Allah
menjadikan manusia untuk beribadah dan memperhambakan diri kepadaNya.
Ini jelas dari firman Allah s.w.t. yang bermaksud "Tidak
aku menjadikan manusia dan jin kecuali untuk beribadah kepadaku".
Keikhlasan
beribadah seseorang kepada Allah adalah bertolak dari niat seseorang
itu mengerjakan ibadah tersebut. Ini jelas sebagaimana diterangkan
oleh Rasulullah di dalam hadisnya yang bermaksud: "Sesungguhnya
segala perbuatan yang dilakukan itu dengan niat dan sesungguhnya
tiap-tiap manusia apa yang diniatkannya maka barangsiapa yang
hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya itu kepada
Allah dan Rasulnya dan barangsiapa yang hijrahnya kepada dunia
yang ia ingin memperolehinya atau kepada perempuan yang hendak
dinikahinya maka hijrahnya itu kepada apa yang ia inginkan".
Di
antara ibadah yang wajib kita lakukannya, bulan yang mulia penoh
dengan keberkatan ialah dengan berpuasa di bulan Ramadhan.
Ibadat
puasa perlu kepada keikhlasan sebagaimana ibadat-ibadat lain yang
dikerjakan kerana keikhlasan hati dalam mengerjakan ibadah adalah
menjadi syarat penerimaan ibdah itu oleh Allah s.w.t. Sebagaimana
sabda Rasulullah s.a.w.
Maksudnya:
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu, Dan harta
kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah
kamu." Dengan ini jelas Allah meliaht hati manusia untuk
menilai dan menentukan amal ibadat yang sebenarnya.
Sesungguhnya
ikhlas itu roh atau jiwa sesuatu amalan. Sesungguhnya sesiapa
yang beramal tanpa keikhlasan di dalamnya maka amalan yang ditunaikan
itu tiada mempunyai roh dan tidak diterima. Sabda Rasulullah s.a.w.
Maksudnya:
"Allah tidak menerima amalan melainkan amalan yang dikerjakan
dengan tulus dan ikhlas baginya dan bertujuan mendapat keredaanNya"
Ia
juga merupakan landasan yang kukuh di atas mana-mana orang yang
melaksanakan bermacam-macam amal dan tugas kebaikan dan sifat
keikhlasan itulah pokok segala kebahagiaan. Sesuatu kerja yang
tidak keluar dari hati yang ikhlas nescaya tidak menghasilkan
buah bahkan mungkin akan merugikan kepada diri sendiri. Orang
yang bekerja tanpa keikhlasan dia bekerja hanya untuk lahir sahaja
lupa kepada tujuan dan matlamat dia bekerja sedang tiap-tiap amal
tanpa ikhlas pasti tidak menghasilkan pahala di sisi Allah.
Tegasnya
sidang pendengar sekelian orang yang tidak mempunyai keikhlasan
hati bererti tidak yang berdiri di tempat gelap tidak mempunyai
lampu cahaya untuk meneranginya, tidak mempunyai sayap untuk terbang
tinggi, dia bekerja hanya untuk dorongan hawa nafsu sahaja. Cara
yang demikian menjatuhkan tuannya ke lembah kebinasaan dan kehinaan.
Tuhan memerintahkan kita semua beramal dan beribadat dengan keikhlasan
hati. Segala pengabdian diri terhadap Allah hendaklah dilakukan
seikhlas-ikhlasnya dengan penuh kebenaran, keadilan, kebijaksanaan
dan kesabaran, sepertimana firman Allah s.w.t. di dalam surah
Al-Araf
Maksudnya:
"Hadapkanlah muka kamu dengan lurus, tulus dan ikhlas tiap-tiap
mengerjakan sembahyang dan serulah Tuhanmu sambil mengikhlaskan
diri kepadaNya"
Dalam
surah yang lain Allah menerangkan maksudnya: "Tidaklah mereka
diperintahkan kecuali untuk berbakti memperhambakan diri kepada
Allah dengan penuh keikhlasan"
Sidang
Pendengar Sekelian,
Dari
ayat di atas kita dapat memahami bahawa Allah memerintahkan kita
semua supaya mengabdikan diri kita kepadaNya dengan tulus ikhlas
dengan erti kata kita kerjakan sesuatu amalan, sesuatu kerja kerana
Allah bukan sekali-kali kerana sesuatu atau seseorang yang lain
lebih-lebih lagi kerana sesuatu ganjaran kebendaan.
Syeikh
Al Khushairi seorang pengasas Tasauf menerangkan bahawa ikhlas
itu ialah mengerjakan ibadah kerana ingin memperdekatkan diri
kepada Allah s.w.t. bukan kerana untuk mencari kesayangan orang
atau sesuatu hal yang lain selain daripada mengtakarufkan diri
kepada Allah Tuhan yang menjadikan kita.
