![]() |
Al-Farghani |
Abul-Abbas Ahmad ibn Muhammad ibn Kathir al-Farghani lahir di Farghana, Transoxiana. Beliau merupakan salah seorang ahli astronomi yang terkenal ketika berkhidmat sepanjang era al-Mamun. Al-Farghani juga telah menulis mengenai buku bertajuk Elements of Astronomy iaitu Kitab Fi al-Harakat al-Samawiya wa Jawami Ilm al-Nujum iaitu sebuah buku mengenai pergerakan objek di langit yang lengkap. Kitab ini juga turut membincangkan hal mengenai sains bintang dan diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada abad ke-12. Terjemahan itu sekali gus memberi pengaruh yang besar kepada ahli astronomi Eropah. Al-Farghani menerima teori Ptolemy dan nilai-nilainya yang dicatatkan berlaku lebih awal. Menurut Al-Farghani, teori itu jika diteliti bukan sahaja memberi kesan kepada bintang tetapi juga planet di alam semesta ini. Kejayaan Al-Farghani yang lain ialah beliau mendapati bumi mempunyai ukur lilit sejauh 11,700 km termasuk menentukan ukur lilit planet. Aktiviti penyelidikan Al-Farghani tidak terhad kepada ilmu bintang tetapi turut meliputi bidang kejuruteraan. Menurut Ibn Tughri Birdi, Al-Farghani telah menyelia projek pembinaan Great Nilometer di al-Fustat (Cairo lama). Projek itu siap sepenuhnya pada tahun 861 Masehi iaitu selepas al-Mutawakkil yang mengarahkan pembinaan itu meninggal dunia. Sungguhpun beliau telah mencipta beberapa kejayaan dalam bidang kejuruteraan, ia masih belum boleh mempopularkan Al-Farghani sebagai mana yang digambarkan dalam cerita yang disampaikan oleh Ibn Abi Usaybi’a. Mengenai pembinaan terusan tadi, Al-Mutawakkil telah mengamanahkan dua anak lelaki Musa ibn Shakir iaitu Muhammad dan Ahmad untuk menjalankan projek yang dikenali al-Ja’fari. Dua beradik itu kemudiannya telah mengadakan perundingan dengan Al-Farghani yang sekali gus meminggirkan jurutera terkenal ketika itu, Sind ibn Ali. Sind merupakan seorang profesional tetapi mencemburui kejayaan Al-Farghani. Oleh kerana itu, Sind telah dihantar ke Baghdad - jauh dari tempat kediaman Al-Mutawakkil di Samarra. Terusan yang dibina itu melalui kota baru iaitu Al-Ja’fariyya iaitu sebuah kota yang Al-Mutawakkil bina berdekatan Samarra di Tigris. Bagaimanapun berlaku sedikit kesilapan dan Al-Farghani telah diarahkan membetulkan kesilapan. Beliau kemudian memulakan kerja dengan mengorek lebih dalam terusan berkenaan. Dengan itu, air yang cukup akan melalui terusan `baru’ itu kecuali pada ketika paras Sungai Tigris meningkat naik. Berita mengenai itu telah membangkitkan kemarahan Caliph dan dua beradik itu telah diselamatkan daripada menerima hukuman hanya apabila Sind ibn Ali bersedia menjamin pembetulan yang telah dibuat oleh Al-Farghani walaupun ia memberi risiko kepada kebajikan dan kehidupannya. Bagaimanapun al-Mutawakkil telah dibunuh sejurus sebelum kesilapan itu menjadi nyata. Beberapa penjelasan telah dibuat berhubung kesilapan yang berlaku, antaranya Al-Farghani lebih menumpukan kepada teori berbanding praktikal dalam kejuruteraan sehingga akhirnya beliau dikatakan tidak pernah berjaya menyiapkan sesuatu projek. The Fihrist daripada Ibn al-Nadim ditulis pada tahun 987 Masehi dan telah menghasilkan dua karya mengenai Al-Farghani: (1) “The Book of Chapters - satu ringkasan mengenai Almagest” (Kitab al-Fusul, Ikhtiyar al-Majisti) dan (2) “Book on the Construction of Sun-dials” (Kitab ‘Amal al-Rukhamat). The Jawami atau `The Elements’ merupakan buku paling dikenali mengenai Al-Farghani dan pengaruh kerjanya yang paling baik. Abd al-Aziz al-Qabisi yang meninggal dunia pada tahun 967 Masehi menulis dalam ruangan komentarnya mengenai Al-Farghani yang kini dipelihara dalam manuskrip Istanbul, Aya Sofya. Dua buah karya terjemahan Latin diterbitkan pada abad ke-12. Jacob Anatoli pula mengeluarkan karya terjemahan Hebrew yang menyediakan versi ketiga Latin, diterbitkan pada tahun 1590. Selain itu, Jacob Golius menerbitkan teks baru Latin bersama-sama karya asli Arab pada tahun 1669. Semua karya-karya itu adalah mengenai pencapaian Al-Farghani walaupun beliau dikatakan pernah melakukan kesilapan dalam projek membina terusan di Cairo Lama.
