Terdapat dua pendapat mengikut
ahli sejarah, termasuk pendapat para ahli hadis,
tentang Al-Quran yang diturunkan (diwahyukan)
kepada Nabi Muhammad saw.
Pendapat pertama menyatakan bahawa
Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal
17 Ramadhan, 13 tahun sebelum hijrah (6 Ogos
610 M). Pendapat kedua pula menyatakan bahawa
Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin,
tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat
yang pertama adalah berdasarkan ayat 41 dari
Surah Al-Anfaal, manakala pendapat kedua dasarnya
adalah ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah
Ad-Dukhan.
Walaupun tradisi Nuzul Al-Quran
telah lazim diperingati pada tanggal 17 Ramadhan,
namun sesungguhnya pendapat kedua adalah lebih
kuat dan lebih mungkin benarnya. Ini adalah
kerana malam Lailatul Qadar yang dipercayai
sebagai malam turunnya Al-Quran bukanlah terjadi
pada tanggal 17 Ramadhan.
Adapun dalam firman Allah SWT
pada ayat 41 surah Al-Anfaal, yaitu: "…jika
kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami
turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw)
pada hari Furqan,iaitu di hari bertemunya dua
pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan
kafirin)…" (TTQ 8 : 41) Ayat tersebut tidak
ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.
Tetapi sebenarnya ayat tersebut
merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian
harta rampasan perang (seperti yang terdapat
pada awal ayat tersebut). " Ketahuilah sesungguhnya
apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan
perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah,
RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak
yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang
yang sedang dalam perjalanan)…" (TTQ 8 : 41).
Dan apabila diteliti dengan lebih
lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis
tentang turunnya Al-Quran, iaitu pada Lailatul-Qadar
dan kelahiran Rasullullah pada hari Isnin serta
pada catatan-catatan waktu di dalam takwim,
maka akan diperolehi kesimpulan yang lebih tepat,
iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam
21 bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasullulah
saw berhijrah ke Madinah.
Menurut para mufassirin, Al-Quran
yang diturunkan pada malam "Lailatul Qadar"
sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran
yang turun sekaligus di "Baitul Izzah" di langit
dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke
bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu
terjadi secara beransur-ansur selama sekitar
23 tahun.
Adapun ayat-ayat yang pertama
diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad
saw adalah ayat 1-5 surah Al-'Alaq.
Dan peristiwa ini terjadi ketika
nabi saw sedang bertahannus (menyendiri) di
Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir
sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu
ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.