|
Walaupun sudah semakin kurang namun masih ada segelintir di
kalangan masyarakat kita yang masih berpegang dengan kepercayaan
dan amalan-amalan karut datuk nenek moyang kita yang entah
dari mana asasnya.
Di
antara kepercayaan dan amalan-amalan karut yang berlaku dan
ada kaitan dengan bulan Safar itu ialah;
-
Rabu terakhir adalah hari malang
-
Biawak petanda celaka
-
Burung hantu petanda kemudharatan
-
Burung gagak petanda kematian
-
Bulan Safar adalah bulan bala
Kononnya
untuk mengelakkan petanda-petanda buruk ini dari berlaku maka
disunatkan mandi Safar, berpuasa dan membuat kenduri tolak
bala khas di bulan Safar. Kepercayaan dan amalan-amalan di
atas tadi adalah khurafat kerana tiada asas ataupun sumber
rujukan dari mana asalnya.
Adapun ada hadis-hadis yang mengatakan tentang perkara-perkara
tersebut adalah ditolak kerana ia adalah hadis palsu yang
sengaja direka-reka dan sudah dinafikan oleh satu hadis shahih
yang diriwayatkan oleh imam Bukhari;
Maksudnya;
Tiada jangkitan, tiada sial, tiada kemudharatan burung, tiada
bala bulan Safar dan larilah engkau dari orang yang berpenyakit
kusta seperti mana engkau lari dari singa.
Maka
hukum berpegang dengan kepercayaan karut adalah ditolak. Jika
ia berkaitan atau menyalahi akidah maka ia boleh membawa kepada
syirik dan merosakkan iman. Apabila iman sudah rosak, maka
ia akan mempengaruhi amalan maka amalan juga tidak akan diterima
oleh Allah subhanahu wa ta'ala.
Beramal
dengan perkara-perkara tersebut juga adalah ditolak kerana
ia adalah bid'ah dhalalah. Maka beramal dengan perkara-perkara
bid'ah dhalalah adalah haram hukumnya. Dan ada banyak lagi
kepercayaan dan amalan-amalan yang karut berkaitan dengan
bulan Safar ini mengikut kawasan-kawasan dan kaum-kaum tertentu.
Oleh
itu ilmu agama yang berpandukan al-Qur'an dan as-Sunnah adalah
neraca untuk menilai setiap sesuatu sama ada mengikut Syarak
atau sebaliknya. Dalam memperbetulkan perlakuan segelintir
umat di kalangan masyarakat Islam yang masih berpegang dengan
kepercayaan dan amalan-amalan karut ini, maka pendakwah dan
individu yang faham dan ingin membetulkannya hendaklah melengkapkan
diri dengan ilmu agama dan methodologi dakwah itu sendiri
agar kerja dakwah itu menjadi lebih berkesan dan lancar.
|