|
Permulaan penggunaan Kalendar Tahun
Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin
yang kedua iaitu Saiyidina Umar Al-Khattab radhiyallahu `anhu.
Ini adalah turutan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah
naungan Islam pada zamannya.
Ada satu riwayat lain yang mengatakan
bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat
kepada Saidina Umar r.a minta beliau menjelaskan tentang tahun
bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya.
Maka dengan ini beliau (Umar r.a) mahukan satu kalendar /
taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar
yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab
dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.
Di kalangan bangsa Arab sendiripun
ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar
Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar
lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah.
Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa
paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan
asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim
Islam.
Peristiwa tersebut adalah peristiwa
hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah
kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada
RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan
Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat
berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari
pilihan Umar itu.
Di antara kejayaan besar Islam waktu
itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitul Muqaddis
dibebaskan dari Rom dan Masjidil Aqsa dibangunkan. Setelah
Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar
Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih
baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun
Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.
Sumber :
Mohd Fauzi Ismail, Unit Sumber Maklumat JMM
|