|
KEISTIMEWAAN MALAM
LAILATUL QADAR
|
|
Allah Ta'ala telah
berfirman di dalam surah Al-Qadr yang bermaksud:
"Sesungguhnya
kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam al-Qadr
dan apakah jalan yang menyebabkan engkau mengerti
(kebesaran) lailatul qadar itu? Lailatul qadar itu
lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu para
malaikat dan Jibril turun dengan keizinan tuhan mereka
(Allah), untuk setiap urusan. Sejahteralah malam ini
hingga terbit fajar".
Kebanyakan ulama' Islam menegaskan
bahawa kemungkinan berlakunya lailatul qadar adalah
pada salah satu daripada malam kesepuluh terakhir
sama ada malam ganjil ataupun malam genap.
Yang tetap berlakunya malam lailatul
qadar adalah didalam pengetahuan Allah jua.
Sesiapa sahaja yang beribadah di
malam hari bulan ramadhan, jika kebetulan dengan malam
lailatul qadar, maka dikurniakan ganjaran pahala melebihi
ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka yang
beribadah selama seribu bulan atau selama 83 tahun
4 bulan berbanding dengan malam yang lain-lain.
Rasulullah s.a.w. sendiri amat
bersungguh-sungguh menghidupkan sepuluh malam terakhir
daripada bulan ramadhan bersama-sama ahli keluarganya
dengna beribadah, bertadharu', beristighfar dan bermunajat
kehadrat Allah, memohon rahmat, keampunan dan keredhaanNya.
Walaupun Rasulullah s.a.w. seorang
yang maksum, dijamin terpelihara daripada dosa dan
noda bahkan dijamin syurga, namun baginda tetap berjaga
malam untuk qiamullail, menahan diri daripada tidur
kecuali untuk seketika sahaja. Orang
yang tekun beribadah pada 10 malam yang terakhir daripada
bulan ramadhan akan mendapat rahmat yang dijanjikan
sama ada dapat atau tidak menemui apa-apa tanda. Kerana
yang penting adalah sepertimana yang tersebut dalam
hadis sohih riwayat Bukhari dan Muslim iaitu:
- Menghayati malam tersebut dengan
ibadah
- Beriman dengan yakin bahawa malam
lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya
dengan amal ibadah.
- Amal ibadah itu dikerjakan kerana
Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.
Selain tanda-tanda
tersebut, para alim ulama' menyebut bahawa beberapa
tanda-tanda lain bila berlaku malam lailatul qadar.
Antaranya ialah :
- Ada yang berkata
orang yang menemui malam lailatul qadar akan melihat
nur yang terang benderang disegenap tempat hingga
keseluruhan ceruk yang gelap gelita.
- Ada pula menyatakan
bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang
lain daripada malaikat.
- Ada juga yang melihat segala
benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
- Ada yang berkata doa permohonannya
makbul.
* Imam Tabari pula menegaskan bahawa
semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya seseorang
itu dapat melihat atau mendengar kerana tidak disyaratkan
melihat atau mendengar sesuatu untuk menemui malam lailatul
qadar.
|