|
RASULULLAH (SAW) berusia 40 tahun apabila
malaikat Jibrail (as) melawat baginda ketika baginda sedang
berkhalwat di Gua Hira. Jibrail memberitahu Nabi Muhammad,
baginda diangkat oleh Allah SWT sebagai rasul untuk seluruh
umat manusia.
Pada peringkat awal, Rasulullah hanya
memperkenalkan Islam kepada sahabat terdekat dan ahli keluarga
baginda. Apabila baginda menerima perintah daripada Allah
SWT supaya berdakwah secara terbuka, baginda segera akur.
Baginda mengumpul beberapa pengikut
di Makkah. Begitupun, kumpulan kecil Muslim itu terdedah kepada
maut berikutan ancaman daripada kaum kafir, terutama bangsa
Quraish, yang menyeksa mereka dengan teruk.
Bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah
SAW mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara
senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali sebagai Yathrib).
Mereka meninggalkan keluarga yang kafir dan harta benda dan
disambut dengan mesra oleh penduduk Madinah. Satu hari pada
tahun 622M, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di
Makkah, Rasulullah SAW diberitahu kaum kafirun Makkah merancang
membunuh baginda untuk memusnahkan Islam.
Rasulullah menunggu perintah daripada
Allah SWT. Malaikat Jibrail (as) menemui baginda untuk memberitahunya
Allah SWT mengarahkan baginda supaya meninggalkan Madinah
pada waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui sahabat baiknya
Abu Bakar as-Siddiq (ra) dan memintanya supaya menemani baginda
dalam perjalanan itu.
Rasulullah juga memberitahu rancangan
baginda kepada Ali bin Abi Talib (ra). Baginda memberitahunya:
"Saya akan berhijrah tetapi anda perlu mengambil tempat saya
di rumah." Ali (ra) tanpa banyak soal menuruti permintaan
Rasulullah (SAW) walaupun menyedari bahaya bakal dihadapinya.
Malam itu, sekumpulan Quraish mengepung rumah Rasulullah (SAW).
Mengintai melalui lubang di pintu,
mereka nampak seseorang sedang tidur di atas katil Rasulullah
(SAW). Mereka begitu yakin Rasulullah tidak dapat melepaskan
diri dan mereka pasti dapat membunuh baginda. Apabila fajar
menjelang, mereka terperanjat melihat Ali (as) dan bukannya
Rasulullah (SAW) bangun dari katil itu.
Mereka terpinga-pinga memikirkan bila
Rasulullah (SAW) keluar dari rumah itu. Rasulullah (SAW) dan
Abu Bakr (as) keluar dari Makkah pada malam itu juga. Tiada
siapa mengetahui arah tujuan mereka dan tiada siapa tahu tempat
persembunyian mereka kecuali Abdullah dan anak-anak Abu Bakr,
Aishah dan Asma, serta orang gaji mereka, Abdullah.
Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr bersembunyi
dalam sebuah gua di Gunung Thaur. Selama tiga hari mereka
berada dalam gua itu. Apabila kaum Quraish menghampiri gua
itu untuk mencari Rasulullah (SAW) tetapi mereka tidak memasukinya.
Mereka yakin Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) tidak berada
di dalam kerana mulut gua itu dilitupi oleh benang sarang
labah-labah dan sepasang burung merpati.
Allah SWT membantu dua insan ini, melindungi
mereka daripada bahaya. Kumpulan Quraish kemudian meninggalkan
gua itu dan bersetuju untuk pulang ke Makkah. Yakin musuh
sudah beredar, Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) meneruskan
perjalanan dengan menaiki unta dibawa oleh orang gaji mereka,
Abdullah.
Ketiga-tiga mereka menggunakan laluan
tidak diketahui ramai untuk ke Madinah bagi mengelakkan kumpulan
pemburu Quraish. Mereka meredah gunung, bukit dan gurun di
bawah perit matahari tetapi mereka tidak pernah berputus asa.
Mereka meletakkan segala kepercayaan kepada Allah SWT. Sementara
itu, kaum Quraish di Makkah semakin marah dengan kehilangan
Rasulullah (SAW). Mereka menawarkan hadih kepada sesiapa yang
dapat menangkap Rasulullah (SAW).
Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya
gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah SWT, Rasulullah
(SAW) dan sahabatnya tiba perkampungan kaum Bani Sabin yang
menyambut mereka dengan gembira. Setelah sekian lama, Rasulullah
(SAW) dan sahabatnya akhir merasakan kehadiran harapan untuk
masa depan. Ketika Rasulullah (SAW) dan sahabatnya dalam perjalanan,
penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini
mendengar berita mengenai kedatangan pemimpin mereka itu.
Malah penduduk Madinah yang baru memeluk
Islam juga gembira dapat bertemu Rasulullah (SAW). Jelaslah,
sebelum tibanya Rasulullah di Madinah, Islam semakin kukuh
di tempat baru itu, sesuatu yang tidak berlaku ketika berada
di Makkah. Maka pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 20
September 622M, Rasulullah (SAW) akhirnya tiba di Quba, sempadan
Madinah dan benar-benar masuk ke Kota Madinah pada 12 Rabiulawal,
hari Jumaat dan mendirikan solat Jumaat yang pertama di Kampung
Bani Amar. Kaum Muslimin semua keluar untuk menyambut baginda.
Bertitik tolak dari itu, Rasulullah
(SAW) mula membina sebuah negara Islam yang megah. Baginda
memupukkan persaudaraan di kalangan umat Muslim dan menyeru
mereka supaya menegakkan yang hak dan mengikut segala perintah
Allah SWT.
Kesan daripada penghijrahan Rasulullah
(SAW) dari Makkah ke Madinah adalah satu catatan penting sehingga
umat Islam menjadikan tahun peristiwa bersejarah ini sebagai
tahun permulaan kalendar Islam.
|