ARTIKEL
PILIHAN
Rukyah
dan Hisab penentu Syawal
Kassim Bahali
Persatuan Falak Syar'i Malaysia
Tidak
berapa hari lagi umat Islam akan menyambut hari lebaran setelah
sebulan menyempurnakan ibadat puasa. Umat Islam seluruh dunia
bergembira menyambut kedatangan 1 Syawal. Telah menjadi amalan
di Malaysia bagi menentukan 1 Syawal dan Ramadhan berdasarkan
Rukyah dan hisab. Di setengah negara penentuan tarikh tersebut
berdasarkan kepada Rukyah sahaja dan ada negara yang hanya berdasarkan
hisab sahaja.
Rukyah
(perkataan Arab) bermaksud penglihatan dan hisab bermaksud hitungan
atau kiraan. Hilal menjadi tanda penentu kepada tarikh-tarikh
tersebut dan awal bulan hijrah yang lain. Hal ini berdasarkan
kepada maksud firman Allah di dalam Al Quraan
ÈMereka
bertanya kepada engkau dari hal hilal Katakanlah hilal itu adalah
tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadat) hajið Al
Baqarah: 189
Penentuan awal bulan secara tradisinya adalah seperti yang
ditunjukkan oleh sunnah Rasulullah s.a.w iaitu dengan cara rukyah
hilal.Pekara ini juga ada dijelaskan di dalam hadis iaitu apabila
umat Islam hendak menentukan awal Ramadhan seperti hadis yang
bermaksud;
È Berpuasalah kamu kerana melihat hilal dan berbukalah
kamu kerana melihat hilal. Bila hilal tetutup atasmu, maka sempurnakanlah
bilangan Syaban tiga puluh harið
(Bukhari dan Muslim)
Di
dalam taqwim Islam jumlah hari ialah 29 atau 30 hari dan untuk
menentukannya dengan melihat hilal. Hal ini dinyatakan di dalam
hadis yang bermaksud
"
Hanya sesungguhnya bulan (Islam) bilangannya dua puluh sembilan
hari, oleh itu janganlah berpuasa sehingga kamu melihat hilal
dan jangan kamu berbuka sehingga kamu melihatnya sekiranya dilindungi
ke atas kamu (oleh awan dsb) maka hitunglah atau kirakanlah dia"
(Bukhari dan Imam Ahmad)
Berdasarkan
hadis di atas untuk menentukan awal bulan dengan melihat hilal
pada hari ke29. Jika hilal kelihatan bermulalah 1 haribulan pada
maghrib tersebut dan jika tidak kelihatan esok digenapkan menjadi
30 haribulan. Sebagai contoh sekiranya hilal kelihatan pada petang
Isnin 29 Ramadhan (25 Disember 2000) maka maghrib itu sudah dikira
masuk 1 syawal dan bertakbirlah umat Islam pada malam itu menyambut
kedatangan Syawal. Sebaliknya jika hilal tidak kelihatan maka
hari selasa digenapkan menjadi 30 Ramadhan dan 1 Syawal jatuh
pada Rabu 27 Disember 2000.
Bila
waktu rukyah dilakukan? Rukyah dilakukan pada petang hari ke29
bulan hijrah selepas matahari ghurub (terbenam). Ini kerana bermulanya
hari dalam taqwim Islam selepas matahari ghurub iaitu masuknya
waktu maghrib.
Apakah
hilal? Hilal ialah fasa bulan yang boleh dilihat selepas ijtimak.
Ia merupakan sebahagian kecil dari permukaan bulan yang menerima
cahaya matahari dan kelihatan seperti satu lengkuk cahaya halus
seperti sabit.
Bulan
beredar mengelilingi bumi dan bumi mengelilingi matahari. Semasa
bulan mengelilingi bumi di dalam orbitnya, ia akan sampai kepada
satu kedudukan di mana matahari, bulan dan bumi berada dalam satu
garis (meridian) dan kedudukan ini dinamakan Ijtimak.