SEORANG lagi ilmuan Islam yang terkenal ialah Omar Khayyam. Kepakaran Omar Khayyam, seorang rakyat Parsi, adalah dalam bidang matematik, astronomi, falsafah, perubatan dan puisi. Nama sebenarnya ialah Ghiyath al-Din Abul Fateh Omar Ibn Ibrahim al-Khayyam dan dilahirkan pada tahun 1044. Khayyam sebenarnya bermaksud pembuat khemah. Sebenarnya, tidak banyak yang diketahui mengenai sejarah awal hidupnya kecuali fakta bahawa dia mendapat pendidikan di Nishapur dan tinggal di sana dan juga di Samarqand sepanjang hidupnya. Melihat perjalanan hidupnya, Omar Khayyam adalah seorang yang sangat sukakan kesederhanaan. Beliau pernah ditawarkan untuk bekerja di istana. Beliau sebaliknya menolak dan memilih hidup secara sederhana dan tenang untuk menimba ilmu. Beliau mengembara ke pusat-pusat ilmu ketika itu seperti di Samarqand, Bukhara, Balkh dan Isphahan untuk mendalami ilmunya dan juga bertukar-tukar fikiran dengan para ilmuan di sana. Semasa di Samarqand, beliau diletakkan di bawah seliaan seorang pembesar - Abu Tahir. Sumbangan terbesar Omar Khayyam ialah dalam bidang Algebra. Beliau pernah membuat percubaan untuk mengklasifikasikan kebanyakan persamaan algebra termasuk persamaan darjah ke tiga. Malah beliau juga menawarkan beberapa penyelesaian untuk beberapa masalah algebra. Ini termasuklah penyelesaian geometrik bagi persamaan kiub dan sebahagian daripada penyelesaian kebanyakan persamaan lain. Bukunya `Mazalat fi al-Jabr wa al-Muqabila’ adalah karya agungnya dalam bidang algebra dan sangat penting dalam perkembangan algebra. Pengklasifikasian persamaan yang dilakukan oleh Omar Khayyam adalah berasaskan kerumitan sesuatu persamaan. Omar Khayyam telah mengenal pasti 13 jenis bentuk persamaan kiub. Kaedah penyelesaian persamaan yang digunakan oleh Omar Khayyam adalah bersifat geometrikal. Dalam bidang geometri pula, beliau banyak membuat kajian-kajian yang menjurus kepada pembentukan teori garisan selari. Beliau juga pernah diarahkan oleh Sultan Saljuq - Malikshah Jalal al-Din untuk bekerja di balai cerap. Di sana, beliau ditugas untuk menentukan kalendar solat yang tepat. Khayyam berjaya memperkenalkan kalendar yang hampir-hampir tepat dan dinamakan Al-Tarikh-al- Jalali. Selain itu, Omar Khayyam juga turut menyumbang dalam bidang lain seperti pembangunan kaedah menentukan graviti. Dalam bidang metafizik, beliau menulis tiga buku. Beliau juga terkenal sebagai seorang ahli astronomi terkenal dan juga doktor. Selain dalam bidang sains, Omar Khayyam juga terkenal sebagai seorang penyair yang hebat di zamannya. Malah, beliau pernah menjadi terkenal di kalangan dunia barat sejak tahun 1839 apabila Edward Fitzgerald menerbitkan terjemahan bahasa Inggeris bagi bukunya - Rubaiyat. Buku ini menggambarkan kehebatan dan kekayaan ilmu yang dimiliki Omar Khayyam. Omar Khayyam juga menulis pelbagai jenis buku dan monograf dalam pelbagai jenis bidang. Antaranya ialah 10 buku dan 30 monograf berjaya dikesan. Daripada jumlah ini, empat buah buku adalah berkaitan matematik, fizik (tiga), metafizik (tiga) dan satu untuk algebra dan geometri. Jasa dan pengaruh Omar Khayyam begitu besar terutamanya dalam perkembangan bidang matematik dan juga geometri. Malah kerja-kerjanya mendahului semua ilmuan lain selama berabad-abad lamanya. Sebenarnya, kehebatan Omar Khayyam dalam bidang matematik banyak dikaburi oleh kehebatannya sebagai seorang penyair. Bagaimanapun, sumbangan beliau sebagai ahli falsafah dan saintis banyak meletakkan asas dalam tamadun keilmuan manusia sejagat.
