Lebih kurang pada pertengahan kurun yang kesembilan belas, pada
zaman Penghulu Mo’min bin Abdullah dahulu,di kampung Paya Rumput Tengah
di tepi sawah, pada arah sebelah hilir rumah Abdullah bin
Rahmat,berhampiran dengan sebatang pokok beruas besar telah sedia ada
sebuah masjid kayu yang sederhana besarnya.
Ahli-ahli jemaah ini kononnya ialah orang-orang Paya Rumput,
sepepak-sepepak orang Sungai Udang,serata-serata Pantai Tanah Merah dan
Pantai Kundur,orang Tangga Batu dan Paya Luboh serta termasuk juga
orang-orang dari Lendu,kerana kononnya Lendu pada masa itu belum ada
masjid lagi.
Pada zaman Penghulu Hasan,ahli-ahli jemaah ini telah sebulat suara
memindahkan masjid ini ke Batu 10 ¼, sebelah kiri jalan ke Paya Rumput
di tepi sungai . Agaknya tujuan memindahkan masjid ini kemari ialah
kerana nak mendekatkan sedikit perjalanan jemaahnya yang dari pantai itu.
Semua ahli jemaah menggunakan sungai itulah sebagai kolah untuk
mengambil air sembahyang. Sungai ini pada masa itu kononnya dalam,banyak
buaya di dalamnya. Imam masjid ini ialah Imam fakih dan Bilalnya , Bilal
Mohd Ali.
Tidak berapa lama kemudian ahli-ahli jemaah dari Sungai Udang telah
sedar yang kampung Sungai Udang telah ramai penduduknya dan telah
mencukupi, bahkan lebih satu Jumaat laki-laki nya yang mukallaf, begitu
juga orang-orang Tangga Batu telah sedar, jika mereka bersatu dengan
orang-orang Paya Lubuh,dia juga boleh mengadakan masjid
bersendirian,demikian jugalah ahli-ahli jemaah yang dari pantai,oleh
yang demikian ahli-ahli jemaah masjid itu pun berpecah,masing-masing
puak yang disebutkan tadipun membangunkan masjid sendiri.Pada masa itu
tinggallah masjid ini untuk jemaah orang Paya Rumput dan Alor Gajah
sahaja.
Sebagaimana yang disebutkan tadi kolah atau kolam tempat mengambil
wuduk masji ini, ialah sungai tadi yang dalam dan terdapat banyak buaya,
banyak kali orang-orang tersua dengan buaya-buaya.
Oleh itu mereka pun memindahkan masjid ini ke seberang sawah arah ke
Paya Rumput iaitu disebelah kiri jalan ke Paya Rumput lepas daripada
bukit yang kecil di tepi sawah itu. Manakala masjid ini pindah ke Paya
Rumput,tinggallah untuk jemaah Paya Rumput sahaja, orang-orang Tangga
Batu , Batu 10 atau Alor Gajah telah membangunkan pula masjidnya sendiri
di Batu 9 ¾, iaitu di tapak masjid yang ada sekarang.
MASJID SUNGAI UDANG yang dibina oleh orang-orang tua dahulu
ialah masjid bertap,berdinding dan berlantaikan tanah sahaja. Tempatnya
pada arah masjid yang ada sekarang ini, pada pangkal jalan masuk ke Paya
Rumput. Pada zaman Penghulu Had bin Kulub Lendir masjid yang
berlantaikan tanah ini telah digantikan dengan masjid kayu yang bertiang
dan berlantai papan,tempatnya di tapak lama juga.
Pada zaman Penghulu Maarus bin Dualim dalam tahun 1926 ketika di
merata-rata tempat telah didirikan orang masjid batu , betul-betul pada
ketika itu harga getah sedang tinggi harganya , di sana sini adalah
masjid baharu seperti cendawan tumbuh, maka Sungai Udang pun tidaklah
ketinggalan daripada bermuafakat membina masjid barunya. Muafakat telah
dibulatkan tiap-tiap serumah beryuran sebanyak RM 75.00 sementara masjid
tersebut dirobohkan untuk membina masjid baharu, ahli-ahli jemaah
bersembahyang di padang sawah yang berhampiran. Adapun harga masjid ini
lebih kurang RM 7,000.00 keempat-empat batang tiang serinya dihadiahkan
oleh Penghulu Sulong bin Mansor yang pada ketika itu menjadi Naib
Penghulu Parit Sulong Batu Pahat. Istiadat menegakkan tiang seri masjid
ini telah diadakan pada 16.5.1927 dengan jamuan nasi minyak dan
menyembelih seekor kerbau. Ada pun tunggak yang membina masjid ini ialah
Penghulu Maarus bin Dualim, Mungkim Haji Jailani bin Ali,Imam Amin dan
Imam Othman bin Jaamat. Adapun pegawai-pegawai masjid pada ketika itu
ialah Imam Sulong Jaamat , Khatib Long bin Awal , Mungkim Haji Jailani
bin Ali dan Bilal Abdul bin Sarong. Kadi masa itu ialah Kadi Haji Sidek
bin Ali.
25 tahun kemudian iaitu pada tahun 1952, beberapa kerosakan masjid
ini dijumpai, lalu dengan sebulat suara ramai , kerosakan itu
diperbaharui dengan belanja hampir RM 5,000.00.
Pada tahun 1959 sekali lagi didapati kebocoran,lantai masjid merkah
dan pecah dan banyak kerosakan lain, maka keputusan dibuat untuk
diperbaiki seluruhnya.
Pada tahun 1960 bantuan daripada Pejabat kebajikan Masyarakat Kuala
Lumpur sebanyak RM 10,000.00 didapati, kerja membaiki dimulakan pada
bulan Mac dan siap pada akhir bulan Mei tahun yang sama. Sebuah bilik
setor baharu,sebuah tandas kolah diperbetulkan, atap-atapnya telah
dibuang terus dan digantikan dengan genting India, pagar keliling telah
dibuat dan perbelanjaan semuanya lebih kurang RM 10,000.00 .
Dalam bulan April 1969 masjid ini disebarkan, ditambah berandah
bahagian timurnya dan serambi di bahagian arah sawah serta dibuat kolah
baharu dan simen halaman arah jalan ke Paya Rumput, serta dibaiki
mana-mana yang rosak, kos membuatnya lebih kurang RM 11,000.00. Pejabat
Agama Islam membantu sebanyak RM 4,800.00, Askar Melayu Batalion yang
Kesepuluh menderma RM 1,000.00 dan selebihnya daripada orang kampung dan
juga orang luar kampung.
Disebabkan terlalu banyak soyok, tambahan ke atasnya dan masjid yang
sudah tua serta tidak ada asas tapak, menyebabkan ianya runtuh, pada
tanggal 10 hb.Disember, 1984 dan disebabkan runtuh itulah maka seluruh
penduduk Sungai Udang mendapat nekmat daripada Allah s.w.t. dan hadiah
yang seharusnya dibalas kembali kepada kerajaan yang telah mengeluarkan
peruntukan yang begitu besar sekali.
Tuan-tuan dapat menyaksikan sorotan peristiwa bergambar, Masjid
Sungai Udang yang lama, ianya runtuh , kerja-kerja merata dan menanam
cerucuk, bersembahyang Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji , dan
masjid yang sedia ada di hadapan kita semua.
Kisah-kisah silam bermula pada abad yang kesembilan belas itu tadi
adalah daripada buku yang ditulis oleh Allahyarham Tuan Haji Jaafar bin
Alang, satu-satunya orang yang mengambil tahu sejarah selain Allahyarham
Datuk Kadi Haji Sidek. |