| Seperti
kelaziman tahunan, umat Islam di Malaysia akan menyambut hari
sempena keputraan Rasulullah saw pada 12 Rabiulawal setiap
tahun.Umat Islam di Malaysia akan mengadakan berbagai aktiviti
dalam acara sambutan Maulidur Rasul. Kerajaan Malaysia mengisyhtiharkan
12 Rabiulawal setiap tahun adalah cuti umum. Diantara acara-acara
dalam sambutan Maulidur Rasul ialah Perarakan, Syarahan, Forum,
Marhaban dan Jamuan di peringkat kampung sehinggalah ke peringkat
kebangsaan.
Dalam
menentukan tarikh kelahiran Rasulullah saw, ahli-ahli sejarah
Islam berbeza pendapat. Pendapat pertama dan masyhur ialah
Rasulullah saw lahir pada malam Isnin 12 Rabiulawal dalam
Tahun Gajah sebelum subuh. Ini adalah pendapat Ibnu Ishaq
yang dipetik oleh Ibnu Hisham dalam kitabnya yang terkenal,
Sirah Ibnu Hisham. Dan pendapat yang kedua ialah pendapat
yang mengatakan bahawa Rasulullah saw memang lahir pada malam
Isnin, sebelum subuh Rabiulawal tahun Gajah tapi tarikh sebenarnya
ialah pada 9 haribulan.
Diantara
tokoh ulamak-ulamak yang sependapat mengatakan Rasulullah
saw lahir pada 9 Rabiulawal ialah Yunus bin Yazid, Ibnu Hazam,
Muhammad bin Musa Al-Khawarizmi dan Ibnu Taimiyyah. Dan diantara
tokoh-tokoh falak moden yang membuat kajian semula tentang
perbezaan pendapat ini ialah Mahmud Pasya seorang ahli falak
Mesir dan Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, Persatuan Falak Syarie
Malaysia. Mereka menyatakan bahawa Rasulullah saw lahir pada
9 Rabiulawal. Ini adalah berdasarkan kepada Taqwim Qamariah
tulen tanpa Nasi' dan dikebelakangkan 53 tahun dari tahun
pertama Hijrah.
Didapati bulan kelahiran Rasulullah saw iaitu bulan Rabiulawal
jatuh pada bulan April 571 M. Berdasarkan hitungan, Ijtimak
berlaku pada 10 April 571M pada 8;21 UT. Menurut kaedah kebolehnampakan
hilal, 1 Rabiulawal jatuh pada hari Ahad, 12 April 571M dan
hari Isnin yang bertepatan adalah 9 Rabiulawal manakala 12
Rabiulawal jatuh pada hari Rabu.
 |
| Rasulullah
s.a.w. telah dilahirkan di sini. |
Dalil
seterusnya yang mengatakan bahawa Rasulullah lahir pada 9
Rabiulawal ialah pada Isnin 9 Rabiulawal (20 April), fasa
bulan adalah 64.4% dan bulan ghurub pada pukul 2:26 pagi.
Apabila bulan ghurub awal maka langit ketika itu kelihatan
cerah dengan bintang-bintang yang dapat dilihat lebih banyak
kerana tiada gangguan cahaya bulan. Ini bertepatan dengan
kisah kelahiran sewaktu dilahirkan Rasulullah saw bahawa sebelum
subuh, langit adalah kelihatan sangat cerah dengan cahaya
bintang-bintang yang bertaburan. Walau bagaimanapun, itu adalah
pendapat individu tertentu dengan pengkajian mereka.
Moga
ada pihak lain yang dapat membuat kajian lebih lanjut dalam
menetapkan tarikh kelahiran Rasulullah saw. Kajian-kajian
lanjut itu sebenarnya akan lebih memajukan lagi perkembangan
ilmu Sejarah dan Falak. Malah tarikh-tarikh peristiwa penting
Islam yang lain juga wajar dibuat hitungan semula. Kita umat
Islam di alaf baru sekarang telah banyak melahirkan ahli-ahli
Sejarah Moden, Falak / Astronomi dan ahli-ahli Sains yang
lain yang pastinya akan mengembang dan menyumbang kepada penguasaan
ilmu pengetahuan kepada pembangunan ummah, InsyaAllah.
Objektif
diadakan sambutan Maulidur Rasul ialah untuk mengembalikan
ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar kita
Muhammad Rasulullah saw. Dengan mengingatinya akan menambahkan
lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai
serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya. Walaupun
sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia
adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan, InsyaAllah. |