lain perbuatan yang membawa kepada dosa
dan merosakkan akidah mereka.
Sebaliknya
anak-anak yang berjiwa murni ini akan melibatkan
diri dalam kegiatan-kegiatan yang membangunkan
negara dan bangsa melalui bidang dakwah Islam,
pendidikan, ekonomi, pertanian, perusahaan dan
sebagainya. Di masa yang sama mereka akan membuang
sifat-sifat negatif dalam diri seperti sifat malas,
membuang masa, bakhil, tidak bertanggungjawab,
mudah berputus asa, mudah bosan dengan pekerjaan
dan lemah peribadi.
Anak-anak
yang telah terdidik dengan tarbiah Islamiah ini
bukan sahaja dapat menjaga dirinya dari kejahatan-kejahatan
yang ditegah oleh agama dan undang-undang negara
tetapi mereka boleh mengajak rakan-rakan sebaya
selain untuk memberikan sumbangan kepada pembangunan
masyarakat umum melalui persatuan-persatuan atau
badan-badan yang disertai. Golongan belia seperti
inilah yang diharapkan dapat menghapuskan budaya
hidup yang memalukan kita seperti budaya lepak-lepak
di pasar-pasar raya, berpeleseran di pusat-pusat
membeli belah, penunggu jalanraya, berkunjung
di kelab hiburan, disko-disko, tempat perjudian
dan mengorbankan masa, tenaga dan wang, tenaga
dan wang ringgit dengan kerja yang tidak bermanfaat
sama sekali. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. memberi
pedoman kepada kita, sabdanya :
Maksudnya
: " Jauhilah diri kamu dari duduk-duduk di
tepi-tepi jalan. Sahabat bertanya : Bagaimana
halnya jika kami terpaksa berbuat begitu ? Jawab
Rasulullah : Jika terpaksa juga maka hendaklah
kamu jaga hak-haknya. Sahabat bertanya lagi :
Apakah hak-hak jalanraya itu. Jawab nabi hak-hak
jalan itu ialah dengan cara kamu pejamkan mata
dari melihat yang diharamkan, memelihara perbuatan-perbuatan
yang menyakiti orang lain, menjawab salam dan
menyuruh manusia berbuat baik serta melarang dari
kemungkaran ".
Tidak
syak lagi hanya jiwa manusia yang diasuh dengan
didikan Al-Quran dan disuburkan dengan nilai-nilai
murni sahaja yang dapat menjauhkan diri dari gejala-gejala
maksiat dan keruntuhan akhlak yang tersebut dalam
hadis di atas. Sementara jiwa yang jauh dari bimbingan
Al-Quran dan jauh dari amal ibadah suci seperti
solat akan terus melakukan kerja terhina walaupun
perbuatan itu akan memalukan dirinya sendiri,
kaum keluarga dan masyarakat sekelilingnya.
Maka
menjadi kewajipan ibu-bapa dan penjaga anak-anak
disemua peringkat membudaya dan mendekatkan jiwa
anak-anak kepada Al-Quran dan amalan-amalan salah
yang terkutuk. Ada pun orang yang ingkar perintah
Allah dan rasulnya tidak akan selamat, hidupnya
hina, dirinya jauh dari hidayat Allah. Sebaliknya
mereka dekat dengan iblis syaitan yang menjadi
musuh Allah.
Firman
Allah subhanahua ta’ala,
Maksudnya
: " Sesiapa menjauhkan dirinya dari mengingati
Allah maka kami lantikkan baginya syaitan yang
akan menemani kehidupannya ‘
Sidang
jumaat yang dimuliakan,
Bersesuaian
dengan hasrat dan era negara yang sedang menuju
ke zaman tamadun alaf 2000 yang penuh dengan cabaran
dan pembangunan moral dan material ini. Negara
kita sangat memerlukan warganegara yang berakhlak,
berjiwa besar, berdisiplin tinggi, berkhemah,
berpengalaman dan berpendidikan luas.
Tetapi
apakah yang boleh diterima oleh negara yang rakyatnya
lemah, tidak bermaya dan tidak berakhlak ? Begitu
juga apakah yang dapat disumbangkan oleh warganegara
yang menagih dadah dan tidak berilmu pengetahuan
? Angkatan belia harus insaf bahawa umur remaja
hanya datang sekali sahaja, kerana itu gunakanlah
peluang atau masa yang hanya sekali itu untuk
membangunkan diri serta bangsa dan bukannya melakukan
kerja-kerja yang boleh menjatuhkan nama baik keluarga
dan maruah bangsa sendiri. Cerdik pandai ada mengatakan
" nama baik yang diberi oleh Allah hanya sekali
". Kerana itu kita berkewajipan menjaga dari
sebarang pencemaran.
Umat
Islam, biar dimana berada adalah umat yang hebat.
Tetapi, kehebatan dan keagungan mereka akan malap
dan terhapus apabila iktikad mereka sudah
menyeleweng dari landasan sebenar-benar apabila
akhlak mereka sudah luntur dan apabila budaya
hidup mereka sudah tidak menggambarkan budaya
hidup muslim dan muslimat sejati.
Sekarang
inilah masanya untuk setiap dari kita yang sedang
melalui awal alaf baru ini bangun membina serta
membetulkan kesilapan yang berlaku dan menukar
sifat-sifat yang negatif dengan yang positif.
Kita tidak boleh menyerahkan baik atau buruk kita
kepada orang lain atau kepada masa atau hari,
kerana masa dan hari itu tidak menjanjikan kebahagiaan
haqiqi kepada kita.