Tiada
amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah
SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis shahih. Penulis
berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah SAW
dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya
peristiwa Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya
menetapkan ibadat-ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya
pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj
itu.
Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan
(bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu
bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang
amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab,
puasa Rejab dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandar
kepada hadis-hadis lemah.
Terlalu
banyak amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum
berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan
di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan
al-Mubarak. Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa
Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi.
Di sini penulis ingin menyarankan agar pada akhir bulan
Jamadilakhir khasnya pada 29 Jamadilakhir, kita bolehlah
melatih mata kita untuk menjejaki hilal. Proses melatih
mata untuk merukyah hilal boleh dimulakan 20 minit sebelum
Maghrib sehinggalah 20 minit selepas maghrib dengan memerhatikan
ufuk Barat sekitar tempat matahari terbenam.
Ini
boleh dilakukan dengan mata kasar tanpa menggunakan sebarang
alat kecuali untuk melihat matahari perlukan penapis (solar
filter). Bagi mereka yang mempunyai teleskop atau teodolite
ataupun binocular, inilah masanya untuk menguji peralatan
dan kemahiran masing-masing agar pada hari cerapan hilal
Sya'ban, Ramadhan dan Syawal kita tidak menghadapi masaalah
dalam melakukan cerapan hilal.
Dan
sebenarnya Rasulullah SAW sendiri amat mengambil berat tentang
kedudukan bulan pada setiap akhir bulan khasnya apabila
menjelangnya bulan Rejab dan bulan-bulan seterusnya.