TARIKH
BACAAN : 23 SYAWAL 1421H / 19 JANUARI 2001M
TAJUK
: CIRI-CIRI MENDAPAT HAJI MABRUR
Tuan-tuan
yang berbahagia,
Ibadat
haji adalah rukun Islam terakhir yang diperintahkan
Allah dan rasulnya ke atas setiap muslim dan muslimat
yang telah mencukupi syarat-syarat dan rukunnya
dengan sempurna. Ibadat ini diwajibkan pada tahun
ke-5 Hijrah. Haji dan Umrah ini terkenal sebagai
ibadat yang tertua dan teragung, kerana kedua-duanya
bukan sahaja difardukan ke atas umat nabi Muhammad
tetapi juga ke atas nabi-nabi sebelumnya. Kerana
inilah segala kerja-kerja yang dilakukan oleh
pekerja-pekerja haji adalah sama dan menuju prinsip
perpaduan umat manusia seluruhnya.
Perintah
Allah ta’ala yang mewajibkan umat Islam
mengerjakan haji dan umrah termaktub dalam surah
Al-Imran ayat 97 :
Yang
bermaksud : ‘ …Dan Allah mewajibkan
manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullahulharam
iaitu ke atas mereka yang berkemampuan dan sesiapa
yang kufur yakni mengingkari kewajipannya maka
sesungguhnya Allah maha kaya dari segala makhluknya
‘ disamping itu Rasulullah bersabda yang
bermaksud : ‘ Mereka yang telah mempunyai
bekalan dan kenderaan untuk pergi ke Baitullah,
tetapi tidak berbuat demikian maka tiada halangan
kepadanya mati sebagai Yahudi atau Nasrani’
.
Hadirin
dan jemaah terhormat,
Dua
dalil Al-Quran dan hadis nabi di atas dengan tegas
mewajibkan setiap muslim yang balig, berakal dan
berkemampuan menunaikan ibadat haji tanpa berlengah-lengah
dan tidak mencari-cari alasan untuk melambat-lambatkan
pemergiannya. Dalam pada itu, semua orang yang
mengerjakan ibadat haji dan umrah hendaklah mengerjakannya
dengan mengikuti segala peraturannya, adab-adab
dan mengerjakan rukun dan sunnah –sunnahnya
dengan sempurna serta menjauhi segala tekanan
atau pantang-larang ketika berihram dengan sabar
dan tidak melakukan kerja-kerja keji yang boleh
merosakkan ibadah hajinya. Dengan cara ini diharapkan
haji yang dibuatnya berjalan dengan baik, dan
mendapat tarap sebagai ‘ haji mabrur ‘
yang balasannya tidak lain dari syirik seperti
yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. yang bererti
: ‘ Haji mabrur balasannya tidak lain dari
syurga.
Para
fukaha’ menerangkan terdapat beberapa cara
untuk mendapatkan haji yang mabrur :
Pertama,
sebelum bertolak ke tanah suci Makkatul Mukarramah
terlebih dahulu hendaklah pekerja haji itu membersihkan
dirinya dari dosa itu atau maksiat-maksiat dan
kemungkaran dengan bertaubat nasuha.
Kedua,
wang atau perbelanjaan yang digunakan pergi hendaklah
dari sumber pendapatan yang benar-benar bersih
dan halal mengikut pandangan syarak. Bukannya
wang yang didapati dari jalan-jalan yang haram
atau shubhah. Ini disebabkan ibadah yang dijalankan
melalui jalan yang haram tidak diterima Allah.
Nabi s.a.w. menegaskan dalam hadisnya, yang bermaksud
: ‘ Sesungguhnya Allah itu bersih maka ia
tidak menerima kecuali yang bersih juga ‘.
Ketiga,
ibadah haji dan umrah itu dikerjakan dengan hati
yang benar-benar takwa dan ikhlas kerana Allah,
tidak dipengaruhi sifat-sifat riak, ujub dan takbur
atau kerana mendapatkan sanjungan manusia. Sabda
Rasulullah s.a.w. yang bererti : ‘ Amalan–amalan
itu bergantung kepada niat ‘. Hadis ini
membawa maksud jika amalan itu dilakukan kerana
Allah maka ia mendapat balasannya dari Allah tetapi
jika dilakukan kerana yang lain seperti ingin
mendapat sanjungan dari masyarakat maka ia hanya
mendapat pujian dari masyarakatnya sahaja dan
tidak beroleh apa-apa pahala dari Allah.
Keempat,
sebelum pergi ke Mekah hendaklah dia menyediakan
dirinya dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya
mengenai cara-cara mengerjakan haji samada rukun-rukunnya,
wajib-wajibnya, sunat-sunat dan perkara lain yang
berkaitan dengan haji. Pekerja-pekerja haji sepatutnya
tidak menyediakan wang atau bekalan makanan sahaja
tetapi mestilah menyediakan bekalan ilmu yang
mendalam, hati yang bersih serta takwa yang tinggi.
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 197 :
Maksudnya
: ‘…Carilah oleh kamu akan bekalan-bekalan
tetapi sebaik-baik bekalan ialah takwa kepada
Allah…’
Kelima,
segala hutang kepada Allah seperti hutang solat,
hutang puasa dan lain-lain, hendaklah dijelaskan
terlebih dahulu. Begitu juga dengan hutangnya
atau pinjamannya kepada manusia dan janji-janji
yang dibuat mestilah diselesaikan sebelum bertolak
ke tanah suci.
Keenam,
memohon doa restu dan kemaafan dari ibu-bapa,
sanak-saudara dan kaum keluarganya.
Ketujuh,
tidak melakukan kerja-kerja yang dilarang semasa
mengerjakan haji, tetapi hendaklah menjalaninya
dengan tertib, berakhlak dan bersabar serta bertimbang
rasa dengan kesusahan yang dihadapi jemaah yang
lain. Semua kerja yang boleh menjejaskan pahala
haji seperti bertengkar, bergaduh dan kata mengata
hendaklah dihindarkan.