Ibn Yunus (Kurun ke-10 M)
Beliau ialah Ali bin Abd. Rahman, telah menjalankan penyelidikan astronomi sejak tahun 975 M sehingga 1009 M. Sumbangan beliau yang penting ialah menghasilkan jadual astronomi yang dikenali sebagai Zij al-Hakimi. Beliau banyak menjalankan penyelidikan di Mesir dan Sepanyol pada Zaman Fatimiyyah. Ibn Yunus juga merupakan pakar dalam bidang matematik, justeru itu beliau banyak melakukan kiraan semula terhadap beberapa jadual yang telah dibuat oleh ahli-ahli falak sebelumnya. Banyak maklumat tentang pemerhatiannya terhadap cakerawala dan telah direkodkan oleh Ibn Yunus, antaranya ialah tentang kesan pembiasan udara kasa dan rekod pemerhatian kejadian gerhana bulan dan matahari yang dibuat di Masjid Abu Jaafar, Mesir (Aydin, 1981). Ibn Yunus telah menyusun jadual tentang pengiraan waktu terbit dan terbenamnya matahari berdasarkan sudut waktu, azimut dan ketinggian matahari (King, 1986). Dengan ini pengiraan waktu solat menjadi lebih mudah, dan jadual yang seumpama ini diubahsuai untuk kegunaan negara-negara Islam beratus-ratus tahun kemudiannya. Sumbangan Ibn Yunus yang tidak kurang pentingnya, termasuklah memperkenalkan kaedah pengiraan trigonometri sfera untuk penentuan arah kiblat.
Ibn Sina (370 H - 428 H)
Nama penuhnya ialah Abu Ali Hussain Ibn Abdullah Ibn Sina, dan dikenali di Eropah dengan nama Avicenna. Mendapat pendidikan dalam bidang ilmu logika, ilmu ukur dan astronomi dari Abu Abdullah Natali. Semasa umurnya 17 tahun, beliau telah menamatkan ilmu kedoktoran dan hasil karya terawalnya ialah buku al-Majmu` yang berkaitan dengan matematik. Dalam kajiannya beliau banyak menekankan aspek uji kaji seperti dalam penyelidikan astronomi, kimia dan perubatan (Nasr, 1992). Walaupun beliau dikenali sebagai salah seorang tokoh ilmuwan falak Islam yang terkemuka, namun di Eropah beliau dikenali sebagai pakar perubatan melalui buku-bukunya seperti al-Qanun fi al-Tibb dan al-Shifa. Buku-buku perubatannya telah dijadikan sebagai bahan rujukan wajib untuk pelajar-pelajar perubatan selama beberapa kurun. Ibn Sina juga dikenang sebagai orang yang banyak memberikan idea yang bersifat astrofizik. Menurut Shaharir (1987), terdapat persamaan fakta tentang konsep hubungan antara masa dengan pergerakan dan ruang yang dikemukakan oleh Ibn Sina dengan teori Einstein. Konsep tersebut menjadi sebahagian daripada asas kosmologi moden.
Al-Biruni (362 H - 442 H)
Nama sebenarnya ialah Abu Rayhan al-Biruni. Beliau merupakan salah seorang cendekiawan Islam yang terbilang pada Zaman Pertengahan dan buah fikirannya masih mengagumkan dunia moden . Al-Biruni mendapat pendidikan dari seorang pakar astronomi dan matematik bernama Abu Nasr al-Mansur. Sokongan yang kuat dari pemerintah Ghazna, khususnya Mas'ud menjadi faktor utama yang membolehkan al-Biruni meluaskan kajiannya sehingga meliputi ke beberapa negara termasuklah India dan Pakistan. Bidang kajian al-Biruni tidak terbatas dalam bidang matematik dan astronomi sahaja, malahan meliputi teori-teori abstrak tentang falsafah. Kritikan terhadap pemikiran falsafahYunani seperti Aristotle tentang kejadian alam merupakan sebahagian daripada pandangan kritisnya terhadap falsafah Yunani. al-Biruni menolak pandangan falsafah Yunani bahawa alam bersifat kekal dan mengemukakan pendapat bahawa alam ini terjadi secara exnihilo, iaitu daripada tiada kepada ada. Al-Biruni juga menjalankan kajian ten-tang geografi dan fizik. Antara karyanya yang teragung ialah Qanun al-Mas `udi yang setanding dengan buku Almagest oleh Ptolemy . Dalam buku yang berjudul Ifrad al-Maqal fi Amr al-Dalal, alBiruni menggunakan teknik geometri bagi mengukur bayang untuk mengetahui jarak antara dua tempat dan menentukan ukur Wit bumi. Malahan menurut Nasr (1992) lagi, nilai ukur Wit bumi yang dihasilkan oleh al-Biruni adalah paling baik dalam Zaman Pertengahan. Al-Biruni banyak membuat kajian tentang matahari, bulan dan planet-planet, khususnya tentang sifat-sifat fizikal, pergerakan tahunan, panjang tahun tropika, jarak di antara planet dengan matahari, fenomena gerhana, fajar-senja (twilight), pergerakan bulan, keserongan ekliptik bulan, pasang surut, kenampakan anak bulan dan kajian tentang jarak dan magnitud bintang.