TAJUK :
ETIKA PERNIAGAAN DI DALAM ISLAM
TARIKH : 9 MAC, 2001 (13 ZULHIJJAH 1421)
Para
jemaah yang dirahmati Allah sekalian,
Pada
mimbar jumaat kali ini saya akan bawakan kepada
tuan-tuan khutbah yang bertajuk " Etika Perniagaan
Di dalam Islam "
Sebagaimana
yang kita maklum bahawa perniagaan merupakan satu
tuntutan agama kepada umatnya kerana dengan adanya
perniagaan maka orang-orang Islam dapat menjalani
kehidupan seharian mereka dengan selesa. Sekiranya
kita menyorot kembali sejarah perniagaan di dalam
Islam, ia bermula dengan peranan yang dimainkan
oleh Rasulullah sebelum beliau diutuskan menjadi
rasul. Di masa kecilnya baginda telah di bawa
oleh bapa saudaranya ke negeri Syam untuk berniaga.
Ketika usianya meningkat 25 tahun. Baginda telah
diupah oleh seorang ahli perniagaan perempuan
yang terkenal di Mekah iaitu Saidatina Khadijah
Binti Khuwailid untuk menguruskan harta perniagaannya.
Sepanjang pengurusan baginda terhadap perniagaannya,
Saidatina Khadijah mendapat keuntungan yang berganda-ganda.
Selain
dari beliau sendiri ramai sahabat baginda yang
menceburkan diri di dalam bidang perniagaan. Mereka
mendapat keuntungan yang banyak, antaranya ialah
AbdurRahman Bin Auf. Beliau bukan sahaja terkenal
di Mekah malahan terkenal juga di Madinah. Di
antaranya faktor utama keuntungan yang mereka
perolehi ialah kerana mereka berniaga mengikut
etika yang digariskan oleh Islam.
Oleh
sebab itu kita hendaklah sentiasa peka kepada
etika tersebut khususnya barang atau benda yang
dijual. Antara syarat pertamanya, jangan
ada sesuatu barang yang hendak dijual itu najis
seperti babi, arak atau sebagainya. Ini termasuk
makanan yang diperbuat atau dicampur dengan salah
satu daripada bahan yang najis walaupun sedikit
;
Syarat
kedua, barang yang dijual hendaklah bermanfaat
kepada pembeli, dan tidak sah dijual seperti semut,
kerangka dan sebagainya ;
Syarat
ketiga, barang yang hendak dijual adalah milik
mutlak penjual itu sendiri dan bukannya milik
orang lain kecuali sekiranya dia diwakilkan untuk
menjualkannya ;
Syarat
keempat, hendaklah barang itu suatu yang dapat
dilihat dengan jelas seperti rupanya, warnanya,
jumlahnya dan sebagainya; manakala
Syarat
yang kelima, hendaklah pembeli menerima suatu
yang hendak dibelinya dengan sempurna.
Syarat-syarat
tersebut adalah di antara syarat-syarat yang ditetapkan
oleh agama kita, kerana Islam tidak mahu berlaku
penipuan atau penyelewengan daripada penjual terhadap
pembeli.
Perbuatan
menipu ini sangat-sangat dilarang keras oleh Rasulullah
seperti hadisnya yang bermaksud : " Siapa yang
menipu kami maka dia bukan dari golongan kami,
yakni kita tidak mengaku bahawa orang yang menipu
itu dari umatnya "
Saudara
kaum muslimin yang dikasihi,
Terdapat
sesetengah peniaga Islam yang mengurangkan timbangan
atau sukatan. Baginda Rasulullah s.a.w. menasihatkan
peniaga ini supaya sentiasa bersikap jujur di
dalam timbangan sebagaimana hadis baginda yang
bermaksud : " Timbang dan lebihkan timbangan
kamu ". Kerana balasan kepada peniaga yang
sengaja mengurangkan timbangan atau sukatan dijelaskan
oleh Allah dalam surah Al-Mutaffifin ayat 1-3
Maksudnya
: " Ada suatu sungai di dalam neraka jahannam
itu disediakan bagi orang yang hina, yang apabila
mereka menyukat atau menimbang akan sesuatu yang
mereka jual maka akan mengurangkan sukatan atau
timbangan tetapi apabila membeli barangan dari
orang lain mereka akan melebihkan sukatan atau
timbangan untung mereka "
Oleh
itu saya menyeru kepada peniaga-peniaga Islam
agar segera sedar dan insaf serta muhasabah diri
adakah selama ini tuan-tuan ada melakukan sifat-sifat
terkutuk itu. Sekiranya tidak teruskanlah perniagaan
tuan, semoga diberkati Allah. Tetapi sekiranya
tuan-tuan ada melakukannya maka bersegeralah berhenti,
bertaubatlah kepada Allah kerana kita tidak mahu,
selain daripada dosa, darah daging yang terjadi
daripada hasil yang haram akan dibakar oleh api
neraka. Sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud
: " Mana-mana daging kita yang dari hasil yang
haram, maka api neraka lebih utama akan menjilatnya
" kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kemewahan
yang kita nikmati melalui hasil perniagaan yang
haram itu seperti membeli pakaian, tempat tinggal,
kenderaan dan sebagainya akan memberi keburukan
kepada kita semasa di dunia lagi,
Kaum
muslimin yang diberkati Allah,
Oleh
itu untuk mendapatkan rezeki yang halal melalui
perniagaan, setiap peniaga mestilah mengamalkan
ciri-ciri murni ketika berniaga seperti jujur,
menjual barang-barang yang halal, tidak menipu
dacing dan lain-lain. Kerana apa yang kita mahukan
ialah keberkatan dari Allah. Apa gunanya kita
digelar ahli perniagaan yang ternama, orang kaya,
ahli koprat yang terkenal, jutawan, tetapi hasil
yang kita perolehi melalui cara yang haram. Untuk
menambahkan lagi keberkatan harta perniagaan kita,
maka adalah lebih afdal sekiranya harta tersebut
dikeluarkan zakat, berderma dan bersedeqah kepada
orang-orang susah, anak-anak yatim atau sebagainya.
Kaum
muslimin yang dikasihi Allah,
Agama
Islam memang menggalakkan umatnya melibatkan diri
di dalam bidang perniagaan yang halal. Kerana
melalui perniagaan yang halal, hasil yang kita
perolehi akan bertambah sebagaimana sabda Rasulullah
yang bermaksud : " 90 % rezeki yang Allah berikan
kepada manusia di dunia ini, adalah melalui
perniagaan ". Manakala dalam Al-Quranulkarim
Allah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 88
yang bermaksud : " Dan makanlah dari rezeki
yang telah diberikan Allah kepada kamu iaitu yang
halal lagi baik, dan bertaqwalah kepadanya, Allah
yang kepadanya sahaja kamu beriman ".