|
KELEBIHAN
DAN CARA MENCAPAI KESEMPURNAAN PUASA
Kelebihan Bulan Ramadhan.
Bulan
Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar
martabatnya di sisi Allah s.w.t. dan RasulNya, ia juga penghulu
segala bulan.
Di
antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah
s.w.t telah menurunkan kitab suciNya (Al-Quran) yang menjadi
petunjuk pada manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"(Masa
yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan
yang padanya diturunkan kitab sucinya (Al-Quran) yang menjadi
petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan
yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan yang
benar dengan yang salah." Surah
Al-Baqarah : 185.
Di
pilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam
Lailatulqadar yang mana ia jauh lebih baik daripada seribu
bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun.. Menurut ulama
Lailatulqadar itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang
terakhir daripada bulan Ramadhan. Sayugia diingatkan bahawa
jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan dengan
perkara-perkara tidak berfaedah, bahkan hendaklah diisi
dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan
akhirat.
Kelebihan
Puasa di Bulan Ramadhan.
Apabila
membincangkan mengenai bulan Ramadhan, dengan sendirinya
ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan
didalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan.
Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa,
bukan sahaja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus
dalam apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun
orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup. Ini jelas
sebagaimana sambda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
"Sesiapa
berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah
(keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan
dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu,
sekalipun dia berpuasa seumur hidup."
Hadis
riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu
Khuzaimah)
Menuju
Kesempurnaan Ibadah Puasa
Imam
Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah
puasa itu, antara lain seperti berikut:
- Memejamkan
mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada
segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan
juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati,
serta melalaikannya daripada mengingati Allah s.w.t.
- Memelihara
lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat,
membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan
dan mengucapkan kata-kata ria'.
- Memelihara
pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan
dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula
didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah s.w.t. telah
menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan
memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam
firman-Nya yang bermaksud: "Mereka sangat suka
mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang
haram."
(Surah Al-Maidah:42)
- Memelihara
seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat
dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci.
Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah
waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada
memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula,
dia memakan makanan yang haram.
- Janganlah
membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada
makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang,
kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah s.w.t.
daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.
|