Sifat
keikhlasan hati itulah yang menjadi pedoman kepada seseorang di
dalam pekerjaan atau perkhidmatan. Ianya merupakan alat yang menyampaikan
cita-cita yang mulia. Orang yang bekerja dengan penuh keikhlasan
hatinya tentunya tidak mudah patah atau putus harapan di tengah
jalan. Tidak mudah putus asa, dia tidak akan puas hati sebelum
pekerjaan yang dilaksanakannya itu berhasil sepenuhnya. Mereka
di dalam bekerja teguh pendirian kuat hemah dan kemahuan, dia
tidak akan tersinggung hati lantaraan celaan dan kritikan orang
lain. Tidak sombong kerana menerima pujian, tidak bangga kerana
dinaikkan pangkat atau mendapat harta yang banyak dan kedudukan
yang baik malahan orang yang bekerja dengan ikhlas tetap terus
berusaha hingga tercapai yang dicita-citakan dan tidak akan memberhentikan
kerja itu walaupun akan menghadapi rintangan, halangan dan menempuh
pengorbanan yang besar kerana mereka mengharapkan keredaan Allah
yang tidak ada batasannya.
Dalam
hubungan ini Hujjatul Islam Imam Ghazali ada berkata : "Manusia
semuanya mati kecuali yang masih hidup adalah orang yang berilmu
tetapi umumnya orang yang berilmu itu sedang nyenyak tertidur
kecuali yang jaga adalah orang yang berilmu dan beramal. Tetapi
orang yang beramal itu pula sering tergoda atau terpedaya kecuali
yang tidak terpedaya hanya orang yang ikhlas tetapi ingatlah bahawa
ikhlas itu berada di dalam keadaan yang amat sulit ibarat telur
di hujung tanduk"
Demikian
caranya Imam Ghazali memberikan gambaran yang tepat terhadap sifat
yang ikhlas itu dan kita harus yakin bahawa suatu amal yang dikerjakan
dengan ikhlas ujudnya akan kukuh dan mestipun amal itu terpaksa
juga tumbang kerana dilanda zaman tetapi kesannya tetap abadi.
Oleh kerana itu sifat ikhlas di dalam beribadah amat penting dan
dia merupakan senjata yang tidak luntur bagi menghadapi gangguan
yang lahir dari syaitan sebagaimana firman Allah s.w.t.
Maksudnya:
"Iblis berkata wahai tuhanku oleh sebab engkau telah memutuskan
aku sesat pasti aku akan menjadikan mereka memandang perbuatan
baik di muka bumi ini dan pasti aku akan menyesatkan mereka kecuali
hamba-hambaMu yang mengerjakan amal ibadat dengan penuh keikhlasan.
Untuk
dijadikan contoh mengenai ikhlas ini marilah kita meninjau satu
riwayat cerita di dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan
oleh Muslim dari Abi Hurairah bererti:
"Aku
mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bahawasanya manusia yang
pertama dipanggil untuk diadili di hari kiamat ialah orang yang
mati syahid. Dia datang kepada Allah TuhanNya sambil dia sendiri
telah mengetahui nekmat apa yang akan diterimanya. Allah bertanya
kepadanya apakah amal kamu? "Jawabnya aku berperang untukmu
hingga aku mati syahid". Allah berkata kepadanya "engkau
bohong, engkau berperang agar manusia mengatakan engkau seorang
gagah, berani dan engkau sudah dikatakan begitu sebagaimana yang
engkau kehendaki. Kemudian orang itu dihela masuk ke neraka.
Adapun
yang menuntut ilmu dan telah mengajar pula serta menjadi pembaca
Al-Quran, orang ini dibawa ke pengadilan Tuhan di hari kiamat
sedang dia sendiri telah mengetahui nikmat yang akan diterimanya.
Dihadapan Tuhan ditanya apa amalmu jawabnya "aku banyak membaca
Al Quran" Berfirman Allah kepadanya engkau bohong! Engkau
menuntut ilmu itu agar dikatakan orang engkau seorang yang alim,
engkau membaca Al-Quran itu supaya dikatakan orang seorang Qari
dan yang demikian itu telah engkau dikatakan orang kemudian orang
itu pun dihela masuk ke dalam neraka.
Adapun
seorang lelaki yang telah mendapat kelapangan rezeki sebahagian
hartanya dibahagikan kepada orang lain kemudian orang itu pun
dibawa menghadap Allah untuk dibicarakan dan dia sendiri telah
mengetahui nikmat yang akan diterimanya. Di hadapan Allah dia
ditanya apa kerjamu dia menjawab "aku telah membelanjakan
hartaku kepada jalan yang engaku redai dan itu telah aku kerjakan
kerana engkau". Allah telah berfirman kepadanya engkau berbohong
engkau berbuat demikian itu adalah supaya dikatakan orang engkau
seorang pemurah sedangkan yang demikian itu telah dikatakan orang
kemudian orang itu pun dihela masuk ke dalam api neraka. Demikianlah
riwayat hadis tiga jenis orang beramal tidak ikhlas. Amalan mereka
ditolak tidak diterima oleh Allah dan akibatnya mereka dicampakkan
ke dalam api neraka.
Kesimpulan
apa yang telah diperkatakan tadi ialah bahawa beramal dan beribadah
perlu kepada keikhlasan dan kejujuran dan untuk menjadikan amalan
itu agar kekal abadi sempurna lahir dan batin perlulah kita lakukan
segala amalan dengan tulus dan ikhlas semata-mata kerana Allah
Taala khususnya kita sedang berada di dalam bulan Ramadhan yang
mulia, bulan untuk kita meningkatkan amal kebajikan kita jadi
hendaklah segala amalan kebajikan yang kita lakukan di bulan ini
dapat dilakukan dengan seikhlas-ikhlasnya supaya ianya benar-benar
dapat diterima oleh Allah s.w.t. dan dapat meningkatkan ketaqwaan
kita kepadaNya.