Akibat
dari edaran bulan mengelilingi bumi bahagian muka bulan yang menerima
cahaya dari matahari kelihatan berubah dari hari ke hari dari
bentuk sabit halus bertambah menjadi lebih besar hingga menjadi
purnama dan mengecil semula dan menjadi seperti sabit halus. Perubahan
bentuk bulan ini dinamakan fasa. Semasa bulan mengelilingi
bumi ia mengalami fasa-fasa yang tertentu bermula dari fasa hilal.
Dalam
rajah 1 di atas menunjukkan fasa-fasa bulan. Kedudukan 1 merupakan
kedudukan awal bulan dan fasa ini dinamakan fasa bulan baru (new
moon) atau Ijtimak. Kedudukan ini dikira sebagai titik mula pergerakan
bulan beredar mengelilingi bumi. Dari kedudukan 1 bulan bergerak
ke kedudukan 2(fasa suku awal), ke 3(fasa purnama) , ke 4 (fasa
suku akhir) dan akhirnya kembali semula pada kedudukan 1. Pada
setiap kedudukan bulan bulan mempunyai fasa yang berlainan. Pada
ketika Ijtimak, bulan betul-betul berada di antara bumi dan matahari.
Ketika ini bulan tidak dapat dilihat oleh penduduk di bumi kerana
bahagian gelap bulan menghadap bumi. Apabila bulan beredar sedikit
ke kedudukan 1a, sebahagian kecil permukaan bulan yang menerima
cahaya matahari akan dapat dilihat bentuknya seperti lengkuk cahaya
yang sangat halus. Inilah yang dinamakan hilal.
Bagaimana
dan di mana hendak melihat hilal? Hilal boleh dilihat dengan mata
kasar tetapi dalam keadaan yang tertentu memerlukan alat seperti
binokular atau teleskop. Melihat hilal mestilah di ufuk barat
kerana ia dilihat ketika matahari terbenam. Keadaan ufuk samada
ufuk laut atau darat mestilah tiada apa-apa halangan yang boleh
menghalang kenampakan hilal seperti pulau, pokok, bukit dan sebagainya.
Ini kerana altitud (ketinggian) hilal ketika matahari ghurub kurang
dari 12 darjah. Kenampakan hilal bergantung kepada banyak faktor
diantaranya keadaan ufuk dan cuaca seperti wap air, debu, awan
dan hujan. Kedudukan hilal samada di atas sebelah kanan atau kiri
matahari. Jika hilal berada di sebelah bawah matahari maka ia
tidak akan dapat dilihat kerana ia akan terbenam lebih awal dari
matahari.
Lamanya
hilal boleh dilihat di atas ufuk bergantung kepada beza masa terbenam
diantara matahari dengan bulan.Jika matahari terbenam jam 19:00
dan bulan 19:37 maka hilal berada selama 37 minit di atas ufuk
dan dalam tempoh ini hilal boleh dilihat. Walau bagaimana pun
keadaan ini bergantung kepada keadaan cuaca mungkin dalam tempoh
tersebut hilal hanya boleh dilihat beberapa minit sahaja.
Bagaimana
1 Syawal 1421H? Hari rukyah pada Isnin 29 Ramadhan bersamaan 25
Disember 2000. Pada petang tersebut matahari akan terbenam jam
19:15 di Tg. Cincin Langkawi, lokasi cerapan hilal yang paling
barat di Malaysia dan bulan terbenam 18:58. Ini bermakna bulan
terbenam lebih awal dari matahari.
Dari
segi hisab, pada tarikh tersebut Ijtimak masih belum berlaku.
Ijtimak berlaku pada 26 Disember jam 01:22. Oleh kerana bulan
terbenam lebih dahulu dari matahari dan Ijtimak belum berlaku
maka hilal tidak akan kelihatan pada petang Isnin tersebut maka
Ramadhan akan digenapkan menjadi 30 hari dan 1 syawal 1421H akan
jatuh pada hari Rabu 27 Disember 2000.