Sebelum turunnya Al-Quran manusia
(khususnya di Benua Arab) secara amnya hidup di
dalam kepelbagaian ragam kepercayaan, kebudayaan
dan etika. Dan kemudian Al-Quran diturunkan dengan
membawa rahmat perubahan.
Antaranya ialah:
1. Bidang Akidah: Melalui pernyataan
yang dibawa oleh Al-Quran tentang tuhan itu Esa
dan Tunggal, maka kepercayaan bertuhan banyak (politheisme)
menjadi gugur (tidak diakui oleh Islam). Sebab tidak
ada tuhan selain Allah SWT, dan Dialah Yang Maha
Pencipta alam semesta ini. Kepercayaan seperti ini
dinamakan tauhid.
2. Bidang Ibadah: Al-Quran datang
dengan petunjuk bahawa yang berhak untuk disembah
hanyalah Allah SWT. Dia Yang Tunggal, pencipta manusia
dan alam semesta. Al-Quran dengan petunjuk yang
demikian, melarang keras beribadah kepada patung,
berhala, matahari, bulan atau selain Allah SWT.
Sebab, tidak ada sekutu bagiNya.
3. Bidang Akhlak: Al-Quran memberi
petunjuk dan garis pemisah tentang kriteria antara
akhlak yang baik dan terpuji dengan akhlak yang
buruk dan tercela. Masalah-masalah pembunuhan, perzinaan,
perjudian, pencurian dan merampas harta orang lain,
tidaklah masuk dalam wawasan akhlak, justeru masalah-masalah
tersebut termasuk kedalam tindakan jenayah dan pembuatnya
wajib dijatuhkan hukuman.
4. Bidang Siyasah (Politik): Al-Quran
dan sunnah Rasul (Al Hadits) tidak mengakui kedaulatan
umat atau penguasa. Kedaulatan menurut kedua sumber
tersebut dan sumber lain yang diakui kaum muslimin
adalah milik Allah dan RasulNya. Hanya 'kekuasaan
pemerintahan' sajalah yang dimiliki umat. Dan di
dalam Islam tidak diakui (tidak ada) 'Sistem Kerajaan'
atau Aristokrasi. Pemerintahan Islam adalah 'Negara
Kesatuan', bukan 'Negara Bahagian'. Inilah salah
satu contoh yang pernah terjadi dahulu semasa kekhilafahan
masih berlaku, dan ia bukan sekadar perbandingan
teoritis tetapi merupakan sebuah peraturan yang
terbukti di dalam kenyataan kehidupan.
5. Bidang Ekonomi: Al-Quran (dan Sunnah
Rasul) telah memberikan batasan pemilikan bagi individu,
masyarakat dan negara. Telah ditentukan apa yang
boleh dimiliki oleh individu dan apa yang tidak.
Juga telah ditentukan tentang pemilikan sesuatu
(benda) yang bersifat umum, tidak boleh dimiliki
oleh per individu, seperti laut, sungai dan lain-lain.
Peraturan yang terdapat pada Al-Quran
(dan Sunnah Rasul) memberikan petunjuk pelaksanaan
tentang jaminan pemenuhan keperluan asas setiap
individu menurut kadar dan dalam keadaan seadil-adilnya.